LATIHAN ‘battle rope’ mampu memberi kesan kepada otot lengan dan melatih pernafasan.
LATIHAN ‘battle rope’ mampu memberi kesan kepada otot lengan dan melatih pernafasan.
Hafiz Ithnin


LATIHAN kecergasan sememangnya menjadi perkara yang boleh dilakukan untuk membina otot dan meningkatkan prestasi fizikal.

Dari segi membina otot kita sering kali melakukan aktiviti kecergasan membabitkan latihan berat seperti menggunakan peralatan bantuan senaman di gimnasium.

Manakala latihan prestasi fizikal, ia tertumpu kepada matlamat individu itu sendiri. Misalnya untuk si pelari mereka memerlukan latihan otot kaki dan pengawalan pernafasan yang mantap.

Jurulatih kecergasan profesional, Riquan Aqif Ropli berkata, antara aktiviti latihan kecergasan yang menjadi perhatian adalah latihan kardio yang sering digabungkan dalam latihan kecergasan kerana ia boleh memberi kesan yang lebih baik kepada individu.

"Antara latihan kardio yang kita sering lakukan adalah dengan berlari. Sama ada ia dilakukan di atas mesin larian atau di padang.

"Selain itu, latihan kardio juga boleh dilakukan dengan menggabungkan beberapa jenis senaman otot yang dijadikan set dan setiap satunya dipraktikkan mengikut masa ditetapkan bagi melatih stamina supaya mampu bertahan lama," katanya.

LATIHAN lompat tali mampu menguji ketahanan pernafasan dan pergerakan individu.
LATIHAN lompat tali mampu menguji ketahanan pernafasan dan pergerakan individu.

Bagaimanapun, terdapat kekeliruan dalam kalangan individu sama ada untuk melakukan latihan kardio lebih banyak atau membina otot menerusi latihan otot.

Justeru, Riquan berkongsikan beberapa tip yang mungkin boleh dipraktikkan anda dalam membuat keputusan berkenaan:

Menetapkan matlamat kecergasan peribadi

Langkah pertama sebelum memilih latihan mana yang sesuai, tetapkan matlamat kecergasan sendiri.

Hal ini kerana matlamat kecergasan seseorang itu akan mempengaruhi jenis program senaman yang bersesuaian dengannya.

LATIHAN kekuatan teras mampu meningkatkan daya keseimbangan individu.
LATIHAN kekuatan teras mampu meningkatkan daya keseimbangan individu.

Setiap susunan program kecergasan akan memberi hasil yang berlainan. Oleh itu, individu berkenaan perlu memilih program senaman bersesuaian dengan matlamat kecergasan yang ingin dikecapi.

Meningkatkan jisim otot atau kekuatan otot

Jika matlamat utama anda adalah untuk membina jisim otot yang lebih besar atau otot yang lebih kuat, jadi fokus kepada latihan kekuatan adalah lebih sesuai berbanding kardio.

Hal ini kerana, latihan kardio berintensiti tinggi memerlukan sumber tenaga yang banyak. Contoh sumber tenaga ini adalah seperti glukos, lemak dan protein. Apabila glukos dan lemak sudah banyak digunakan maka badan akan mula memecahkan otot kepada komponen lebih kecil untuk digunakan sebagai sumber tenaga.

‘SHADOW Boxing’ antara latihan kardio yang boleh dipraktikkan.
‘SHADOW Boxing’ antara latihan kardio yang boleh dipraktikkan.

Oleh itu, latihan kardio berintensiti tinggi kurang sesuai jika matlamat seseorang itu lebih kepada membina jisim otot yang lebih besar atau otot yang lebih kuat.

Meningkatkan kapasiti kardiovaskular atau mengurangkan peratusan lemak dalam badan

Individu yang ingin bertanding dalam pertandingan sukan seperti bola sepak, sukan bela diri, badminton dan triathtlon dicadangkan untuk melakukan latihan kardio berintensiti tinggi sebagai latihan utama mereka.

Hal ini kerana sukan ini memerlukan daya ketahanan jantung dan paru-paru yang tinggi.

Bagi individu yang ingin mengurangkan peratusan lemak dalam badan juga dicadangkan untuk memilih latihan kardio sebagai latihan utama.

‘TRICEP extension’ latihan kekuatan bagi meningkatkan jisim otot triseps.
‘TRICEP extension’ latihan kekuatan bagi meningkatkan jisim otot triseps.

Hal ini, kerana latihan kardio lebih sesuai untuk melatih badan menggunakan lemak sebagai sumber tenaga.

'Toning' otot atau membina bentuk badan atlet

Dicadangkan kepada individu yang ingin membina badan atlet atau lebih fokus kepada 'toning' otot untuk melakukan kedua-dua latihan kardio dan kekuatan.

Ia kerana untuk mendapatkan hasil ke arah matlamat ini individu itu perlu mempunyai jisim otot dan kekuatan yang bagus selain daripada peratusan lemak dalam badan yang rendah.

Sebagai contoh, atlet sukan triathlon. Bagaimanakah cara untuk atlet triathlon ini mendapatkan jisim otot yang baik? Untuk sukan yang berasaskan kardio ini, lazimnya individu yang menyertainya mempunyai jisim otot rendah disebabkan sukan ini memerlukan sumber tenaga dalam badan yang sangat tinggi.

Solusinya adalah, atlet berkenaan perlu meningkatkan kekerapan latihan kekuatannya di samping memastikan pengambilan sumber protein lengkap.

Jurulatih

Disarankan untuk individu menggunakan khidmat jurulatih supaya mendapatkan hasil yang optimum. Walaupun semua orang boleh mencipta program kecergasannya sendiri, tetapi keberkesanan sesuatu program kecergasan itu bergantung kepada ilmu dimiliki.

Jadi, lebih pakar seseorang itu dalam membina program kecergasan, lebih senang untuknya mengecapi matlamat kecergasan yang ditetapkan.

Selain itu, ia juga penting untuk memilih jurulatih yang mempunyai kepakaran selari dengan matlamat seseorang itu kerana setiap jurulatih mempunyai kepakarannya berlainan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 6:30 AM