INISIATIF CIMB Artober terjemah dalam pelbagai persepsi tidak terhad kepada ruang galeri saja.
INISIATIF CIMB Artober terjemah dalam pelbagai persepsi tidak terhad kepada ruang galeri saja.
Suliati Asri


Seni itu unik! Ia penuh dengan warna dan aura tersendiri. Seni juga tidak terhad kepada ruang galeri seni saja kerana ia boleh diterjemah dalam pelbagai persepsi mengikut penerimaan setiap individu.

CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) kembali dengan CIMB Artober iaitu sebuah inisiatif seni, budaya dan gaya hidup tahunan anjuran CIMB Group.

Dianjurkan buat tahun keempat, acara ini juga adalah kempen budaya dan gaya hidup yang bertujuan menambah semangat dan daya hidup kepada persada seni kreatif kontemporari tempatan.

Menerusi acara ini juga, CIMB berhasrat untuk memacu ekosistem seni dan budaya Malaysia, keluar dari kebiasaan kerana seni tidak lagi terbatas di ruang galeri seni sahaja.

Rekaan inovasi tarikan CIMB Artober Fashion Week

Sebagaimana penganjuran lalu, CIMB Artober 2023 turut membariskan dua program utama iaitu CIMB Artober Art & Soul dan CIMB Artober Fashion Week. Tahun ini, CIMB Artober Art & Soul dan CIMB Artober Fashion Week akan berlangsung di Mitec Kuala Lumpur dari 6 ke 8 Oktober ini.

CIMB Artober Fashion Week akan menampilkan sepuluh pereka Malaysia dan dua pereka jemputan dari Indonesia yang memperagakan koleksi Art-to-Wear dan pelayaran (Cruise) terbaharu mereka pada siri pertunjukan fesyen yang menarik.

Antara pereka terkemuka yang bakal memeriahkan CIMB Artober Fashion Show ialah Ezuwan Ismail, Ash Majid, CARRO, Radzuan Radziwill, Athan Siahaan dari Indonesia dan kerjasama antara Me2We x Dato' Zainal Abidin.

Menariknya, acara CIMB Artober Fashion Week yang berlangsung dari 6 hingga 8 Oktober ini menampilkan sesuatu yang istimewa dengan memupuk kerjasama antara pereka fesyen dan pemain industri seni bagi menawarkan pengalaman seni, fesyen dan budaya yang unik.

Gabungan hebat mencetuskan inovasi

Pereka dan Pengarah Fesyen CARRO, Caroline Wass berkata, kolaborasi antara dunia fesyen dan seni bukan sekadar penggabungan dua alam kreatif, tetapi sinergi yang kuat yang berpotensi mentakrifkan semula sempadan ekspresi manusia.

Kolaborasi pereka fesyen dan artis sangat penting dalam landskap kreatif masa kini kerana ia adalah perkongsian harmoni yang menyemai tenaga segar dalam kedua-dua industri.

Menurutnya, fesyen adalah seni yang dipakai setiap hari, manakala kanvas pula merupakan ekspresi diri dan cerminan evolusi budaya.

"Artis membawa perspektif avant-garde, melangkaui sempadan reka bentuk konvensional, manakala pereka fesyen menyediakan kanvas untuk memberi nafas terhadap visi artistik terdahulu.

"Kerjasama sebegini melahirkan koleksi yang inovatif diluar jangkauan selain meningkatkan aspek penceritaan fesyen, menyemai pakaian dengan naratif dan emosi yang lebih mendalam," katanya.

Sinergi ini bukan sahaja mendorong kreativiti individu, tetapi juga mencetuskan perbualan mengenai budaya, identiti dan isu kemasyarakatan.

Akhirnya, kerjasama ini membuka jalan ke arah dunia fesyen yang lebih bertenaga, inklusif dan merangsang pemikiran yang bergema dengan kepelbagaian global penonton.

Selain tampil dengan koleksi terbarunya iaitu 'Away', CARRO juga akan memperkenalkan koleksi terhad hasil kerjasama dengan artis baharu Malaysia, Izzudin Basiron.

