<b>FRONT LAT PULL DOWN</b>
<b>FRONT LAT PULL DOWN</b>
<b>LEG EXTENSION</b>
<b>LEG EXTENSION</b>
<b>CHEST PRESS </b>
<b>CHEST PRESS </b>
<b>SEATED LEG CURL</b>
<b>SEATED LEG CURL</b>
<b>BRIDGING (MENGGUNAKAN BOLA GIM)</b>
<b>BRIDGING (MENGGUNAKAN BOLA GIM)</b>
<b>FIT BALL ALTERNATE LIMB</b>
<b>FIT BALL ALTERNATE LIMB</b>
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Bagi sesetengah orang, melakukan aktiviti fizikal atau bersenam pada bulan Ramadan mungkin dianggap sukar dilakukan, apatah lagi ketika sedang menahan lapar dan dahaga.

Kedatangan Ramadan juga kebiasaannya hanya diisi dengan aktiviti berbentuk keagamaan dan ibadat, malah ramai antara kita menjadikan bulan ini sebagai bulan untuk berehat seketika daripada melakukan aktiviti luar dan lasak.

Ini ditambah dengan kepenatan selepas seharian berpuasa menyebabkan kita tidak lagi memikirkan keperluan melakukan aktiviti fizikal atau kecergasan.

Memang tidak dinafikan apabila menjalani ibadah puasa, badan menjadi cepat letih disebabkan kekurangan tenaga dalam tubuh. Selain itu, faktor cuaca di negara kita yang panas menambahkan kelesuan dan dehidrasi ketika berpuasa.

Bagaimanapun, kita tidak seharusnya bersikap sambil lewa dalam aspek penjagaan kesihatan diri pada bulan ini. Alasan berpuasa tidak seharusnya menjadi punca kita malas dengan hanya duduk di depan televisyen dan menghabiskan waktu pada siang hari dengan tidur.

Pengurus Cawangan Gimnasium Rockafella Paragon Selayang dan jurulatih kecergasan, Shaiful Nizam Omar berkata, sekiranya kita ingin kekal cergas dan sihat pada bulan puasa ini, amat penting kita menitikberatkan amalan melakukan aktiviti fizikal dan senaman selain penjagaan makanan yang teratur.

Katanya, walaupun berpuasa, kita juga boleh terus kekal cergas dengan melakukan aktiviti fizikal dan senaman ringan bergantung kepada keupayaan seseorang individu itu.

“Bulan puasa tidak boleh dianggap sebagai bulan untuk berehat daripada melakukan aktiviti berbentuk kecergasan. Jika kita tiba-tiba berhenti melakukan aktiviti kecergasan pada bulan puasa sedangkan sebelum ini kita sudah biasa melakukannya, ia boleh menyebabkan tahap stamina kembali kepada asal. Justeru, senaman pada bulan puasa cukup dilakukan tiga kali seminggu dengan intensiti yang ringan untuk mengekalkan stamina.

“Namun, sebelum melakukan aktiviti senaman atau latihan kecergasan, kita harus menilai keupayaan badan dan kemampuan diri kerana tahap kesihatan dan keupayaan anggota tubuh badan berbeza bagi setiap individu,” katanya.

Menurutnya, gerakan senaman ketika berpuasa seharusnya tidak terlalu berat. Gerakan juga tidak terlalu rumit, yang penting otot boleh digerakkan sehingga menjadi santai.

Lakukan senaman pada otot besar saja dan seboleh-bolehnya elakkan senaman yang akan mengakibatkan denyutan jantung meningkat kerana ia membuatkan kita lebih cepat letih. Antara senaman pada otot besar termasuk senaman pada bahagian dada, belakang, depan paha dan belakang paha.

Latihan boleh dijalankan dalam dua atau tiga set dan setiap satu set, sebanyak 10 hingga 15 kali pengulangan. Bilangan yang kerap membolehkan kita mengurangkan lemak dan pada masa sama, membentuk otot.

Selain itu, dalam setiap latihan dilakukan perlulah diselangi tempoh rehat 15 ke 30 saat setiap set dan rehat antara senaman lain pula selama seminit sebelum menyambung semula senaman lain.

Jurulatih peribadi Faiezatul Aiza Zainal Abidin menunjukkan beberapa langkah senaman ringan yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 10:58 AM