SUKAR bezakan bahagian dalam dan luar kain songket yang dihasilkan lapan penenun di Kampung Kuala Rajang, Belawai di Mukah, Sarawak. FOTO: Aziah Azmee
SUKAR bezakan bahagian dalam dan luar kain songket yang dihasilkan lapan penenun di Kampung Kuala Rajang, Belawai di Mukah, Sarawak. FOTO: Aziah Azmee
Norlaila Hamima Jamaluddin


BERBEKALKAN sifir yang memeningkan, mereka menghasilkan karya seni mengagumkan. Kerja tangan yang disulami kesabaran, ketelitian dan kehalusan coraknya menggunakan kaedah sembunyi benang membuatkan kain songket Sarawak cukup istimewa kerana ia boleh dipakai luar dan dalam.

Pada pandangan mata tidak mahir seperti mata penulis, memang sukar membezakan antara bahagian dalam dan luar kain songket yang dihasilkan lapan penenun di Kampung Kuala Rajang, Belawai di Mukah, Sarawak khususnya bagi corak bunga penuh.

SAANAH menunjukkan kain songket Rajang corak bunga tabur yang berusia 100 tahun.
SAANAH menunjukkan kain songket Rajang corak bunga tabur yang berusia 100 tahun.

Ketua Kumpulan Tenun Songket Rajang, Saanah Suhaili, 63, mengakui kehalusan jalinan tenunan ini menjadi tanda pengenalan kepada songket Rajang walaupun ia mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan.

“Secara purata penenun mengambil masa sebulan untuk menyiapkan sehelai kain berukuran 92.5 sentimeter lebar dan 2.3 meter panjang. Bagaimanapun, tempoh ini berbeza mengikut corak dan kepantasan penenun.

“Inilah sebabnya juga di sini kami tiada helaian siap yang sedia untuk dibeli. Semua helaian yang anda lihat di sini sudah ada pemiliknya. Kami buat mengikut tempahan dan pelanggan boleh memilih motif mengikut cita rasa masing-masing sama ada mahukan motif bunga tabur, bunga penuh atau jalur. Namun kalau mahukan corak bunga tabur perlu sabar menunggu kerana pembuatannya lebih rumit,” katanya.

SITI Hasmah tekun dalam proses mengangkat butang bunga sebelum menenun.
SITI Hasmah tekun dalam proses mengangkat butang bunga sebelum menenun.

Katanya, setiap penenun perlu hafal hampir 30 sifir yang memeningkan kerana ia menjadi asas penting untuk merangka corak songket. Sifir itu dicipta pada 1989 bersama Dayang Norsalam Awang Perseh yang diangkat Kraftangan Malaysia sebagai Adiguru Kraf Songket Sarawak pada 1995.

Daripada gandingan beberapa siri sifir inilah lahirnya jalinan corak manis-manis sayang, ikatan janji, belangkas, pucuk rebung, sukit lidi, tampuk manggis, pekin, salak, bunga retis, kuih kuyak, keris dan orang ulu.

Malah pelanggan boleh memilih sama ada mahu corak songket ini ditenun menggunakan benang emas, perak atau gabungan kedua-duanya. Kalau dulu, benang kapas yang dijadikan asas kain digentel sendiri, kini semuanya dibeli daripada pembekal di Terengganu.

Namun, kata Saanah, ada juga yang mahukan songket daripada benang sutera. Namun pembuatannya lebih mencabar dan lambat siap kerana benang sutera lebih halus. Jika tersilap perkiraan, tenunan lebih sukar untuk dibuka dan dibetulkan semula.

Melihat kepada kehalusan tenunan songket di bengkel berkenaan, tidak hairanlah jika harganya juga mahal dan kumpulan ini pernah menjual sehelai samping pada harga RM10,000. Malah ia juga mendapat perhatian ramai pemimpin negara yang mahukan corak eksklusif tetapi masih mengekalkan ciri tradisional.

Songket Sarawak adalah seni tenunan tradisional masyarakat Melanau di Mukah. Pembuatan kain tenunan ini juga tersebar ke beberapa kawasan di Samarahan dan Simunjan untuk menghasilkan kain samping, sarung dan selendang indah.

Menurut Saanah, meskipun mempunyai asas dalam penghasilan songket yang dipelajari daripada nenek, emak dan kakak, dia tetap mengambil peluang menambah ilmu untuk memperbaiki kemahirannya.

MENGIRIT sambil mengarap kaedah pantas untuk hasilkan tenunan kreatif.
MENGIRIT sambil mengarap kaedah pantas untuk hasilkan tenunan kreatif.

“Sebenarnya di kampung ini memang ramai penenun sejak 1960-an lagi yang mengusahakan songket secara persendirian di rumah. Namun mungkin disebabkan kerumitannya dan pulangan yang lambat, ramai tidak berminat dan saya mengakui agak sukar untuk mencari pelapis walaupun sudah dua kali diadakan bengkel mengajar tenunan songket Rajang,” katanya yang diberi anugerah Tukang Ulung Tenunan Songket Sarawak oleh Kraftangan Malaysia.

