FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Suriany Awaludin

AKHIR-AKHIR ini, tindakan suami sangat menjelikkan. Dia selalu minta saya melayaninya melalui ‘jalan belakang’. Kami sudah lebih sembilan tahun berkahwin dan mempunyai tiga anak.

Sejujurnya, dia seorang suami dan bapa yang sangat baik. Saya tidak tahu bagaimana untuk menolak permintaan terkutuknya itu. Pernah saya menangis memberitahu tindakannya itu dilaknat Allah SWT.

Pernah juga dia katakan, itu yang terakhir dan tidak akan minta lagi. Sebaliknya, perkara itu sudah beberapa kali berlaku. Saya tidak pasti bagaimana dia boleh terjebak dengan pelakuan seperti itu. Saya juga sangat bimbang apabila keinginannya tidak dilayan, dia akan mencari keseronokan di luar bersama pasangan sejenis atau terbabit dengan pelacuran.

Sekiranya saya laporkan kes seumpama ini kepada pihak berkuasa, adakah suami akan dikenakan tindakan?

Jue, Sentul

BERDASARKAN kenyataan ini, puan menyedari perbuatan suami melakukan seks melalui dubur adalah perkara yang bertentangan dengan syarak. Bagaimanapun, dalam melaksanakan tanggungjawab seorang isteri dalam melayani batin suami, ia tetap mesti berlandaskan hukum syarak.

Apabila perbuatan yang diperintahkan suami itu bertentangan dengan syarak, maka gugur kewajipan isteri mematuhinya. Apatah lagi puan sendiri tidak dapat merestui perbuatan suami, melainkan semata-mata mahu taatkan suami dan bimbang dia mengambil tindakan dengan memenuhi tuntutan nafsunya dengan cara lain yang jelas menyimpang daripada tabii atau fitrah manusia.

Hukum suami meliwat isteri adalah berdosa besar dan Allah SWT melaknat perbuatan itu. Banyak dalil al-Quran dan hadis menyatakan hukum meliwat isteri. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berjimaklah melalui depan atau melalui belakang. Jauhi daripada memasukkan zakar ke dalam dubur dan berjimak semasa haid.” (Riwayat an-Nasai)

Tidak menjadi masalah bagi pasangan suami isteri melakukan hubungan seks dengan pelbagai posisi atau teknik, tetapi suami mesti halakan zakarnya ke faraj isteri. Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak kiralah dia berjimak dalam keadaan berdiri, duduk atau meniarap (suami menindih perempuan yang meniarap di lantai) selagi tempat masuk zakar adalah faraj.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Isteri adalah tempat suami bersuka dan berkasih sayang. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah Sesungguhnya kamu akan menemuinya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 223)

Pasangan yang melakukan liwat akan ditarik nikmat jimak di faraj. Mereka yang suka meliwat juga akan ditutup pintu hatinya dan akan terus melakukan liwat dengan lebih teruk.

Mereka mudah dijangkiti penyakit seperti AIDS dan penyakit kelamin. Perbuatan liwat juga sangat kotor kerana melakukan hubungan melalui dubur yang jelas itu adalah saluran keluarnya najis.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi Luth tatkata ia berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu.” (Surah al-Ankabut, ayat 28)

Sebagai isteri, puan wajib menolak permintaan suami untuk mengadakan hubungan seks melalui dubur. Isteri wajib menegur atau menasihati suaminya yang mempunyai keinginan seks di luar tabii itu.

Isteri tidak dikatakan derhaka kerana sudah mencegah kemungkaran yang berlaku dalam rumah tangga mereka. Jika suami masih ingkar dan marah sehingga terjadinya pergaduhan, puan boleh membuat aduan ke jabatan agama berdekatan berhubung masalah itu.

Tindakan akan diambil terhadap suami dengan cara memberikan kaunseling dan tindakan lain yang sepatutnya. Itu tindakan paling berhemah demi menyelamatkan suami selain memastikan kerukunan rumah tangga terpelihara.

Suami puan juga dinasihatkan bertaubat selain menjauhkan diri daripada menonton filem lucah kerana musuh Islam sentiasa berusaha menyesatkan umat Islam.

Sekiranya puan merasakan diri dianiaya secara seksual, puan boleh mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Keganasan Rumah tangga. Kesalahan yang boleh disabitkan di bawah akta ini apabila seseorang:

l Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa.

l Sengaja atau dengan sedar meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal.

l Memaksa atau mengancam mangsa melakukan apa-apa perbuatan seksual.

l Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaannya.

l Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta.

Di bawah akta itu, jika disabitkan kesalahan, pelakunya boleh dijatuhkan hukuman. Namun ia bergantung kepada aduan yang bakal puan laporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 2:01 AM