LARIAN secara perlahan antara aktivitit kardio yang boleh dilakukan pada peringkat permulaan. - FOTO Google
LARIAN secara perlahan antara aktivitit kardio yang boleh dilakukan pada peringkat permulaan. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


RAMADAN bakal berakhir. Sudah tercapaikah bentuk badan yang diidamkan? Jika belum, anda perlu berusaha dan meningkatkan lagi disiplin.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti kecergasan, tidak kira berpuasa atau tidak, golongan ini pasti akan mengisi jadual latihan bagi memastikan prestasi kecerdasan berada di tahap baik.

Namun, bagi yang melihat bulan puasa sebagai waktu berehat panjang berlatih, sudah tentu untuk kembali mendapatkan prestasi terdahulu sesuatu yang mencabar.

Jurulatih kecergasan, Mohd Hoesni Rahmat berkata, bagi mereka yang aktif bersukan dan mempunyai acara perlumbaan selepas Ramadan digalakkan mempunyai persiapan awal terutama di minggu terakhir berpuasa.

"Melaksanakan latihan atau membuat perancangan di akhir minggu puasa bagi mereka yang ingin mengekalkan latihan kecerdasan selepas itu adalah amat digalakkan kerana ia meliputi persediaan dari segi fizikal dan mental.

"Dari segi fizikal, kita tidak mahu apabila sudah berakhir Ramadan, otot yang sudah lama berehat mengambil masa lama untuk bersedia melaksanakan latihan kekuatan yang lebih optimum. Begitu juga dengan mental, supaya individu berkenaan mampu mempunyai motivasi yang bagus untuk meneruskan latihan selepas bulan puasa," katanya.

Justeru, Mohd Hoesni kongsi beberapa tip yang boleh dilakukan sebagai persediaan mengembalikan latihan kecerdasan pada tahap optimum apabila berakhirnya Ramadan.

1. Mulakan senaman ringan pada terakhir minggu Ramadan

Tubuh badan yang sudah lama berehat sebenarnya boleh memadam memori kecerdasan yang sudah dibina sebelum itu. Apabila perkara itu berlaku, untuk melakukan kembali aktiviti kecerdasan pada tahap optimum selepas sebulan berpuasa pastinya memberi kejutan kepada tubuh badan.

Sebaik-baiknya, pada minggu terakhir Ramadan adalah waktu terbaik melatih semula tubuh badan supaya dapat mengingati semula latihan yang dilakukan sebelum ini.

Namun, latihan berkenaan sebaik-baiknya bukan dilakukan dengan begitu drastik supaya otot tidak mengalami 'kejutan' dan perlu dilakukan secara ringan terlebih dahulu.

Anda boleh melakukan aktiviti kecerdasan seperti latihan kardio 15 atau 30 minit sebelum berbuka puasa. Antaranya berjoging mengikut kemampuan diri, melakukan tekan tubi dan berjalan atas 'treadmill'.

2. Rancang kesinambungan latihan selepas berpuasa

Sekiranya anda mempunyai perancangan yang rapi dari segi latihan kecergasan selepas sebulan berehat adalah perkara yang amat baik untuk mengembalikan stamina.

Menerusi perancangan berkenaan, anda dapat mengenal pasti jenis latihan yang sesuai dengan sasaran atau matlamat kecergasan yang diinginkan.

Misalnya, anda melakukan aktiviti atau latihan kecergasan untuk acara perlumbaan larian, anda sudah dapat meneruskan latihan kekuatan otot yang perlu diberi perhatian secara optimum.

Contohnya, menerusi latihan ringan minggu terakhir itu, anda sudah dapat menyediakan badan untuk melakukan latihan yang lebih maksimum ketika minggu pertama perayaan.

MINGGU terakhir Ramadan adalah waktu terbaik melatih semula tubuh badan dengan senaman ringan. - FOTO Google
MINGGU terakhir Ramadan adalah waktu terbaik melatih semula tubuh badan dengan senaman ringan. - FOTO Google

3. Lakukan lebih banyak senaman teras badan dan ketahanan otot

Apabila anda sudah lama berehat daripada melakukan senaman teras badan dan ketahanan otot, tubuh akan mengambil masa untuk mengembalikan memori berkenaan.

Justeru, bagi mengelakkan otot anda lemah untuk melakukan aktiviti kecergasan, latihan secara intensif perlu dilaksanakan. Begitu juga dengan latihan teras badan.

Kedua-dua perkara itu penting untuk mengembalikan kecerdasan tubuh badan pada tahap optimum. Apatah lagi, jika anda mempunyai perancangan untuk menyertai sebarang kejohanan pada masa terdekat.

4. Mengoptimumkan latihan kardio

Latihan kardio memberi banyak kesan positif kepada tubuh badan terutama jantung supaya menjadi lebih kuat dan ia juga dapat mengembalikan pemulihan badan.

Jika anda sudah berehat selama sebulan melakukan aktiviti kecergasan, latihan kardio selepas itu perlu diberi tumpuan.

Perkara ini penting supaya anda dapat mengembalikan prestasi latihan kardio yang lebih baik.

Selain itu, latihan kardio juga dapat membuang stok lemak dalam tubuh yang tidak diperlukan oleh tubuh badan.

5. Kekalkan diet sekali sehari anda OMAD (one meal a day) tambahkan intensiti senaman dan sentiasa pastikan tiada kalori tambahan dalam minuman

Ketika berpuasa, ada individu yang hanya mengambil makanan yang perlu ketika berbuka. Malah, ia juga boleh menjadikan anda lebih cepat kenyang. Namun, pada masa sama mengambil air kosong banyak untuk kekal hidrasi.

Contohnya, ketika bersahur hanya memakan kurma dan minum air kosong. Ia sudah cukup menjadikan seseorang itu tidak lapar sepanjang hari.

Justeru, selepas sebulan berpuasa, anda boleh mengamalkan diet sama iaitu mengambil makanan yang perlu sahaja dan tidak minum air yang mengandungi kalori tinggi. Diet adalah perkara paling penting untuk mencapai berat badan atau bentuk tubuh yang diinginkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 6:47 AM