ANTARA kain tenun Pahang Diraja yang dipamerkan.
ANTARA kain tenun Pahang Diraja yang dipamerkan.
TUNKU Azizah `mencolek’ kain tenun di bengkel tenun Kampung Temai Hilir .
TUNKU Azizah `mencolek’ kain tenun di bengkel tenun Kampung Temai Hilir .
PENENUN ketika membentuk colek.
PENENUN ketika membentuk colek.
TUNKU Azizah melihat kain tenun lama yang disimpan Adiguru Tenun Pahang Diraja Nortipah Abdul Kadir (tengah) di galeri tenun milik adiguru berkenaan di Kampung Pulau Keladi sempena lawatan baginda bagi meninjau perkembangan industri Tenun Pahang Diraja.
TUNKU Azizah melihat kain tenun lama yang disimpan Adiguru Tenun Pahang Diraja Nortipah Abdul Kadir (tengah) di galeri tenun milik adiguru berkenaan di Kampung Pulau Keladi sempena lawatan baginda bagi meninjau perkembangan industri Tenun Pahang Diraja.
TENUN Pahang Diraja memiliki keistimewaan tersendiri yang harus dipertahankan turun-temurun.
TENUN Pahang Diraja memiliki keistimewaan tersendiri yang harus dipertahankan turun-temurun.
ANTARA kain tenun Pahang Diraja yang dipamerkan.
ANTARA kain tenun Pahang Diraja yang dipamerkan.
ZAINABON bersama koleksi fesyen Tenun Pahang Diraja yang dipamerkan di bengkelnya di Kampung Temai Hilir.
ZAINABON bersama koleksi fesyen Tenun Pahang Diraja yang dipamerkan di bengkelnya di Kampung Temai Hilir.
Siti Salmiah A Hamid

‘Kajang Sangga warna dewangga, Corak Tengku Ampuan dahulukala, Menyerlahkan wajah nan ayu, Anggun menawan gadis Melayu’

Bait-bait indah lagu nyanyian Allahyarham Datuk Rafeah Buang ini secara langsung menceritakan keistimewaan fabrik tradisional Pahang.

Kain Tenun Pahang Diraja bukan asing dalam kalangan peminat busana, malah kain tenunan tradisional ini ada kelasnya tersendiri.

Tidak hanya memperlihatkan warna dan kemasan pada kain ditenun, ia turut diserikan dengan pelbagai colek atau motif lama dan moden yang menyerlahkan si pemakai.

Lebih menarik, tenun Pahang yang sudah lama dikomersialkan berjaya menarik minat segenap lapisan masyarakat apabila pelbagai produk turut dihasilkan seperti kain sarung, samping, kasut, beg tangan, tali leher, bingkai gambar, gelas, kotak hadiah dan permainan kanak-kanak.

Sudah tentu individu yang memainkan peranan memartabatkan fabrik ini sehingga mendapat perhatian seantero dunia ialah Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Peluang mengikuti Program Tawaf Tenun Pahang Diraja Bersama KDYTM Tengku Puan Pahang membuka peluang kepada penulis mengenali lebih dekat jati diri, semangat dan kesungguhan pengusaha yang tidak jemu memartabatkan fabrik tradisional ini.

Bekerja sepenuh masa sebagai penenun kain bukan mudah kerana ia memerlukan kesabaran dan ketelitian untuk menyiapkan sepasang kain.

Rata-rata, penenun tidak memerlukan pengesahan kemahiran yang diperakui di atas kertas kerana kebanyakannya memiliki kemahiran sejak turun-temurun.

Ilmu tinggalan warisan keluarga inilah yang perlu dijaga kerana tidak semua keluarga penenun memiliki kemahiran membentuk colek yang sama.

Sharifah Norashikin Syed Agil, 43, sudah bekerja lebih 10 tahun dalam bidang ini ketika ditemui sedang menyiapkan empat meter kain tenun di Kompleks Pengembangan Tenun Pahang Diraja, Kuantan.

Jari jemarinya lincah bergerak tatkala bermain dengan benang bagi membentuk colek yang diingini, sementara kaki tidak terlepas dari mesin tenunan yang sudah sebati sejak remaja lagi.

Begitupun, dia dan penenun lain menitikberatkan ketelitian agar setiap tenunan dihasilkan terjalin rapi dan indah mata memandang.

Menurutnya, colek yang cantik dibentuk mengikut kreativiti dan ilham penenun.

“Adakalanya ketika menarik keluar benang kita sudah boleh bayangkan bentuk colek yang nak digunakan. Warna colek juga memainkan peranan untuk melahirkan busana indah dan mewah.

