RAMTINIWATI gilap kemahiran dalam tenunan songket Sarawak sehingga berupaya jadi pengusaha industri kraf. FOTO Ihsan Kraftangan Malaysia
RAMTINIWATI gilap kemahiran dalam tenunan songket Sarawak sehingga berupaya jadi pengusaha industri kraf. FOTO Ihsan Kraftangan Malaysia
Nurul Husna Mahmud

PERSALINAN songket satu ketika dahulu ia digayakan golongan bangsawan dan istana dalam majlis rasmi.

Tanpa menyebut dari mana asalnya, ramai terus meneka tenunan fabrik itu semestinya dari Pantai Timur terutama dari Terengganu yang sudah tersohor hasilnya baik dalam negara mahupun ke luar.

Sedangkan negeri lain termasuk Sarawak turut memiliki penenun songketnya tersendiri dengan kaedah unik membuatkan ia menjadi buruan golongan kenamaan.

Pengamatan penulis, pastinya mereka yang menenun bukan calang-calang, semestinya wanita berusia melangkaui separuh abad.

Tanggapan itu disanggah Kraftangan Malaysia sebaik memperkenalkan Pengusaha Songket Sarawak di Gedong Simunjan Sarawak, Ramtiniwati Ramlee, 34, mengusahakan bersama tujuh penenun lain.

Katanya, dia tidak memiliki sebarang kemahiran dalam jahitan mahupun pembuatan fabrik selain tidak menyangka kursus secara intensif bersama Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak pada 2006 menggilap kemahiran dalam tenunan songket sehingga berupaya menjadi pengusaha industri kraf itu.

RAMTINIWATI mahu komuniti seperti wanita muda atau belia berkeluarga menceburi industri kraf songket Sarawak untuk tingkatkan ekonomi. FOTO Ihsan Kraftangan Malaysia
RAMTINIWATI mahu komuniti seperti wanita muda atau belia berkeluarga menceburi industri kraf songket Sarawak untuk tingkatkan ekonomi. FOTO Ihsan Kraftangan Malaysia

"Saya sebelum ini hanya kerja sebagai pembantu kedai tidak terfikir langsung untuk terbabit dalam kerja menenun songket sehingga mencuba nasib apabila Kraftangan Malaysia di Sarawak membuka sesi latihan jangka pendek tenunan songket Sarawak.

"Selepas habis belajar saya bekerja terlebih dahulu dengan pusat tenun dan kedai songket seperti Yayasan Tuanku Zahirah Cawangan Kuching, Marzuki Tenopi House sehingga 2014, saya memutuskan pulang ke kampung untuk mulakan sendiri.

"Pada 2016 apabila melihat sudah ada permintaan dan semakin berkembang apabila turut mengupah orang kampung dan ahli keluarga sendiri dalam membantu menghasilkan produk kraf songket Sarawak," katanya.

Katanya, selepas berkecimpung 16 tahun dalam kerja tenunan songket Sarawak, hala tujunya bukan sekadar untuk membekalkan produk semata-mata memastikan warisan tenunan songket berkenaan terus diwarisi golongan muda.

"Bezanya penggiat atau penenun songket Sarawak di Gedong ini boleh lihat rata-ratanya masih muda. Kebanyakan kami berusia 30-an yang melakukan kerja tenunan.

AKTIF dalam demonstrasi bersama Kraftangan Malaysia. FOTO Ihsan Kraftangan Malaysia
AKTIF dalam demonstrasi bersama Kraftangan Malaysia. FOTO Ihsan Kraftangan Malaysia

"Hasil kami beri tiada kurangnya dengan pembuat tradisi songket di Rajang sudah berpengalaman lebih tiga dekad. Jadi pada saya, sumbangan tidak langsung adalah terus melahirkan pelapis dapat menyambung tradisi penenun warisan.

"Kelainan songket Sarawak dengan Pantai Timur, penenun tempatan mencipta kaedah sembunyi benang yang mana kemasan kain di dua muka kain tampak serupa.

