GAYA moden daripada pereka muda.
GAYA moden daripada pereka muda.
Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Seramai 20 pereka fesyen generasi muda dari Fakulti Rekabentuk dan Kreatif Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC) dan University of Central Lancashire (UCLan) United Kingdom, baru-baru ini, menganjurkan pertunjukan fesyen dengan rekaan busana antarabangsa.

Pertunjukan fesyen itu mencerminkan hubungan kerjasama yang baru terjalin antara kedua-dua institusi pengajian tinggi itu bagi membolehkan pelajar menyambung pengajian dan memperoleh ijazah di universiti peringkat antarabangsa.

Pemangku Naib Canselor KLMUC merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Cosmopoint Sdn Bhd, Mohamad Kamal Nawawi berkata, perkembangan Fakulti Rekabentuk dan Kreatif (FRK) seiring sambutan ulang tahun ke-10 pusat pengajian berkenaan.

Katanya, objektif pihaknya adalah untuk meraikan warisan dan evolusi fakulti melalui pertunjukan bakat fesyen istimewa kepada industri.

“Saya percaya dengan bakat pereka muda yang mendapat inspirasi mereka apabila berada di tengah bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur.

“Mereka juga terbabit langsung dalam praktikal pembelajaran dan ditempatkan dalam ruang studio khas berkonsepkan idea agensi kreatif yang menggandingkan bakat pereka ruang, usahawan fesyen, penyampai visual dan pereka produk,” katanya.

Turut hadir, Ketua Fakulti Rekabentuk Fesyen FRK KLMUC Siti Aminah Sahlan, Dekan FRK KLMUC Dr Zuhaili Akmal Ismail, Timbalan Naib Canselor KLMUC Dr Mizarina Abu Bakar, Ketua Fakulti Seni, Rekabentuk dan Fesyen UCLan, Maria Murray dan Pensyarah Kanan Fesyen Fakulti Seni, Rekabentuk dan Fesyen UCLan, Andrea Cushion.

FRK kini mempunyai 600 pelajar. Persembahan Pelancaran Semula FRK turut disaksikan oleh ahli panel dan pelajar jemputan khas dari School of Art, Design & Fashion, UCLan.

Acara itu berjaya menarik kedatangan 200 pengunjung industri fesyen dan rekaan di samping pelbagai organisasi bidang seni rekaan dan fesyen, bakal majikan dan pereka profesional termasuk orang awam terpilih sebagai antara jemputan khas majlis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 5:01 AM