“Apatah lagi, tenunan secara manual hanya dikhaskan untuk pakaian berbanding tenunan automatik dikhaskan untuk produk bukan pakaian. Justeru, tugas ini menuntut kesabaran. Untuk menyiapkan empat meter kain mengambil masa sebulan hingga sebulan setengah,” katanya.

Beri peluang warga FELDA asah kemahiran menenun

Di Kompleks Industri & Rekreasi FELDA Chini lain pula ceritanya kerana bukan saja menjadi pusat tenunan bagi warga FELDA, malah turut membuka peluang kepada anak mereka menimba pengalaman.

Pengurus Pusat Tenun Pahang Diraja FELDA Roslan Mohd Zain berkata, semua kakitangan di kompleks itu anak peneroka dan operator FELDA.

“Selain kain ela, kami turut menerima tempahan kain tenun yang dihasilkan sepenuhnya warga FELDA. Mereka turut mahir mengeluarkan produk bukan pakaian seperti kotak hadiah dan beg.

“Kami turut menerima tempahan daripada syarikat tempatan yang memerlukan kain tenun dalam kuantiti banyak,” katanya yang pernah menerima tempahan kain tenun daripada pereka fesyen tersohor Bernard Chandran sebanyak 400 meter.

Bertemu Zainabon A Bakar antara kisah menarik kepada remaja masa kini kerana pengalamannya lebih 15 tahun dalam bidang tenunan.

Katanya, sejak remaja dia sudah berminat menenun. Dengan inisiatif sendiri, dia mempelajari tenun di Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang sebelum membuka pusat tenun sendiri. Meskipun skala kecil, pusat tenun Zainabon memberi peluang kerja kepada penduduk setempat terutama suri rumah dan ibu tunggal yang tiada punca pendapatan.

Di kala beberapa pusat tenun sudah mencapai era kemodenan dengan menggunakan mesin berdaya maju, pusat tenun Zainabon masih mengekalkan cara tradisional bagi memelihara keaslian dan kualiti.

“Agak susah mencari generasi pelapis yang berminat. Mungkin kerana ia dianggap tradisional dan memerlukan masa lama menyiapkan semeter kain membuatkan belia tidak betah melakukannya.

“Namun, jika didorong rasa minat dan tanggungjawab mahu memartabatkan warisan ini, sudah pasti kraftangan berharga ini akan sentiasa hidup hingga ke anak cucu,” katanya yang kini ada 11 pekerja.

Pada usia 70 tahun, Nortipah A Kadir dari Pulau Keladi boleh dianggap guru ilmu tenun tertinggi kerana mewarisinya sejak turun-temurun.

Sebagai pemegang warisan keluarga selama 11 generasi, dia sudah pasti dikenali ramai dan menjadi sumber rujukan kebanyakan pengusaha tenun.

Nortipah mula menenun sejak berusia 13 tahun dengan mempelajarinya daripada ibu dan nenek. Justeru, sudah hampir 55 tahun fabrik tradisional ini sebati dengan dirinya.

Ia bermula dengan modal serendah RM500 untuk membeli benang dan peralatan lain, selain menggunakan jentera tenun milik keluarganya.

“Saya masih berpegang dengan pesan orang tua agar menjaga kualiti. Kain yang berkualiti memberi hasil lebih baik dan cantik. Disebabkan itu, saya tak berminat menggunakan mesin, malah sudah sebati menenun secara manual.

“Untuk membentuk colek yang lawa (cantik) kena buat dengan elok. Lebih rumit colek yang hendak dibuat, lebih lama masa diambil,” katanya.

Kain tenun buatan Nortipah sering menjadi pilihan Tengku Puan Pahang kerana kehalusan buatan tangan dan pengalaman ‘orang lama’ melahirkan hasil tenun terbaik.

Tenun Pahang Diraja bukan saja dipelopori usahawan desa, malah sudah menjadi aktiviti di Kompleks Penjara Bentong dan Penjara Penor.

Seramai 110 banduan (Bentong 40, Penor 70) menyumbang pendapatan sebanyak RM380,000 pada tahun ini dalam pembuatan tenun Pahang.

Bukan mudah untuk mendapatkan banduan berkemahiran, namun atas inisiatif diri dan tenaga pengajar, 110 orang mampu melahirkan fabrik tenun bermutu, kemas dan asli.

Kebanyakan banduan yang terpilih adalah mereka yang menjalani hukuman lama dan seumur hayat. Malah, mereka yang ada pengalaman dan potensi turut dikenal pasti untuk meneruskan usaha itu selepas dibebaskan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 2:41 PM