"Motif pada songket tidak kurang bezanya dengan Pantai Timur iaitu bunga bintang di sini lebih dikenali dengan tapak sulaiman dan banyak lagi," katanya.

Menceritakan pesanan paling mahal pernah dihasilkan, katanya, ia bergantung kepada panjang kain dan kesukaran motif dihasilkan.

"Pengalaman saya, pernah juga mendapat tempahan RM12,000 bagi persalinan Kain Belatak yang boleh dijadikan selendang atau kain persalinan perempuan manakala sampin atau kemasan kain lelaki. Ini disebabkan ia labuh.

"Kalau tempahan paling rumit boleh pergi ke puluhan ribu mengikut panjang kain dan biasanya butik pengantin mahukan padanan eksklusif untuk pasangan sedondon. Biasanya ini memerlukan sekitar dua hingga tiga bulan dan dilakukan dua hingga tiga orang membantu," katanya yang juga pengasas Seri Gedong Songket.

PELBAGAI motif dengan warna menyerlah pada songket Sarawak. FOTO Ihsan Kraftangan Malaysia
PELBAGAI motif dengan warna menyerlah pada songket Sarawak. FOTO Ihsan Kraftangan Malaysia

Melihat perkembangan pelatih tenunan songket Sarawak seperti Ramtiniwati bukan sahaja mahir menenun, malah mengembangkan tenaga mahir dalam tenunan kraf itu dalam komunitinya, Pengarah Kraftangan Sarawak, Azran Arip berkata, sebahagian objektif pihaknya tercapai.

"Pada saya apabila adanya pelatih komuniti berjaya daripada kumpulan mengikuti program dianjurkan pusat kraf walaupun mengambil masa lama, setidak-tidaknya usaha kami nampak hasilnya.

"Meskipun seorang dua daripada 11 orang yang mengikuti program berjaya daripada tenaga mahir kemudian beralih kepada pengusaha dan membangunkan industri di komuniti, kelangsungan industri yang juga warisan itu dapat dikembangkan.

"Jadi usaha untuk memperkenalkan songket Sarawak itu dalam kalangan umum dapat diteruskan dan tidak mustahil juga terus diberi dikomersialkan supaya songket Sarawak ini boleh popular seperti mana penerimaan songket tenunan dari Pantai Timur," katanya.

Tidak terhad semata-mata fokus kepada persalinan, malah pihaknya turut mempelbagaikan produk kraf berasaskan tenunan songket Sarawak itu.

PENGGUNAAN songket Sarawak diberi sentuhan pada rekaan moden. FOTO Ihsan Kraftangan Malaysia
PENGGUNAAN songket Sarawak diberi sentuhan pada rekaan moden. FOTO Ihsan Kraftangan Malaysia

"Pendedahan yang diberikan Kraftangan Malaysia termasuk aktiviti Promosi Kraf Malaysia, makmal bimbingan teknikal, menjadi tenaga pengajar dan dari aspek pembangunan produk baharu.

"Pembangunan produk tenunan songket ini diperkembangkan lagi Kraftangan Malaysia dengan menghasilkan rekaan mengikut trend dan cita rasa terkini terutama dari segi penggunaan warna, motif dan reka corak serta produk hiliran lain yang boleh dikomersialkan.

"Melalui Program Rekaan dan Penyelidikan, Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak juga telah membangunkan produk tenunan songket. Bermula dengan penggunaan kombinasi warna segar dan kontra pada benang loseng dan pakan, motif baharu diperkenalkan dengan menonjolkan elemen identiti tempatan serta susunan jalur loseng yang menarik," katanya.

Dibantu platform pemasaran online E-Kraf Bazar, produk tenunan songket ini dipromosi dan dipasarkan selain jualan secara tempahan orang perseorangan dan aktiviti Festival Kraf Tekstil Borneo dan Festival Kraf Borneo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 7:00 AM