GAMBAR hiasan. FOTO Supian Ahmad
GAMBAR hiasan. FOTO Supian Ahmad
Mohd Ajib Ismail

SETIAP insan berlumba-lumba untuk mengecapi kebahagian dan kesenangan dalam kehidupan. Justeru apa sahaja perkara yang dilakukan dalam hidup, bermatlamat mendatangkan kebahagian.

Ukuran kebahagian itu pula berbeza mengikut latar belakang seseorang. Mencari kebahagian adalah perkara yang disarankan ajaran Islam.

Perkara ini dapat dilihat melalui ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 201 iaitu doa yang sering dibacakan setiap kali selepas solat bermaksud “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Menurut Tafsir Ibnu Kathir, kebaikan di dunia yang dimaksudkan dalam ayat berkenaan meliputi seluruh keinginan duniawi, sama ada kesihatan, rumah yang luas, isteri yang cantik, rezeki yang melimpah, ilmu yang bermanfaat, amal soleh, kenderaan yang baik, pujian dan sebagainya.

Manakala kebaikan di akhirat meliputi permohonan syurga, ketenangan jiwa, kemudahan hisab, keselamatan daripada api neraka, perlindungan daripada segala dosa dan larangan, terhindar daripada pelbagai syubhat dan perkara haram.

Setiap insan dituntut supaya menyatukan kepentingan hidup di dunia dan akhirat sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Ayat al-Quran ini dengan jelas memerintahkan supaya manusia menggunakan potensi-potensi nikmat yang diberikan Allah SWT seperti harta, kesihatan, ilmu dan sebagainya untuk mencari kebahagiaan di akhirat, bukan semata-mata untuk mencari kesenangan di dunia.

Namun ayat ini juga mengingatkan untuk tidak melupakan bahagia kenikmatan dunia yang dihalalkan oleh Allah SWT.

Orang yang dapat memanfaatkan nikmat untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat akan memperoleh keuntungan yang besar.

Antara tip untuk memiliki kekayaan jiwa ialah bersyukur sama ada ketika memperoleh kebaikan seperti kesihatan, keluarga, sahabat mahupun ketika menghadapi kesusahan dalam hidup.

Kita juga disarankan supaya berfikiran positif, mengutamakan kebenaran dan kasih sayang, memberikan harapan, mendahulukan perkara yang utama, menghargai waktu dan tidak berlengah dalam bertindak serta sentiasa menyebarkan kebaikan.

Selain itu, setiap manusia perlu berkongsi nikmat kurniaan Allah serta menggunakan nikmat ke arah kebaikan melalui amalan bersedekah dan memanfaatkan harta ke jalan Allah dengan membantu golongan fakir miskin dan memerlukan.

Hakikatnya jiwa yang kaya penuh dengan sifat mulia seperti lemah lembut dan rahmah terhadap sesama manusia, gemar membantu, tenang dan berpuas hati dengan apa yang dimiliki, menghormati sesama insan dan tidak memiliki sifat-sifat hati yang tercela seperti sombong, meninggi diri dan seumpamanya.

Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 7:10 AM