SEBILANGAN wanita memilih gimnasium sebagai tempat senaman kerana ada pelbagai kemudahan dan peralatan lengkap.
SEBILANGAN wanita memilih gimnasium sebagai tempat senaman kerana ada pelbagai kemudahan dan peralatan lengkap.
Minda Ranggong


KECERGASAN merujuk kepada keadaan tubuh yang memiliki kemampuan fizikal dan mental yang baik.

Ini termasuk kekuatan otot, daya tahan kardiorespiratori dan kesihatan fikiran.

Bagi wanita, kecergasan yang dimiliki melalui aktiviti bersenam dan gaya hidup sihat, banyak memberi manfaat terhadap bahagian dalaman dan luaran tubuh.

Bukan sahaja dapat menguatkan otot peranakan dan mengatasi pelbagai masalah kewanitaan, malah ia mengekalkan bentuk badan ideal serta membekalkan kolagen untuk kelihatan awet muda.

Beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan motivasi wanita untuk bersenam adalah berkait rapat dengan keinginan menjaga penampilan dan kecantikan.

Umum mengetahui bersenam dapat menghasilkan hormon baik terhadap badan.

Antaranya, hormon endorfin yang menimbulkan perasaan gembira, sekali gus dapat mengurangkan tekanan. Apabila kurang tekanan, hormon tetap stabil dan risiko timbulnya jerawat pun berkurangan.

Menjadi amalan harian bagi wanita untuk menjalani rutin senaman, sama ada di rumah atau di kawasan rekreasi yang disediakan.

Sebilangan wanita memilih gimnasium sebagai tempat senaman kerana ada pelbagai kemudahan dan peralatan lengkap, disertai ruangan yang selesa dan tertutup.

Kini, peluang untuk bersenam di gimnasium semakin bertambah dengan kehadiran pusat beli-belah. Selepas selesai berbelanja, wanita boleh melepaskan tekanan di gimnasium.

Megah Rise Mall, Petaling Jaya, Selangor umpamanya menawarkan pelbagai gimnasium kecergasan di tingkat dua bangunan berkenaan antaranya The Active Chimp, Anytime Fitness dan Megah Rise Badminton Club.

Menurut jurulatih kecergasan, Jeremy Tan, di semua pusat gimnasium itu pengguna dan wanita berpeluang melakukan pelbagai aktiviti kecerdasan menarik boleh dilakukan tanpa perlu bersenam di bawah cahaya matahari terik.

"Segalanya untuk kecergasan dan gaya hidup yang lebih sempurna," katanya.

Jeremy ditemui ketika penulis bersama beberapa rakan diundang ke gimnasium berkenaan baru-baru ini.

Malah, kami turut berpeluang menyertai beberapa aktiviti kecerdasan yang disediakan di semua pusat gimnasium berkenaan.

Seterusnya, jika anda menyukai aktiviti berbasikal, The Active Chimp menyediakan studio basikal yang semakin popular dalam kalangan wanita, memberikan pengalaman lebih seronok, terutama apabila dilakukan bersama sambil menikmati irama lagu.

"Bagi wanita yang sentiasa sibuk dengan kerja, tetapi masih ingin menjadikan senaman sebagai kebiasaan, Anytime Fitness pula antara pilihan yang tepat kerana beroperasi 24 jam dan anda boleh datang pada bila-bila masa sahaja.

"Bukan sekadar peralatan kecergasan, malah pelbagai kelas senaman sesuai untuk wanita seperti yoga, zumba dan 'kickboxing'," katanya.

Selain itu, bermain badminton bersama rakan-rakan dan keluarga di Megah Rise Badminton Cluba pastinya mencipta pengalaman paling bermakna.

Dengan adanya pusat kecergasan dalam pusat beli-belah, ini bukan lagi alasan bagi wanita untuk tidak bersenam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 7:00 AM