DR Riza menunjukkan krim detoks yang digunakannya.
DR Riza menunjukkan krim detoks yang digunakannya.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Ramai beranggapan alat solek bahan utama menjadikan seseorang kelihatan cantik, namun tanggapan itu tidak tepat kerana sebelum bersolek, kita perlu bermula dengan sebuah kanvas yang jelas dan cantik iaitu kulit anda.

Bagi mendapatkan kulit bercahaya dan halus, ramai wanita sanggup mengeluarkan kos besar untuk membeli produk penjagaan kulit wajah.

Jadi, mengapa kulit mulus amat penting? Kulit halus dan bersinar menjadi impian setiap wanita kerana ia melambangkan kesihatan, kualiti dan paling penting kecantikan.

Kulit yang baik adalah alat solek terbaik dan anda tidak perlu bimbang solekan akan cair di wajah anda atau harus membaiki solekan dengan kerap.

Pengasas Butik Kecantikan Ariana Ming (AM Beauty) Dr Riza Hartini Razali berkata, seperti tubuh badan, wajah juga mengandungi toksin berlebihan akibat masalah dalaman yang berpunca daripada hormon, diet dan sistem penghadaman yang tidak lancar.

Dari luaran pula, wajah terdedah dengan toksin yang berpunca daripada pencemaran, sisa kimia dari produk kosmetik serta beberapa punca lain.

Justeru katanya, detoks wajah dilakukan bagi mengeluarkan kotoran di dalam wajah untuk melancarkan metabolisme pada wajah sehingga wajah menjadi segar dan tampak muda.

“Rawatan detoks perlu dilakukan beberapa sesi setiap dua ke tiga minggu selama empat kali bagi memastikan pembersihan yang optimum pada wajah.

“Detoks wajah bukan saja untuk mencerahkan wajah dan mengurangkan kulit kusam malah ia membantu menyembuhkan jerawat aktif dan mengurangkan parut jerawat.

“Sudah pasti apabila toksin dapat dikeluarkan dari wajah, ia dapat mengurangkan masalah pigmentasi sekali gus mengembalikan keremajaan kulit dan sebagai antipenuaan,” katanya.

Dr Riza berkata, rawatan detoks bukan saja dilakukan untuk wajah malah dapat merawat kawasan badan lain seperti ketiak, celah paha dan tapak kaki. Selain itu, rawatan berkenaan juga baik untuk merawat parut jerawat di bahagian dada dan belakang badan.

Bagi melakukan rawatan detoks wajah, Dr Riza menggunakan krim khas yang diimport dari Switzerland iaitu krim Double Detox yang mengandungi ekstrak tumbuhan seperti lidah buaya, chitosan, Q10, ceramide dan vitamin E.

Perawatan detoks wajah dimulakan dengan pembersihan wajah untuk membuang kotoran dan solekan diikuti lulur untuk membuang sel kulit mati pada wajah.

Seterusnya, detoks dilakukan dengan menggunakan krim Double Detox yang asalnya berwarna putih. Selepas urutan menggunakan alat ultrabunyi, segala toksin dan kotoran pada kulit mula kelihatan dan menukar warna asal krim putih kepada warna hitam atau kelabu bergantung kepada tahap toksin dalam wajah.

Menurut Dr Riza, rawatan yang dilakukan secara konsisten lama-kelamaan akan membuatkan kesan toksin semakin berkurangan dan kesan penukaran warna asal krim putih yang tidak terlalu ketara menunjukkan pengurangan toksin pada kulit.

Selapas membersih­kan kesan krim detoks, wajah akan dibiarkan seketika di bawah stim menggunakan alat stim khas bagi pembersihan kulit serta menghindari pori muka tersumbat.

Langkah seterusnya iaitu mengekstrak wajah bagi pembersihan yang mendalam. Ketika proses ini, jerawat lama, bintik hitam dan bintik putih pada wajah akan dibuang diikuti urutan wajah bagi melancarkan perjalanan darah ke bahagian muka serta pembersihan limfa.

Masker muka digunakan pada wajah yang memberi pelbagai manfaat bergantung kepada jenis masker dan masalah kulit manakala jagaan selepas rawatan dengan aplikasi penyegar dan pelembap mengikut kesesuaian jenis kulit dan diakhiri dengan pemakaian krim penghalang matahari SPF 50.

Pusat kecantikan yang terletak di Plaza Usahawan, Jalan Danau Niaga 1, Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur itu menawarkan rawatan detoks wajah pada harga berpatutan iaitu RM188 dan untuk percubaan hanya RM88.

Lebih menarik, AM Beauty yang dibuka sejak setahun lalu menawarkan perkhidmatan profesional oleh doktor perubatan bertauliah yang pasti menjamin keselamatan dan kebersihan tanpa keraguan terhadap kesan sampingan seperti sesetengah pusat kecantikan.

Bagi menjamin kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan, Dr Riza berkata, rawatan hanya akan diberikan selepas kulit dianalisis bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi pelanggan.

“Jenis rawatan bergantung kepada keadaan kulit yang sudah dianalisis. Dalam usaha memastikan rawatan yang diperoleh berkesan atau sebaliknya, kami akan sentiasa mengikuti perkembangan pelanggan.

“Kebanyakan rawatan saya lakukan sendiri dengan dibantu beberapa pekerja saya yang terlatih dan berkelayakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 1:47 PM