Perkara ini diakui Siti Hasmah Hussaini, 42, yang sudah 12 tahun menjadi penenun bersama kumpulan itu. Bersandarkan kepada minat dan ilmu yang diwariskan oleh ibu saudaranya, hasil tenunan songket itulah yang dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menambah pendapatan keluarga dan menyekolahkan anak.

“Dalam sebulan saya boleh menghasilkan sehelai songket. Kalau cepat, boleh siapkan dua helai kain samping, bergantung kepada corak yang ditempah. Saya sendiri masih belajar untuk mahir dan menjadi penenun yang cekap.

“Biasanya apabila sudah mahir dalam proses menenun iaitu daripada melonseng, menggulung benang, mengarap, mengangkat butang bunga, menyambung benang, mengisi gigi jentera dan menyongket bunga, seseorang itu boleh mula menenun sendiri dalam masa dua bulan,” katanya.

Kata Saanah, dia dan ahli kumpulannya kini sangat teruja apabila diberi peluang menyertai dan mempamerkan hasil seni mereka di Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 anjuran Kraftangan Malaysia pada 12 hingga 21 April ini di pusat beli-belah Suria Sabah, Kota Kinabalu. Semuanya mengharapkan pendedahan itu akan menarik minat generasi muda untuk menjadi pewaris kemahiran seni yang sangat berharga itu.

Bersempena Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 ini, Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak melaksanakan beberapa aktiviti pembangunan produk baru dan pengeluaran produk sebagai persediaan pemasaran. Aktiviti ini memfokuskan kepada produk kraf tekstil tradisi seperti tenunan songket, pua dan batik linut iaitu antara inovasi baru dari aspek penggunaan bahan serta teknik pembuatan.

EDWARD bersama tenun pua karap gabungkan motif asli Iban dan songket. FOTO: Aziah Azmee
EDWARD bersama tenun pua karap gabungkan motif asli Iban dan songket. FOTO: Aziah Azmee

PUA KARAP

Keterujaan untuk menyertai festival dengan tema Jalinan Inspirasi Kehidupan Borneo turut dirasai Edward Pawi ak Gayok, 68, yang menghasilkan tenunan pua karap. Mana tidaknya, inilah kali pertama dia dapat memperkenalkan tenunan pua karap kepada umum.

Mula belajar menenun pua sejak 1990 dengan memerhatikan gerak kerja penenun dan menganyam. Walaupun ada pihak yang agak berkira untuk berkongsi ilmu dengannya, tetapi Edward tidak putus asa. Setiap kali ada kelapangan, dia akan ke mana-mana rumah panjang untuk memerhatikan cara orang menenun kain pua.

Kini, selepas menamatkan perkhidmatannya sebagai guru seni, dia mampu menenun dengan baik di samping merangka motif tersendiri. Mungkin ramai tidak tahu tenunan pua ada tiga jenis iaitu pua kumbu, pua sungkit dan pua karap yang menggunakan alat tenun sandang belakang. Pua karap juga melalui proses yang sama seperti pua kumbu iaitu mengirit, mengarap, menegi, karap bunga dan diakhiri dengan menenun corak.

Pua karap selalunya dijadikan pakaian tradisional kaum Iban seperti baju burung (rompi atau ves) skirt dan selampai (selempang). Bezanya dengan tenun pua yang lain, pua karap yang dihasilkan oleh pesara guru seni ini, dia melangkau beberapa langkah iaitu hanya mengirit (menyusun benang) dan menenun sambil mengarap (buat corak).

Melalui cara ini, tenunannya dengan menggunakan benang emas dan perak menggabungkan motif asli Iban dan songket dapat disiapkan lebih cepat. Dalam masa seminggu, dia boleh menyiapkan sehelai tenunan bersaiz 67.5 sentimeter lebar dan 2.5 meter panjang untuk dijadikan skirt. Bagi menghasilkan kain bumi (sarung) masa yang diambil lebih sedikit kerana saiznya yang agak besar.

“Saya mula mencuba dengan saiz kecil seperti selampai. Dalam pada memahirkan diri, saya buat rekaan motif sendiri supaya ia tampak segar dan diminati golongan muda. Pada awalnya banyak pihak tidak percaya dengan kemampuan orang tua seperti saya untuk menenun tetapi pengalaman membuktikan hasil daripada tangan tua ini ada kelas dan peminatnya,” katanya sambil tersenyum.

Benar, melihat kesungguhan Edward bekerja dan keunikan motifnya yang diberikan sentuhan moden, membuatkan dia tidak menang tangan menerima tempahan. Bahkan rasanya ada peminat yang tidak sabar menggayakan tenunan pua karap Edmund kala meraikan Hari Gawai pada Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 6:00 AM