REMAJA perempuan perlu sentiasa menjaga wajah.
REMAJA perempuan perlu sentiasa menjaga wajah.
Hafiz Ithnin


PEREMPUAN yang menganjak dari alam kanak-kanak ke remaja pastinya menginginkan perubahan penampilan supaya lebih tampak cantik selain solekan antara perkara yang dberi perhatian.

Bagaimanapun, Pakar Dermatologi, Dr Felix Yap Boon Bin mengingatkan perempuan berusia 12 hingga 15 tahun tidak digalakkan untuk memakai produk solekan.

Perkara itu berikutan perubahan hormon dari kanak-kanak ke usia remaja terutama dalam tempoh transisi akil baligh, kulit muka lebih mudah mengeluarkan minyak.

Jelasnya, liang-liang kulit muka mudah tersumbat sekiranya mereka obses dengan memakai produk solekan yang sarat kerana boleh mengakibatkan masalah jerawat mudah berlaku kepada golongan itu.

“Jika mereka ingin bersolek tidak menjadi kesalahan sekiranya hanya menyapu bedak atau pemerah pipi dan perkara lebih penting jangan terlalu sarat kerana boleh menyebabkan liang muka tersumbat.

“Lebih parah sekiranya keadaan itu dibiarkan boleh menyebabkan kulit muka menjadi sensitif pada masa depan termasuk mudah mengalami masalah jerawat yang berpanjangan,” katanya.

WAJAH kanak-kanak lebih sensitif berbanding orang dewasa.
WAJAH kanak-kanak lebih sensitif berbanding orang dewasa.

Pakar itu turut mengingatkan sekiranya remaja perempuan sudah mempunyai masalah jerawat, perlu menghentikan memakai sebarang solekan kerana ia mengakibatkan keadaan kulit muka bertambah buruk.

Katanya, remaja perempuan yang dalam transisi usia juga tidak digalakkan untuk memakai krim pelindung matahari kerana ia juga antara faktor menyebabkan liang muka tersumbat.

“Selain itu, kanak-kanak perempuan juga tidak digalakkan untuk bersolek kerana kulit muka mereka juga lebih sensitif dan mudah rosak kerana kulit muka mereka tidak setebal golongan dewasa.

“Sistem pertahanan kulit kanak-kanak juga tidak sekuat golongan dewasa dan perkara yang paling dirisaukan pada masa depan mereka mudah mengalami kulit sensitif termasuk masalah jerawat,” katanya.

Dr Felix berkata, dari segi menggunakan produk pencuci muka juga perlu diambil tahu kerana tidak semua bahan pembersih sesuai untuk digunakan dengan semua jenis kulit.

Katanya, biasanya remaja perempuan mengalami masalah kulit terlalu berminyak dan mencuci muka menggunakan air biasa sudah memadai.

“Jika terlalu berminyak saya juga tidak menggalakkan mereka menyapu pelembap muka kerana ia juga boleh mengakibatkan liang kulit muka tersumbat yang akhirnya berlaku masalah jerawat.

“Perkara paling penting jangan memicit jerawat sesuka hati menggunakan kuku kerana kita tidak mahu keadaan jerawat menjadi lebih teruk disebabkan jangkitan kuman,” katanya.

Katanya, ibu bapa perlu memastikan kanak-kanak dan remaja tidak terlalu obses untuk memakai produk solekan kerana kulit mereka masih ‘muda’ untuk menerima kemasukan sebarang bahan asing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 6:30 AM