KEINDAHAN salah satu kawasan tanah tinggi di Jammu Kashmir.
KEINDAHAN salah satu kawasan tanah tinggi di Jammu Kashmir.
Mohd Hashfarul Amdan

SEJAK awal lagi, penulis sudah dimaklumkan perjalanan ke bumi Kashmir adalah satu pengembaraan cukup mencabar baik dari sudut mental dan fizikal.

Antaranya, terpaksa menghadapi kerenah birokrasi kerajaan India terhadap negeri Kashmir serta perlu melalui bentuk muka bumi bergunung-ganang.

Pelancong Switzerland menggelarkan Kashmir sebagai the real virgin Switzerland. Ini kerana keindahan yang terdapat di Kashmir sangat tulen.

Pada Mac lalu, penulis yang mewakili syarikat Kembara Sufi Travel & Tours diamanahkan membawa 18 peserta ke wilayah terletak di utara India itu.

Penerbangan dari Kuala Lumpur mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi.

Bagi perjalanan ke Kashmir pula, kami perlu mengambil penerbangan domestik ke sana yang mengambil masa kira-kira satu jam.

Penulis mendapati orang Kashmir memiliki hidung mancung, berbadan tinggi serta berkulit putih.

Ciri-ciri itu mengingatkan penulis dengan wajah orang Arab Mesir. Dari New Delhi lagi penulis memerhatikan mereka yang ketika itu sedang menantikan penerbangan sama selepas pulang dari menunaikan ibadat umrah.

Memang ramai sebenarnya orang di India beragama Islam. Di Kashmir, kami bertemu dan dibantu pemandu pelancong bernama Lateef.

Lateef sangat fasih berbahasa Inggeris. Dia adalah anak kelahiran Kashmir berbangsa Kashmiri.

Selain bahasa Inggeris, dia juga boleh bertutur dengan baik dalam pelbagai bahasa lain antaranya, Urdu, Tamil dan Perancis.

PENULIS bergambar di kawasan pergunungan yang dikatakan sering menjadi lokasi penggambaran filem Hindi.
PENULIS bergambar di kawasan pergunungan yang dikatakan sering menjadi lokasi penggambaran filem Hindi.

Malah, Lateef sebelum ini pernah menyambung pengajian di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, selepas tamat pengajian, dia nekad pulang ke tanah airnya bagi membantu anak bangsanya meraih kemerdekaan daripada Kerajaan India Hindu.

Lateef menyatakan, bumi Kashmir sebelum ini adalah sebuah wilayah merdeka berada di utara India dan selatan Pakistan.

Ia sebuah wilayah terletak di kawasan pergunungan Himalaya. Namun, hasil campur tangan Barat yang diketuai British, mereka membahagikan Kashmir kepada dua bahagian iaitu Utara Kashmir diserahkan kepada Pakistan manakala sebahagian lagi diberikan kepada negara India.

Kesan pemecahan itu menyebabkan kedua-dua negara besar itu saling berebut bagi memiliki wilayah Kashmir sepenuhnya.

Selain itu, Kashmir juga dikenali dengan nama Jammu dan Kashmir. Srinagar pula adalah ibu negeri musim panas dan Jammu pula ibu negeri musim sejuk.

Lembah Kashmir turut dikenali sebagai ‘syurga di bumi’ berikutan keindahan alam semula jadinya.

Islam adalah agama paling ramai penganutnya di seluruh negeri itu apabila ia mewakili 95 peratus daripada populasi penduduknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 9:23 AM