Kemusykilan Syariah Bersama Suriany Awaludin

SEORANG wanita itu sedang menjalani tempoh idah, tetapi kitaran haidnya tidak teratur. Bolehkah dia mengambil pil hormon setiap bulan bagi memastikan darah haidnya keluar selama tempoh idah berkenaan?


Maira

Taman Melawati, KL


Pengambilan pil hormon berkaitan dengan masalah haid perlu dilihat dari segi niat dan tujuannya.

Apatah lagi bagi wanita yang sedang menjalani tempoh idah akibat perceraian.

Tempoh beridah wajib bagi wanita kerana dua keadaan iaitu disebabkan perceraian ketika hidup dan idah kerana kematian suami.

Bagi kedua-dua keadaan, tempoh beridah itu mempunyai cara kiraan yang akan menentukan tempoh idah yang perlu ditempuhi sama ada panjang atau pendek.

Pengiraan idah terbahagi kepada tiga iaitu:

l Idah dengan kiraan suci (quru’).

l Idah dengan kiraan bulan.

l Idah dengan kelahiran atau keguguran kandungan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 228 yang bermaksud: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci (daripada haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak) dan suami mempunyai satu darjat kelebihan atas isterinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Tujuan pensyariatan idah bagi memastikan kekosongan rahim daripada benih suami terdahulu.

Ia bertujuan mengelak percampuran benih antara suami dahulu dengan suami yang baharu dikahwini.

Ia juga sebagai ruang kepada suami dan isteri berfikir serta menilai semula segala tindakan dan kesilapan yang dilakukan termasuk kesan perceraian yang berlaku.

Di samping itu, ia dapat memberi peluang kepada suami kembali merujuk kepada isterinya.

Bagi perempuan yang kematian suami, idah adalah tempoh berkabung bagi menghormati serta mengingati nikmat perkahwinan terdahulu.

Ia juga sebagai tanda menjaga hak suami dan tanda menzahirkan kesetiaan isteri kepada suaminya.

Berkabung juga sebagai lambang pengabdian diri terhadap perintah Allah SWT. Garis panduan bagi situasi haid tidak menentu kerana ia bergantung kepada keadaan haid.

Sekiranya masih didatangi haid dan tahu perjalanan darah haidnya, maka tempoh idah tetap dikira tiga kali suci.

Seterusnya, jika haid tidak menentu dan tidak mengetahui kebiasaan perjalanan haidnya atau tidak dapat membezakan antara darah haid dan istihadhah, maka kiraan tempoh idah dikira tiga bulan.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Talaq, ayat 4 yang bermaksud: “Dan perempuan-perempuan daripada kalangan kamu yang putus asa daripada kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan, dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah) sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.”

Justeru, pengambilan pil hormon agar datang haid hendaklah dielakkan sekiranya mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan wanita. Ia perlu dilihat kepada keperluan dari segi kesihatan dan kehendak syarak.


>>Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 10:43 AM