SENAMAN dapat membantu mengekalkan kesihatan dan kecergasan ketika berpuasa.
SENAMAN dapat membantu mengekalkan kesihatan dan kecergasan ketika berpuasa.
Muhamaad Razis Ismail


Kita digalakkan untuk sentiasa kekal aktif bagi tujuan kesihatan dan kecergasan, biarpun ketika menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan.

Oleh itu, kita perlu kerap bersukan untuk memastikan badan sentiasa bergerak supaya tulang, sendi, kesihatan minda dan fizikal berada pada tahap yang optimum.

Apabila bercakap mengenai penjagaan otot, kekal langsing bukan perkara utama, sebaliknya untuk membantu kita menjalankan tugas atau rutin seharian dengan lebih efisien serta memperbaiki atau mengekalkan postur badan.

Selebriti kecergasan, Nana Al-Haleq berkata, bersukan ketika Ramadan tidak bermaksud perlu melakukan aktiviti yang berat atau lasak.

Duta Under Armour itu berkata, seseorang perlu memilih aktiviti sukan yang bersesuaian dengan mengambil kira keadaan tubuh badan kita pada hari itu.

"Antara faedah apabila sentiasa kekal aktif sepanjang Ramadan adalah dapat mengekalkan kekuatan dan daya tahan otot, mencegah penurunan tahap fizikal tubuh disebabkan rehat yang panjang dan meningkatkan mobiliti serta mencegah risiko untuk jatuh.

"Selain itu, seseorang itu dapat mengurangkan rasa letih, lesu selain mengekalkan fungsi dan proses kognitif bagi membantu kita berfikir berfungsi dengan baik.

"Pada masa sama, ia dapat membantu mengawal stres, memperbaiki 'mood' dan mengekalkan kesihatan kardio-pernafasan serta imuniti mencegah penyakit mahupun infeksi," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, berpuasa memberi ruang kepada tubuh untuk berehat dan mengutamakan kesihatan secara menyeluruh dari segi kesihatan fizikal, mental serta spiritual.

Mengulas lanjut, tiada satu kaedah yang spesifik untuk bersenam atau bersukan pada Ramadan kerana daya tahan, keupayaan dan limitasi setiap individu adalah berbeza-beza ketika berpuasa.

"Oleh itu, adalah amat penting untuk menyedari keperluan tubuh kita," katanya.

Katanya, terdapat panduan umum merangkumi jenis senaman dan masa yang terbaik untuk melakukannya.

"Saya cadangkan latihan berasaskan kekuatan boleh dilakukan sama ada sejam sebelum iftar atau sahur supaya badan mendapat nutrisi yang secukupnya selepas bersenam. Manakala latihan kardio atau berasaskan daya tahan boleh dilakukan selepas iftar.

"Jika anda memilih untuk melakukan senaman ketika berpuasa, saya cadangkan untuk melakukan aktiviti ringan (angkat berat dalam intensiti ringan atau banyakkan jarak masa untuk rehat semasa latihan kekuatan).

"Selain itu, anda juga boleh cuba lakukan latihan berasaskan pemulihan aktif seperti 'Power Yoga,' 'Pilates' atau senaman 'Fusion' untuk mencabar tahap kekuatan, imbangan, memperbaiki fleksibiliti, mobiliti dan kesihatan sendi. Bagi yang kurang gemar mengangkat berat, anda boleh memilih untuk melakukan 'brisk walking'," katanya.

Bagaimanapun, anda dinasihatkan supaya tidak memaksa diri dengan melakukan gerakan di luar keupayaan diri.

"Ramadan bukan masa untuk mencabar diri dengan rutin senaman yang baharu, memecahkan rekod lampau mahupun melakukan aktiviti yang terlampau berat.

"Faktor keselamatan dan kesihatan perlu sentiasa menjadi keutamaan," katanya.

Beliau berkata, selain bersenam, pemakanan seimbang juga perlu dititikberatkan termasuk mengambil protein dan karbohidrat yang mencukupi kerana badan memerlukan tenaga pada sebelah siang dan selepas berbuka puasa.

"Utamakan sayur-sayuran dan fiber untuk kesihatan usus, membantu dalam proses detoksifikasi, mengurangkan risiko masalah jantung yang kronik dan memberikan tubuh sumber vitamin serta mineral yang diperlukan.

"Anda perlu kerap minum air pada sebelah malam supaya tubuh mendapat hidrasi yang diperlukan dan jangan lupa pengambilan vitamin," katanya.

Nana berkata, tidak kira ketika berpuasa atau sebaliknya, setiap individu perlu menjadikan pemakanan sihat dan bersenam sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

"Sekiranya anda konsisten, semestinya kesihatan anda akan berada pada tahap yang terbaik.

"Mengamalkan pemakanan yang seimbang dan bersukan secara kerap bukan semata-mata untuk kelihatan cantik, bergaya mahupun kurus, namun objektif utama adalah untuk kekal sihat dan cergas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 7:00 AM