IBU bapa perlu bincang secara terbuka untuk elak anak cari informasi sendiri. -  FOTO Google
IBU bapa perlu bincang secara terbuka untuk elak anak cari informasi sendiri. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


Akil baligh adalah fasa penting dan istimewa dalam diri seseorang.

Ini menandakan permulaan fasa menjadi seorang dewasa dengan berlakunya pelbagai perubahan fizikal dan emosi rentetan perubahan hormon badan

Bagaimanapun dalam masyarakat kita, akil baligh masih dianggap tabu atau tidak sesuai untuk dibincangkan dengan anak-anak.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam International Islamic University Malaysia, Dr Nor Faiza Mohd Tohit berkata, ibu bapa mungkin berasa segan atau tidak selesa untuk membincangkan topik ini.

Katanya, peranan ibu bapa sebagai pembimbing anak-anak pada usia awal remaja amat besar.

"Sifat ingin tahu dan ingin mencuba amat tinggi pada usia awal remaja.

"Kita tidak mahu anak-anak mencari sendiri informasi dari laman-laman web yang tidak diyakini, laman pornografi atau dari individu yang menyesatkan.

"Oleh itu, ibu bapa perlu kikis rasa malu dan tidak selesa itu dan berikan pendidikan awal remaja yang terbaik untuk anak-anak," katanya.

SELEPAS mencapai akil baligh, penekanan mesti diberikan terhadap aspek penjagaan kebersihan. -  FOTO Google
SELEPAS mencapai akil baligh, penekanan mesti diberikan terhadap aspek penjagaan kebersihan. - FOTO Google

Beliau berkata, kebiasaannya seseorang kanak-kanak mempelajari mengenai fasa akil baligh dari pendidikan kesihatan di sekolah.

"Bagi perempuan, akil baligh berlaku apabila mendapat haid buat pertama kali atau menarki.

"Manakala lelaki pula, apabila mengalami ihtilam. Ihtilam ialah apabila berlaku ejakulasi atau pancutan air mani buat kali pertama ketika tidur, atau lebih dikenali sebagai mimpi basah," katanya.

Menurutnya, sebelum anak-anak mencapai akil baligh, ibu bapa berperanan untuk berbincang dan mendedahkan mengenai akil baligh.

"Bila dan bagaimana ia terjadi, apakah perubahan-perubahan yang akan berlaku dan apa yang patut dilakukan," katanya.

Jelasnya, selepas mencapai akil baligh, penekanan yang lebih mesti diberikan terhadap aspek penjagaan kebersihan dan maruah diri.

"Apabila berlakunya perubahan hormon, mereka mungkin mempunyai bau badan yang tidak menyenangkan.

"Oleh itu, mereka perlu mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari, memakai pakaian yang bersih dan kerap menukar pakaian dalam," katanya.

Mengulas lanjut, penjagaan kulit wajah juga amat penting kerana perubahan hormon akan menjadikan kulit lebih berminyak dan mengundang pertumbuhan jerawat.

RAMAI cenderung mendapatkan maklumat di internet. -  FOTO Google
RAMAI cenderung mendapatkan maklumat di internet. - FOTO Google

Tambahnya, bagi remaja perempuan, mereka perlu dididik mengenai penggunaan tuala wanita.

"Terdapat pelbagai jenis tuala wanita dan keperluannya berbeza-beza mengikut tahap pendarahan haid.

"Ketika mengalami hari-hari yang pendarahan banyak, tuala wanita perlu ditukar setiap tiga hingga lima jam.

"Tuala wanita tidak perlu dibasuh tetapi perlu dibalut dan dibuang ke dalam tong sampah. Tangan perlu dicuci selepas keluar dari tandas," katanya.

Beliau berkata, penjagaan maruah diri dan keluarga amat penting, terutamanya selepas mencapai akil baligh.

"Anak-anak perlu dibimbing mengenai aspek pemakaian yang sopan dan batas-batas pergaulan.

"Anak-anak lelaki turut perlu dibimbing untuk menjadi pembela maruah wanita dan keluarga," katanya.

Katanya, dalam hal ini sokongan moral dan emosi sangat penting kerana fasa akil baligh akan membabitkan perubahan emosi yang ketara sehingga akan mempengaruhi sikap, pemikiran serta tindakan seseorang remaja.

"Ibu bapa perlu bijak mengesan perubahan emosi ini dan memberikan respons yang bersesuaian.

"Anak-anak pula perlu diberi pendidikan untuk pengurusan emosi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 7:00 AM