KEHALUSAN hasil karya Indai dari olahan mimpinya menghasilkan tenunan pua yang tinggi nilai.
KEHALUSAN hasil karya Indai dari olahan mimpinya menghasilkan tenunan pua yang tinggi nilai.
Suliati Asri

BANGIE anak Embol, 78, adalah tokoh tenun pua tersohor sebagai 'penenun mimpi' di Malaysia sehingga peringkat antarabangsa.

Lebih mesra disapa Indai, dia dikatakan sudah mula menenun pada usia 10 tahun.

Menariknya pada ketika itu, kualiti tenunannya setara dengan penenun yang lebih berusia dan berpengalaman.

Anak kelahiran Ulu Sungai Kain, Kapit, Sarawak ini juga adalah generasi kelima dalam keluarga yang meneruskan perusahaan tenunan pua dan kini mewariskan kemahiran menenun kepada seorang anak perempuan serta empat menantu perempuan serta tujuh cucu.

Setiap hasil tenunan yang dihasilkan adalah ilham dari imaginasi dan mimpi yang kemudian diterjemah menjadi hasil tenunan yang bukan saja unik tetapi 'mahal' nilainya.

Diusia 78 tahun, cinta Indai tidak pernah pudar terhadap seni kraf tenunan pua dan sehingga kini, menenun sudah menjadi rutin hariannya.

Indai berkata, selepas saja bersarapan, dia akan mula menenun dan akan berhenti pada sebelah malam.

Menurutnya, diusia sebegini, penglihatan Indai sebenarnya sudah tidak berapa jelas namun masih mampu menenun menggunakan mata hati.

"Sampai sekarang, saya masih menenun kerana tenunan pua yang dihasilkan mempunyai kehalusan reka corak serta motif kemas dapat memberi kepuasan kepada saya.

"Saya juga merasa bangga apabila kain tenunan yang dihasilkan dihargai pembeli," katanya yang juga mampu menyiapkan tiga helai tenun pua dalam masa sebulan.

Dinobatkan sebagai Tokoh Kraf Negara 2024 baru-baru ini, perjalanan Indai dalam industri ini tidak semudah yang disangka.

Indai berkata, sebagai ibu tunggal yang mempunyai lima anak, beliau melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara anak-anaknya sebelum bergiat secara sepenuh masa menjadi penenun pua.

MAMPU menenun tiga helai kain sebulan walaupun penglihatannya kurang jelas.
MAMPU menenun tiga helai kain sebulan walaupun penglihatannya kurang jelas.

"Saya menghasilkan sendiri benang kapas dengan menanam pokok kapas dan memproses buahnya menjadi benang.

"Proses mewarna benang kapas juga dilakukan sendiri dengan mencari bahan-bahan asli pewarnaan dipersekitaran tempat tinggal," katanya.

Ungkapan 'sempama remaung mati ningalka bekau, mensia mati ningalka nama' bermaksud 'umpama harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama' menjadi aspirasi dalam setiap perkara yang dilakukan.

Keazaman dan semangat itu melayakkan Indai menjadi 'individu pilihan' sebagai pewaris 'Ngar' (upacara memuja benang).

Walaupun pada mulanya Indai tidak bersedia mewarisi upacara terbabit, tetapi dia akhirnya terpaksa akur demi memelihara budaya dan meneruskan warisan nenek moyangnya.

Pada usia 40 tahun, Indai mengetuai upacara 'Ngar' dan menjadi 'penenun mimpi' termuda dalam sejarah masyarakat Iban di Sarawak.

Indai memiliki kedudukan tertinggi dalam status sosial penenun pua dengan gelaran 'Indu Tau Nakar Tau Ngar' (wanita yang mahir dalam proses pewarnaan asli).

Ini menjadikan helaian kain yang ditenun Indai sangat unik dengan keaslian reka corak hasil daripada olahan mimpi serta imaginasinya.

Antara hasil karya Indai yang cukup istimewa ialah Kandung Nibonh Berayah Batang Pinang Bersembah, Tangga Beji, Bunga Terabai, Bulan Bintang, Puteri Duyung dan banyak lagi.

Kejayaannya menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Kraf Negara 2024 baru-baru ini nyata membuatkan Indai lebih bersemangat untuk terus memartabatkan seni kraf tenunan pua ini.

Katanya, selain akan terus giat mengajar melalui bengkel, kursus dan kelas bimbingan, Indai juga mahu memastikan seni warisan ini diwarisi generasi baru.

"Tenunan pua ini sangat unik. Oleh itu, saya berhasrat untuk mengajar generasi baharu menggunakan teknik tradisional supaya penghasilan tenunan pua tradisional dapat dikekalkan.

"Bagaimanapun, bagi yang ingin terbabit dalam seni kraf tenunan pua ini, nasihat saya, mereka perlu mempunyai semangat yang tinggi dan sentiasa berusaha dalam menghasilkan tenunan pua yang baik.

"Seperti 'sempama remaung mati ningalka bekau, mensia mati ninggalka nama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 7:00 AM