AKTIVITI berkumpulan untuk mengeratkan silaturahim.
AKTIVITI berkumpulan untuk mengeratkan silaturahim.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Mutawif adalah insan penting di sebalik perjalanan jemaah sepanjang mengerjakan umrah dan haji di Tanah Suci. Mereka ini yang membantu, memberi nasihat, sekali gus memudah serta melancarkan perjalanan ibadat jemaah di sana.

Sebelum ini, mutawif lebih dikenali melalui pembabitan guru agama atau ustaz kerana mempunyai lebih banyak pengalaman dan selok-belok ketika menunaikan umrah.

Namun zaman terus berlalu, tampil golongan muda yang dilihat berminat dan mempunyai aura menjadi pemimpin berwibawa untuk membawa rombongan jemaah dari tanah air sehingga selesai ibadat di Makkah.

Usaha melahirkan golongan muda sebagai mutawif kini menjadi trend dalam kalangan agensi pelancongan umrah sejak akhir-akhir ini. Langkah ini memberi peluang kepada generasi baru untuk membantu jemaah umrah.

Jika golongan lelaki lebih ramai mendominasi tugas sebagai mutawif, kehadiran mutawif wanita atau mutawiffah tidak kurang pentingnya bagi mengendalikan dan membantu jemaah wanita menunaikan ibadat itu.

Manhajj Mutawwif Umrah & Holidays Sdn Bhd (Manhajj Mutawwif), sebuah agensi umrah antara yang giat melatih mutawif bukan saja dalam kalangan lelaki, malah turut menggalakkan ramai wanita dalam profesion itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Halim Ikhsan berkata, pihaknya mengalu-alukan lebih ramai graduan wanita membabitkan diri sebagai mutawiffah bertauliah di negara ini.

ABD Halim.
ABD Halim.

Katanya, ramai beranggapan graduan bidang agama hanya berkhidmat sebagai ustaz atau ustazah selepas tamat pengajian sedangkan mereka boleh meneroka lebih banyak bidang lain antaranya sebagai mutawif dan mutawiffah profesional.

“Di syarikat ini, kami antara pengendali kursus mutawif profesional bukan saja terbuka untuk lelaki, malah wanita. Peranan mutawiffah juga penting sebagai pembantu mutawif untuk membantu jemaah wanita sepanjang menunaikan ibadat umrah dan haji.

“Bagaimanapun, ingin saya tekankan juga, tidak semestinya mereka yang berlatar pendidikan dalam bidang agama yang layak menyertai kerjaya ini, sebaliknya sesiapa saja yang berminat dan mahu belajar juga berkelayakan menjadi mutawif dan mutawiffah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini pada program Manhajj Menelusuri Desa di Kampung Cherengin, Janda Baik, Pahang.

AKTIVITI senamrobik disertai peserta.
AKTIVITI senamrobik disertai peserta.

Aktiviti itu dijalankan sebagai salah satu tanggungjawab khidmat bakti masyarakat syarikat itu. Program itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara semua kakitangan, pelajar praktikal dan ahli keluarga Manhajj Mutawwif serta peserta kursus mutawif.

Antara pengisian dalam khidmat bakti masyarakat ini meliputi aktiviti kerohanian dan sukaneka yang menarik berbentuk ilmiah serta khidmat masyarakat membabitkan penduduk kampung yang tertumpu kepada membersihkan kawasan perkuburan di kampung terbabit.

“Aktiviti yang julung kali diadakan ini juga medium bagi Manhajj Mutawwif untuk mendekati masyarakat,” katanya.

Seramai 45 orang menyertai program selama dua hari itu dengan pelbagai aktiviti antaranya persembahan berkumpulan, qiamullail, solat berjemaah dan senamrobik.

PESERTA bergotong-royong memasak hidangan tengah hari.
PESERTA bergotong-royong memasak hidangan tengah hari.

Aktiviti kemuncak adalah gotong-royong membersihkan Masjid Abu Bakar dan kawasan kubur selain menyediakan masakan tengah hari.

Sementara itu, Manhajj Mutawwif yang ditubuhkan sejak tiga bulan lalu adalah satu-satunya agensi umrah di Malaysia yang mempunyai jabatan produksi apabila sebelum ini menerbitkan program realiti televisyen terbaru dikenali Manhajj Mutawwif yang disiarkan di Astro Oasis pada Mac lalu.

Program yang berunsur dakwah itu bertujuan mengangkat profesion sebagai mutawif supaya lebih dikenali dan dihargai masyarakat.

Pada akhir tahun ini, Manhajj Mutawwif akan membawa lebih 700 jemaah umrah termasuk dari luar negara membabitkan beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

PESERTA bergambar kenangan.
PESERTA bergambar kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 1:04 PM