ANTARA rekaan pakaian yang dipamerkan sempena ulang tahun ke-30 Moda.
ANTARA rekaan pakaian yang dipamerkan sempena ulang tahun ke-30 Moda.
Muhamaad Razis Ismail


SEMPENA meraikan ulang tahun ke-30 Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (Malaysian Official Designers' Association) Moda, puluhan pereka fesyen tersohor menjayakan sambutan julung-julung kalinya sepanjang Disember ini dengan pelbagai aktiviti menarik di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.

Majlis berprestij ini bermula dengan pelancaran buku mewah 'Malaysian Fashion: A Journey in Colour' di Pentas Utama, Balai Seni Negara pada 1 Disember lalu.

Naskhah buku mewah ini mengetengahkan coretan dan lipatan sejarah perjalanan Moda sepanjang penubuhan persatuan ini selama 30 tahun serta himpunan profil selain karya seni eksklusif 38 pereka fesyen tempatan.

Keistimewaan buku ini adalah halaman mewarna lakaran reka bentuk fesyen daripada pereka fesyen.

Titik permulaan konsep buku ini tercetus hasil daripada perbincangan Pensyarah Kanan Pengurusan Fesyen Pensyarah Kanan, Kolej Pengajian Tinggi Raffles, Sabi Sohrabi dengan Ahli Jawatankuasa Latihan dan Pendidikan Moda, Juita Jalil pada 5 Januari tahun lalu.

Menerusi usaha gigih pelajar tahun akhir Fakulti Perusahaan, Pemasaran & Pengurusan Fesyen Antarabangsa kolej dan kerjasama ahli Moda, maka lahir buku mewah ini.

Presiden Moda, Melinda Looi berkata, penerbitan buku unik ini dapat memaparkan usaha gigih Moda yang selama ini berusaha memajukan dan memperkasakan industri fesyen negara.

 PELANCARAN buku mewah ‘Malaysian Fashion: A Journey in Colour’.
PELANCARAN buku mewah ‘Malaysian Fashion: A Journey in Colour’.

"Melalui penghasilan buku ini, segala hasil kerja pereka fesyen, pereka barang kemas dan pakar seni yang pelbagai dapat digabungkan dalam sebuah penerbitan eksklusif buat julung kalinya," katanya.

Seiring dengan pelancaran buku itu, pameran fesyen yang menghimpunkan 30 pereka fesyen negara yang turut mencipta nama di luar negara diadakan selama sebulan bermula 1 Disember lalu.

Semua nama hebat pereka fesyen ini aktif melonjakkan industri fesyen Malaysia serta mengambil peranan utama dalam memperkasakan industri fesyen tempatan dan antarabangsa.

Ia bermula dengan pertunjukan fesyen yang memperagakan rekaan pilihan mereka yang unik di Pentas Utama, Balai Seni Negara.

Selain itu, pelbagai program menarik turut diadakan termasuk pertandingan mewarna MODA-MIYO bagi kategori kanak-kanak yang akan memberi peluang kepada si cilik mengasah bakat kreatif mereka.

Turut dianjurkan beberapa bengkel reka seni, Trunk Shows, forum fesyen dan sesi perkongsian yang akan dikendalikan ahli Moda di Auditorium dan Pentas Utama, Balai Seni Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 6:14 AM