Seni dan fesyen berjalan seiring

Pengasas bersama dan Pengarah Kreatif Jenama ME2WE, Simplicio Michael Herrera aka M percaya dunia seni dan fesyen berjalan seiring.

Katanya, kerjasama antara pereka fesyen dengan artis juga adalah penting kerana ia mampu mencetus idea kepada kedua pihak.

"Cabaran terbesar yang saya dihadapi setiap musim ialah inspirasi. Dengan kerjasama sebegini, kami boleh memberi inspirasi satu sama lain.

"Secara peribadi, saya sudah melakukan gabungan seni dan fesyen dalam koleksi terdahulu dalam beberapa pertunjukan di galeri seni di Beverly Hills serta New York," katanya.

M berkata, CIMB Artober Fashion Week ini sangat unik buat pereka fesyen dan pengunjung kerana ia menghimpunkan khalayak yang mempunyai pemikiran yang sama.

"Peminat seni dan fesyen adalah sama, tetapi mempunyai perspektif berbeza. Menerusi acara ini, ia dapat menghimpunkan mereka dan mewujudkan ruang dalam perbualan, inovasi dan inspirasi,"katanya yang akan mempamerkan koleksi ME2WE Fall 2023 untuk lelaki dan wanita.

Platform perluas rangkaian dan ilmu

Menurut Richard Tsen dari Collabstore di Shoppes dan Four Seasons Kuala Lumpur, acara ini dianggap unik buat Amni kerana ia adalah platform dan peluang untuk memperluas rangkaian serta proses pembelajaran yang baik buatnya.

Kali pertama menyertai CIMB Artober Fashion Week, Amni Hareez Sarjanishama sangat kagum dengan jumlah penyertaan artis dari Asia yang menganggap acara ini sebagai puncak seni.

"Amni sentiasa terpengaruh dengan seni grafiti dan seni adalah sumber utama inspirasinya.

"Amni juga percaya fesyen itu sendiri adalah seni yang boleh dipakai. Ia membawa tahap penghargaan dan nilai yang sama seperti bentuk seni lain.

"Seni mencipta konsep dan 'mood' manakala pereka fesyen melaksanakan dan mengubah idea ini menjadi pakaian,"katanya.

Mengambil inspirasi daripada budaya muzik hip hop 90-an, Amni akan mempersembahkan koleksi sulungnya iaitu ETHEREAL yang terdiri daripada 20 rekaan untuk lelaki dan perempuan.

Menerusi CIMB Artober Art & Soul pula, ia akan menampilkan 18 galeri seni komersial terkenal dan tiga hasil kraf bakal mendapat perhatian bukan saja dari institusi korporat dan pengumpul yang serius, tetapi juga pengujung baharu.

Peminat seni kontemporari, tekstil dan warisan juga berpeluang melihat dengan lebih dekat koleksi peribadi Kain Tenun Pahang diRaja dan lukisan kepunyaan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Pahang Pavilion yang akan dipamerkan oleh pereka fesyen terkemuka, Pink Jambu.

Edisi tahun ini, antara galeri yang akan mempamerkan hasil karya yang menarik termasuklah SARENG Gallery, G13 Gallery, TAKSU, Segaris, Wei Ling Gallery, A+ WORKS of ART, Suma Orientalis, Galeri Puteh dan Qing Gallery iaitu galeri dari Malaysia dan The Drawing Room Gallery dari Makati, Philippines.

Selain program CIMB Artober Art & Soul yang berlangsung di MITEC selama tiga hari, galeri-galeri ini juga akan menganjurkan pameran di galeri masing-masing. Berlangsung selama tiga bulan bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember 2023, CIMB Artober merupakan satu acara kesenian unik yang menawarkan pelbagai karya yang cukup mengujakan.

Ikuti program CIMB Artober selama tiga bulan ini dengan melayari https://cimb.com.my/artober.

Justeru, bagi peminat seni yang juga pemegang kad CIMB, anda berpeluang menikmati pelbagai manfaat termasuk diskaun dan rebat eksklusif dengan pembelian sepanjang tempoh kempen ini. Untuk maklumat lanjut, layari https://deals.cimb.com/.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 6:45 AM