JEMAAH mengadakan lawatan ke rumah kelahiran Nabi Muhammad yang kini dijadikan perpustakaan.
JEMAAH mengadakan lawatan ke rumah kelahiran Nabi Muhammad yang kini dijadikan perpustakaan.

Mohd Fadly Samsudin

[email protected]

SATU ketika dulu, kisah kepergian ke Tanah Suci Makkah sama ada mengerjakan ibadat haji atau umrah hanya untuk golongan tua atau yang sudah pencen saja.

Namun, perkara itu sudah berubah kerana ramai golongan muda hari ini terdorong untuk mengerjakan ibadat umrah terutamanya, kerana ilmu mereka peroleh selain ramai juga memiliki kelebihan dari sudut kewangan.

Bagaimanapun, peluang mengerjakan ibadat ‘haji kecil’ itu tidak boleh diambil mudah. Tujuan utama ke Tanah Suci Makkah adalah untuk beribadat, bukannya sekadar mengikut trend.

Menunaikan umrah adalah ibadat seumpama seseorang itu mempersembahkan dirinya kepada Allah SWT. Sudah semestinya setiap masa ketika berada di sana akan digunakan sebaiknya untuk beribadat.

Berkongsi pengalaman kali pertama menjejakkan kaki di bumi Haramain pada usia muda, Mohamad Faizal Samsudin, 27, menyatakan peluang itu hadir tanpa sebarang perancangan, namun menganggap ia sebagai rezeki perkahwinan.

Menurutnya, pada asalnya, hanya ibu dan bapa mentua serta isterinya, Norliana Amira Musad, 25, bercadang untuk pergi bertiga saja.

“Bagaimanapun, saya berasa kurang yakin isteri dapat memberi perhatian sepenuhnya menjaga serta mengiringi ibu dan bapa mentua di sana disebabkan faktor usia mereka.

“Selepas berbincang bersama isteri, saya membuat keputusan untuk turut serta.

“Disebabkan ini kali pertama kami mengerjakan umrah, maka perancangan rapi perlu dilakukan sebaiknya bermula dengan mencari syarikat pengendali umrah.

“Berdasarkan maklumat pakej yang dipaparkan menerusi media sosial pelbagai syarikat, dari situ kami dapat membuat perbandingan dari aspek harga, jarak hotel, jenis penerbangan, makanan serta lokasi ziarah,” katanya.

Mohamad Faizal berkata, akhirnya mereka sepakat memilih pakej ditawarkan syarikat Juara Travel & Tours.

“Bagi mengukuhkan lagi ilmu berkaitan ibadat yang perlu dilakukan di Tanah Suci, kami menghadiri beberapa sesi kursus umrah.

“Tidak cukup dengan itu, kami juga mengikuti kursus dalam talian selain menekuni bahan-bahan bacaan berkaitan ibadat berkenaan.

“Memandangkan ia pengalaman pertama, memang banyak perkara yang kami belum faham.

MOHAMMAD Faizal (kanan) bersama ibu bapa mentua serta isteri di kawasan Jabal Thur.
MOHAMMAD Faizal (kanan) bersama ibu bapa mentua serta isteri di kawasan Jabal Thur.

“Peluang ke sana juga bukan mudah diperoleh. Jadi, kami perlu berusaha lebih bagi memantapkan ilmu berkaitan ibadat umrah iaitu perkara-perkara wajib umrah, larangan semasa ihram serta rukun umrah supaya semuanya dapat dilakukan dengan sempurna,” katanya.

Menurut Mohammad Faizal, kerjayanya sebagai jurugambar perkahwinan menyebabkan jadual hariannya sentiasa padat terutamanya pada hujung minggu.

“Alhamdulillah, selepas menjalani ibadat umrah ini menjadikan saya lebih menghargai masa.

“Selain itu, hal-hal berkaitan ibadat seperti solat fardu yang sebelum ini terdapat kekurangan di sana sini, kini ia perlu dijaga sepertimana kita mampu menjaga ibadat ketika berada di Tanah Suci,” katanya.

Menceritakan pengalaman sepanjang berada di bumi Haramain, Mohammad Faizal berkata, ketika berada di Madinah, rombongan mereka memulakan ziarah ke Masjid Nabawi.

“Sudah bermacam-macam artikel dibaca berkaitan pengalaman mereka yang pernah mengerjakan umrah sebelum ini.

“Namun, salah satu tempat paling banyak disebut adalah Raudhah iaitu satu ruang di dalam Masjid Nabawi yang menjadi tumpuan jemaah kerana ia salah satu tempat mustajab untuk berdoa.

“Selepas keluar dari kawasan Raudhah, kita akan melalui kawasan terletaknya makam Rasulullah SAW serta dua khalifah agung iaitu Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA.

“Tidak dapat digambarkan perasan kerana diberi rezeki dan peluang oleh Allah SWT dapat mengucapkan salam serta berdoa di makam Baginda SAW,” katanya.

Seterusnya, pengalaman hari pertama ketika setibanya di Makkah, Mohamad Faizal berkata, tepat jam 12 tengah malam rombongan mereka bergerak ke Masjidilharam untuk memulakan tawaf umrah wajib.

“Sebelum memulakan tawaf, mutawif memberi masa untuk kami berdoa di hadapan Kaabah.

“Perasaan kali pertama melihat Kaabah di hadapan mata dengan jarak yang sangat dekat tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.

 MENGABDIKAN kenangan selepas solat fardu di Masjidilharam.
MENGABDIKAN kenangan selepas solat fardu di Masjidilharam.

“Selepas selesai berdoa, kami semua mula melakukan ibadat tawaf, saei dan bertahallul. Pada jam 3.30 pagi, kami semua dapat menyelesaikan umrah wajib.

“Di Makkah, kami mengadakan lawatan antaranya ke rumah kelahiran Nabi Muhammad yang kini dijadikan perpustakaan di Masjidilharam, tapak asal telaga zamzam dan Bukit Safa dan Marwah.

“Selain itu, kami turut dibawa melawat tempat pelaksanaan ibadat haji termasuk Jabal Rahmah, Muzdalifah dan Mina,” katanya.

Ditanya pengalaman tidak dapat dilupakan sepanjang berada di Makkah, Mohammad Faizal memberitahu, kenangan paling indah apabila berpeluang mengucup Hajarulaswad.

“Pada cubaan kali pertama saya tidak berjaya lakukan kerana melihat ramai jemaah bersesak-sesak dan bertolak-tolak di situ.

“Melihat keadaan itu, saya rasa mustahil untuk mengucupnya. Bagaimanapun, saya terus berdoa supaya Allah SWT memudahkannya.

“Pada hari sama, selepas menunaikan solat Zuhur dan menghantar bapa mentua ke hotel, saya cuba lagi bergerak menghampiri Kaabah.

“Sepanjang perjalanan, saya tidak putus berdoa supaya niat dan impian saya itu tercapai. Alhamdulillah, Allah SWT memudahkan segala-galanya dalam masa yang singkat,” katanya.

Untuk berkongsi pengalaman menunaikan umrah, boleh e-mel ke [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 8:56 AM