MOHD Hafiz memberi penerangan kepada jemaah ketika memasuki dataran Masjidilharam.
MOHD Hafiz memberi penerangan kepada jemaah ketika memasuki dataran Masjidilharam.
Mohd Fadly Samsudin


SIAPA yang sudah pergi menunaikan ibadat haji atau umrah, mereka adalah golongan bertuah kerana terpilih menjadi tetamu Allah SWT.

Jika Allah SWT menginginkan golongan sempurna saja, sudah pasti tiada yang layak memasuki Tanah Suci Makkah.

Seandainya berpeluang atau menerima jemputan ke Tanah Suci Makkah, jangan sekali-kali persoalkan kelayakan diri kita ke sana.

Sebaliknya, sentiasa sematkan dalam hati tujuan ke sana adalah untuk bertaubat ke hadrat Allah SWT.

Tidak kiralah berapa banyak dosa dan maksiat yang kita lakukan selama ini, namun besar pengharapan kita apabila pulang semula ke tanah air, semua dosa-dosa itu terhapus.

Apabila memberikan fokus untuk bertaubat, insya-Allah pemergian

ke Tanah Suci Makkah akan lebih bermakna.

Selain itu, bumi haramain iaitu Makkah

dan Madinah juga adalah tempat untuk kita meraih pahala berlipat kali ganda.

Bayangkan, solat satu waktu di Masjidilharam, ganjaran pahalanya adalah 100,000 kali berbanding solat di tempat lain.

Itu belum lagi jika ditambah dengan amalan-amalan sunat lain yang pahalanya seperti amalan fardu. Manakala solat di Masjid Nabawi Madinah

juga ganjaran pahalanya adalah 1,000 kali solat berbanding di tempat lain.

Mutawif Zuhud Holidays Sdn Bhd, Ustaz Mohd Hafiz Mohd Johari berkata, antara cabaran yang sering dihadapi ketika membimbing jemaah ialah ada segelintir mereka tersasar tujuan asal ketika berada di Tanah Suci.

"Ada jemaah umpama pergi melancong. Dia disibukkan dengan kehendak untuk bersiar-siar serta membeli-belah saja.

JEMAAH merasai pengalaman bermalam di Muzdalifah iaitu lokasi mengutip batu untuk ibadat melontar jamrat pada musim haji.
JEMAAH merasai pengalaman bermalam di Muzdalifah iaitu lokasi mengutip batu untuk ibadat melontar jamrat pada musim haji.

“Selain itu, ada juga yang hadir ke Tanah Suci kerana terpaksa. Misalnya, dia datang atas tajaan keluarga atau majikan.

“Demi menjaga hati pihak berkenaan, dia hadir tanpa rasa keikhlasan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sudah menjadi tugas dan tanggungjawab mutawif memberi nasihat dan teguran supaya setiap jemaah dapat melaksanakan ibadat wajib serta memperbanyakkan amalan sunat sepanjang berada di sana.

“Begitu juga dengan amalan khurafat. Ia masih lagi berlaku membabitkan segelintir jemaah. Antaranya, mereka melekatkan duit syiling di pintu Kaabah untuk dijadikan ibu duit, mencuri tali khemah di Arafah dengan tujuan pelaris perniagaan dan membawa pulang anak batu di Arafah sebagai penyubur tanaman kebun dan ladang.

“Ada juga mandi di bawah pancuran emas Kaabah ketika hujan untuk penyembuhan daripada segala penyakit, membawa kain kafan dari rumah ke Makkah kemudian dibasuhkan dengan air zamzam dengan niat apabila mati dan dikafankan dengan kain itu dia terhindar daripada disoal dan diseksa di dalam kubur dan sebagainya.

“Perkara-perkara khurafat itu dibimbangi akan membawa kepada tergelincirnya akidah umat Islam.

“Justeru, mutawif akan memberikan nasihat awal di dalam bas sewaktu dalam perjalanan dari Jeddah menuju ke Makkah supaya perkara khurafat itu dapat dibendung dari awal lagi supaya sepanjang berada di sana amalan mereka tidak menjadi sia-sia,” katanya.

MOHD Hafiz (kiri) bersama jemaah di hadapan pintu nombor satu Bab as-Salam di Masjid Nabawi.
MOHD Hafiz (kiri) bersama jemaah di hadapan pintu nombor satu Bab as-Salam di Masjid Nabawi.

Mohd Hafiz berkata, persediaan ilmu dan kesihatan yang baik perlu seiring dalam mempersiapkan diri untuk sampai ke Tanah Suci.

“Contoh, ibadat tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali dan saie diantara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

“Namun, jemaah tidak perlu bimbang kerana mutawif sentiasa bersedia memberi nasihat dan tunjuk ajar.

“Menjadi kepuasan bagi mutawif apabila dapat membawa jemaah terutamanya mereka yang kali pertama menjejak kaki ke Tanah Suci masuk ke Masjidilharam.

“Sebaik tiba di dataran mataf (tempat tawaf), jemaah dapat melihat Kaabah buat kali pertama. Air mata pasti mengalir kerana terharu serta bersyukur dapat berdoa di hadapan Kaabah.

“Ketika berada di Madinah pula, para jemaah akan dibawa melalui pintu nombor satu, Bab as-Salam terus ke makam Rasulullah SAW.

“Di sana, mereka akan berada hampir dengan pusara Rasulullah SAW. Mereka berpeluang memberi salam serta berdoa semoga mendapat syafaat daripada kekasih Allah itu pada hari akhirat kelak,” katanya.

Untuk berkongsi pengalaman menunaikan umrah, boleh e-mel ke

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 7:55 AM