RAWATAN Endermologie hanya boleh didapati di beberapa cawangan AsterSpring.
RAWATAN Endermologie hanya boleh didapati di beberapa cawangan AsterSpring.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Apakah definisi wajah berseri bagi anda? Tidur atau rehat yang cukup bersama rutin penjagaan wajah teratur? Atau olesan demi olesan penyamar cela dan solekan tebal bagi menutup kesan tidak diingini pada wajah?

Pastinya ia menjadi mantra atau amalan bagi keba­nyakan wanita hari ini (termasuk penulis) terutama di saat usia melebihi tiga siri.

Namun apa yang dihidangkan AsterSpring kala mengunjungi spanya di pusat beli-belah 1 Utama, minggu lalu membuatkan penulis mula mengubah niat dan mengubah sedikit definisi itu.

Rehat, solekan dan rejim penjagaan wajah yang teratur sambil sesekali memanjakan wajah di salun dijadikan sasaran kecantikan diri untuk tahun ini.

Sesekali wajah dibelai si pakar terapi memang me­ngujakan. Urutan dan picitan lembut di beberapa titik refleksologi sekitar wajah nyata menenangkan jiwa, ditambah penggunaan produk yang tidak memudaratkan kulit.

Ketika ini, rawatan menganjal dan membentuk wajah terutama di bahagian dagu amat popular dalam kalangan wanita tempatan. Selain penggunaan krim khas yang diamalkan di rumah, rawatan untuk wajah berbentuk V ini mula jadi pilihan berikutan ia tidak memerlukan pembedahan.

Bagaimanapun, rawatan penyahtoksikan lebih menarik perhatian memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu, pencemaran dan gaya hidup yang tidak sihat.

Lebih 40 rawatan disediakan di spa ini dan ia dilakukan mengikut keadaan serta masalah kulit yang dihadapi.

Pengunjung terlebih dulu disoal selidik oleh pakar terapi kecantikan bagi menentukan jenis rawatan wajah yang sesuai dengan masalah kulit.

Selepas itu, rawatan dilakukan mengikut beberapa proses utama seperti membersihkan wajah, menyegar, menyingkirkan bintik hitam dan jeragat, melulur serta pupur.

Proses tambahan diperlukan jika mempunyai masalah kulit yang berbeza dan sukar diatasi dengan kaedah biasa.

Program Klasik Detox Endermologie kemudian ditambah, lazimnya sebagai langkah akhir iaitu proses penyahtoksikan yang tertumpu pada sekeliling wajah dan zon leher.

Penyahtoksikan sememangnya mudah dilakukan jika berkaitan dengan tubuh, tetapi tidak ramai yang tahu atau sedar dengan proses penyahtoksikan pada wajah ini.

Menurut pakar terapi kulit AsterSpring yang mengendalikan rawatan wajah untuk penulis, Claire Cheah, penyahtoksikan perlu dilakukan pada wajah kerana ia bahagian yang paling banyak terdedah dengan keadaan sekeliling.

“Pencemaran, kotoran, kurang rehat, bahan kimia pada air dan mekap, diet tidak seimbang, merokok serta gangguan hormon antara penyumbang kepada timbunan toksin pada kulit wajah.

“Toksin ini kemudian sukar dibuang secara semula jadi atau sekali gus lalu membuatkan wajah mengalami masalah kulit seperti kemerahan, cela, kering, terlalu berminyak dan sebagainya.

“Dengan teknologi terkini yang dicipta di Perancis, rawatan penyahtoksikan Endermologie ini membantu menyingkirkan toksin itu secara selamat,” katanya.

Wajah bebas cela

Sama seperti tubuh yang menjalani sesi senaman untuk membentuk dan menganjalkan otot, prinsip yang sama digunakan pada sel kulit.

Rangsangan pada fibroblas (sel utama tisu perantara yang bertanggungjawab dalam pembentukan tisu gentian tubuh seperti tendon dan ligamen) perlu dilakukan supaya ia tidak ‘tidur’ dan menjalankan tugas dengan baik.

Dijana dengan teknologi Endermologie yang dibangunkan oleh sistem LPG dari Perancis menjurus kepada pengaktifan sel dorman, rangsangan pada fibroblas ini bertindak jauh merentasi epidermis untuk menghasilkan metamorfosis pada kulit.

Justeru, AsterSpring muncul pusat penjagaan kulit wajah pertama di Malaysia yang mengguna pakai teknologi ini menerusi rawatan spa yang menenangkan fizikal dan minda.

Sesuai untuk mengurangkan kesan keletihan, sembap, kusam dan garisan penuaan, rawatan Endermologie ini membantu mengaktifkan saliran limfa bagi mempercepatkan pe­nyingkiran toksin lalu meningkatkan pengaliran mikro dalaman.

Kaedah ini juga sesuai untuk membantu mening­katkan lagi sistem pertahanan semula jadi kulit, sekali gus mengelakkan berlaku saliran limfa tersumbat yang menjadi punca masalah dagu berlapis, sembap, kulit kusam dan sukar menyerap khasiat atau vitamin daripada produk yang digunakan.

Bagi yang berdepan masalah pori besar dan bintik hitam seperti penulis, Endermologie membantu mengurangkan visual yang tidak diingini, di samping mengetatkan pori serta mengurangkan penghasilan minyak terutama di zon-T.

Menariknya, proses rawatan Endermologie yang menggunakan mesin khas ini tidak menyakitkan, malah membuatkan penulis hampir terlena disebabkan kesan urutan pada muncung alatnya.

Alat itu berfungsi seperti penyedut hampagas tetapi dalam kadar perlahan dan cabangnya berbentuk jari yang memberi urutan melegakan pada titik aromaterapi di seluruh wajah.

Namun buat masa ini rawatan Endermologie hanya boleh didapati di beberapa cawangan terpilih AsterSpring seperti di 1 Utama dan Pavilion.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 5:00 AM