KAEDAH ‘microdermabrasion’ yang tidak menyakitkan bagi membuang sel mati.
KAEDAH ‘microdermabrasion’ yang tidak menyakitkan bagi membuang sel mati.
Nurul Husna Mahmud


SETIAP individu mempunyai masalah kulit tersendiri berdasarkan jenis kulit selain perubahan umur yang sedikit sebanyak mempengaruhi tahap kesihatan kulit.

Kulit wajah antara bahagian yang lebih terdedah kepada sinar matahari, debu, pencemaran dan mempunyai lebih banyak kelenjar.

Ia termasuk kelenjar minyak hingga membuatkan kotoran lebih mudah menempel dan kulit lebih mudah kusam.

Atas sebab itu, kulit wajah lebih gelap berbanding bahagian tubuh lain yang boleh dilindungi dengan mengenakan pakaian berbanding muka kerana lebih sukar untuk ditutup.

Menurut Pengasas Tini's Spa, Hartini Halim, masalah yang sering menggusarkan wanita mengenai masalah kulit adalah pelbagai dan salah satunya pigmentasi yang menjadi isu besar dalam kalangan wanita berusia 40 tahun ke atas.

"Pigmentasi antara isu besar apabila bercakap mengenai kesan ketara pada kulit disebabkan faktor umur.

"Bahagian kulit gelap atau cerah tidak sekata selain ada kehadiran jeragat atau tompok menyebabkan masalah itu lebih buruk.

"Selain itu, pigmentasi adalah kesan semula jadi berpunca daripada aktiviti rembesan melanin yang tidak terkawal oleh kelenjar endokrin.

"Tetapi, keadaan ini boleh menjadi bertambah buruk dengan pendedahan kepada cahaya matahari, penggunaan kosmetik tidak sesuai hingga boleh merosakkan kulit seperti penggunaan produk yang ada kandungan hidrokuinon dan komplikasi pengambilan ubat tertentu," katanya.

Hidrokuinon adalah bahan kimia pencerah kulit dan boleh menyebabkan radang pada kulit yang disapu (warna kulit kemerah-murahan, gatal dan mengelupas), ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

Meskipun pada mulanya memberi kesan diinginkan pemakainya, komplikasi penggunaan produk ini dalam tempoh panjang boleh menyebabkan kulit menjadi tompok-tompok hitam selepas terdedah cahaya matahari.

Keadaan ini dikenali sebagai 'exogenous ochronosis' dan kesannya mungkin berkekalan serta amat sukar dirawat.

Tambah Hartini, individu berusia muda boleh mengalami pigmentasi, tetapi tidak ketara kerana kulit muda mempunyai sistem pemulihan sel kulit lebih baik dengan rawatan minimum.

"Generasi muda sekarang sebenarnya lebih peka atau sensitif dengan penjagaan wajah kerana media sosial dan sebagainya.

"Pada saya itu satu impak positif kerana mereka menjaga dari awal, tetapi perlu panduan yang betul supaya menangani masalah dengan penggunaan produk dan kaedah sesuai.

"Rutin penjagaan kulit di rumah atau secara kendiri yang mana membabitkan rutin mencuci muka, mengenakan pelembap dan krim pelindung sinaran ultra ungu (UV) penting dalam memastikan kulit wajah dalam keadaan terbaik," katanya.

Perunding kecantikan itu turut menyarankan rawatan tambahan seperti mengunjungi pusat kecantikan bertauliah dan menemui juruterapi kecantikan membantu untuk hasil lebih baik.

"Untuk hasil lebih baik atau membantu mengatasi masalah kulit serius seperti jeragat, parut jerawat dan sebagainya, ia sukar dicapai dengan penjagaan kulit biasa.

"Perlu menjalani rawatan tertentu di pusat penjagaan atau 'medispa' yang menawarkan perkhidmatan lebih intensif untuk hasil kulit lebih cantik," katanya.

Penjagaan kulit tambahan adalah perlu bagi membantu menangani masalah kulit kusam dan membantu memperlahankan aktiviti pigmentasi kulit.

Terdapat kombinasi kaedah urutan dan prosedur penjagaan kulit tertentu.

Rutin dalam penjagaan kulit bagi masalah kusam dan mempertahankan pigmentasi:

1. Cucian muka pertama

Bertujuan menyingkirkan kotoran daripada kulit termasuk penggunaan solekan berat. Cucian lebih intensif.

2. Cucian muka kedua

Untuk memastikan kulit lebih segar dan membilas lembut dengan pencuci lebih halus agar dapat meresap dan menghindari kotoran dari pori-pori kulit.

3. Rawatan Bio-Hydroderm

Kaedah rawatan yang non-invasif dan agak selesa menggunakan mesin dan alatan khas dipanggil 'microdermabrasion'.

Prosedur ini membuang sel kulit mati, kusam dan tidak sihat. Proses ini juga membabitkan penggunaan serum dan air bagi membuang kulit lama supaya tidak mengeringkan kulit sihat.

4.Proses stimkan kulit

Dengan mesin stim kulit, liang pori-pori dibuka bagi memudahkan proses rawatan berikutnya.

5. Proses pengekstrakan dan penyingkiran bintik hitam atau perkara yang menghalang pori kulit

Dalam proses ini juruterapi menjalankan kerja membuang bintik hitam atau bahan yang menyumbat pori.

Proses ini penting kerana boleh mencegah masalah kulit lebih serius iaitu 'breakout' (keadaan kulit radang dan berjerawat).

Bahagian biasanya memiliki bintik hitam lebih ketara adalah di hidung, dahi dan dagu.

6. Penggunaan alat frekuensi tinggi bagi urutan lembut pada wajah

Alat khas yang menyerupai skop ini bertujuan memberi rangsangan bagi pengaliran darah lebih lancar pada wajah selain mampu menghindari bakteria.

Rawatan dengan mengalirkan gas argon pada muka berkesan bagi masalah kulit berjerawat kerana kesan antibakteria dimiliki gas itu.

7. Vakum atau menyedut bintik hitam atau sebum

Sebum merujuk kepada bahan berlilin dan berminyak dihasilkan untuk melembapkan kulit boleh berlebihan serta menghalang kulit.

Vakum mikro atau penyedut khas bagi membuang bintik hitam atau kotoran lain pada muka lebih berkesan tanpa proses yang menyakitkan.

Proses ini meminimumkan kesan radang atau kemerah-merahan akibat rawatan menyingkirkan bintik hitam.

8. Urutan

Urutan meningkatkan lagi aliran darah ke muka, sekali gus membantu meningkatkan aktiviti sel kulit

Ini juga membantu kulit kelihatan lebih segar dan meremajakan kulit.

Urutan juga membabitkan bahagian bahu kerana terdapat bahagian boleh merangsang sistem penghasilan hormon baik untuk kesihatan kulit dan tubuh.

9. Pupur muka dan proses 'oksigenkan' kulit

Proses ini oksigen akan diserap dalam kulit untuk merangsang kulit menjadi lebih lembap dan sihat.

Kesan lain kulit lebih bermaya dan ia membantu mencerahkan kulit.

10. Pemakaian pelembap dan krim pelindung cahaya matahari

Jadikan pemakaian ini sebagai rutin kerana kulit kelembapan tinggi juga adalah kulit lebih sihat dan 'awet muda'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 7:00 AM