Oleh Ustaz Haslin Baharin

Pada 29 Ogos lalu, mahkamah tinggi syariah tempat kelahiran saya memfaraqkan perkahwinan kami iaitu dengan meluluskan permohonan fasakh saya (plaintif).

Soalannya:

1. Adakah saya boleh bernikah (dengan lelaki selain suami) sebaik habis idah walaupun ada rayuan (oleh defendan iaitu bekas suami) terhadap keputusan mahkamah tinggi syariah dalam masa 14 hari?

2. Apakah status saya sekarang, adakah sudah bercerai (kerana mahkamah sudah membuat keputusan) atau digantung tidak bertali atau masih berstatus isteri defendan?

NOREN

Port Dickson

Seorang perempuan apabila bercerai dengan suami hendaklah dia menjalani 'idah' bagi memastikan rahimnya suci daripada kandungan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci (haid).

"Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu mengenai) anak yang dijadikan oleh Allah SWT dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat." (Surah al-Baqarah, ayat 280)

Kebiasaannya tempoh rayuan adalah singkat dan tidak melampaui idah. Dokumen keputusan yang berkaitan juga masih tergantung.

Oleh itu puan tidak boleh berkahwin kerana idah dan dokumen rasmi penceraian juga belum diperoleh untuk urusan perkahwinan seterusnya, bukan disebabkan kes rayuan.

Dalam tempoh rayuan sebenarnya puan sudah diceraikan oleh mahkamah, cuma pihak mahkamah masih memberi ruang kepada suami (defendan) untuk meneliti jika ada perkara tidak diadili dengan sewajarnya.

Oleh itu puan juga harus menghormati dan memberi semua pihak hak mendapatkan keadilan dan tidak menzalimi mana-mana pihak. Walaupun terkadang terasa dizalimi, ia bukan alasan untuk mezalimi orang lain. Wallahualam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 2:33 AM