AZLIN (lapan dari kiri) dan Mohd Redzuan bersama model dengan koleksi fesyen akan diperagakan di New York.
AZLIN (lapan dari kiri) dan Mohd Redzuan bersama model dengan koleksi fesyen akan diperagakan di New York.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Kejayaan membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa menerusi pertunjukan fesyen Couture Fashion Week New York (CFWNY) tahun lalu menggamit Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati) untuk meneruskan penganjuran Misi Fesyen dan Perniagaan Malaysia ke New York 2018.

Kali ini, misi itu membawa 18 pereka berbakat besar menyertai pertunjukan fesyen CFWNY di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS) pada 7 September depan.

Misi itu adalah antara usaha persatuan itu untuk mengangkat industri fesyen tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu ia sebagai tanda sokongan khususnya kepada ahli dalam industri fesyen untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan menembusi pasaran antarabangsa.

New York bukan saja terkenal sebagai pusat perniagaan terbesar, malah ia juga kota ikonik bagi fesyen terkemuka dan eksklusif dunia.

Setiap tahun, Minggu Fesyen New York ditunggu-tunggu pereka fesyen dari seluruh dunia untuk memperkenalkan karya dan koleksi terbaru mereka.

Presiden Peniagawati Datuk Azlin Ahmad Shaharbi berkata, pentas itu juga satu permulaan kepada pereka fesyen tempatan untuk memperkenalkan jenama dan produk mereka.

Ini kerana, katanya, apabila jenama semakin dikenali, maka mudah untuk mereka membina rangkaian, sekali gus memasarkannya ke peringkat antarabangsa.

Antara jenama pereka tempatan yang akan mempamerkan rekaan mereka di pentas peragaan itu adalah Fazbulous, Rizman Ruzaini, Fiziwoo, V Hijrah, Mak Cun, Adli Afandi dan Hafilda Prestige.

REKAAN mewah yang dihasilkan pereka fesyen tempatan.
REKAAN mewah yang dihasilkan pereka fesyen tempatan.

“Bagi melonjakkan nama Malaysia dari pelbagai aspek termasuk perdagangan, fesyen, pelancongan, kebudayaan dan sebagainya, Peniagawati akan mengambil slot satu hari bertema 'Hari Malaysia' pada 7 September dalam pertunjukan CNYFW.

“Pereka fesyen tempatan di dalam segmen sedia dipakai (RTW) pula akan beraksi di pentas fesyen NYC@Live pada 13 September ini,” katanya pada sidang media pelancaran misi berkenaan baru-baru ini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof.

Program ini dianjurkan atas permintaan ramai berdasarkan kejayaan misi Peniagawati ke New York pertama tahun lalu yang disertai 40 usahawan di dalam industri fesyen, makanan dan gaya hidup.

Misi itu berjaya membuka pasaran bagi usahawan Malaysia di AS dan turut mencapai objektif bagi memperkenalkan produk buatan Malaysia serta mengharumkan nama negara di sana.

Bagi kesinambungan usaha mempromosi negara dan produk Malaysia ke negara itu di New York, persatuan itu akan disertai oleh 80 usahawan tempatan termasuk pereka fesyen yang bakal menonjolkan rekaan fesyen mereka di beberapa pentas peragaan.

Ini selaras dasar kerajaan untuk menggalakkan industri kecil dan sederhana (IKS) menceburi pasaran eksport bagi memantapkan lagi perniagaan mereka sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

FESYEN membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.
FESYEN membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 3:42 PM