DEKATI anak-anak perempuan untuk mengetahui masalah kesihatan mereka.
DEKATI anak-anak perempuan untuk mengetahui masalah kesihatan mereka.
Hafiz Ithnin


"Ibu bapa perlu lebih peka dengan perubahan yang dialami anak terutama anak perempuan yang sedang meningkat remaja,"

kata Perunding Sakit Puan dan Pakar Kesuburan Metro IVF, Dr Senthi N Muthuraman.

Jelasnya, akhil baligh berlaku apabila pertumbuhan tubuh yang cepat, perubahan paras hormon seksual dan keupayaan reproduktif menjadi semakin matang.

Katanya, perubahan itu mula berlaku antara usia lapan hingga 13.5 tahun untuk perempuan. Tanda terawal akil baligh adalah perkembangan payudara dan biasanya bermula usia 10 hingga 12.5 tahun.

"Jika tiada tanda-tanda perkembangan payudara sehingga usia 14 tahun, adalah disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor bagi pemeriksaan lanjut.

"Ketinggian tubuh mula meningkat sekitar usia 11 tahun. Pertumbuhan bulu kemaluan bermula sekitar usia 9.3 tahun sehingga 13.7 tahun," katanya.

Dr Senthi berkata, menstruasi atau haid akan bermula sekitar usia 11 hingga 16 tahun dan secara purata antara usia 12 hingga 15 tahun.

"Jika tiada menstruasi melebihi usia 16 tahun, maka ibu bapa perlu mendapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan selanjutnya. Sokongan ibu bapa dari segi persiapan jasmani dan rohani perlu dititikberatkan kerana remaja sedang mengalami perubahan transisi fizikal serta emosi.

"Ibu bapa perlu memberi perhatian pada perubahan yang berlaku ketika akil baligh seperti yang dinyatakan di atas. Jika dirasakan perkembangan akil baligh tidak berlaku dalam julat masa seperti yang dinyatakan, maka disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor," katanya.

EMOSI terganggu antara faktor kitaran haid tidak teratur.
EMOSI terganggu antara faktor kitaran haid tidak teratur.

Katanya, faktor-faktor yang mempengaruhi masa akil baligh adalah berdasarkan sejarah keluarga, berat badan, keadaan sosioekonomi, nutrisi dan genetik. Berat badan yang sangat tinggi dan sangat kurang (underweight) serta keadaan sosioekonomi yang lemah akan melambatkan perkembangan akil baligh.

"Ada beberapa keadaan perubatan yang boleh menyebabkan berlaku perubahan akil baligh yang terlalu awal. Keadaan ini adalah seperti tumor dalam kepala, tumor yang menyebabkan penghasilan hormon seksual berlebihan, kelenjar tiroid kurang berfungsi, jangkitan kuman pada otak dan trauma pada organ dalam kepala.

"Ada juga beberapa keadaan perubatan yang boleh menyebabkan perubahan akil baligh yang lambat atau akil baligh tiada langsung," katanya.

Jelasnya, keadaan ini adalah seperti penyakit usus yang menyebabkan kekurangan penyerapan nutrisi, berat badan rendah, kurang makan kerana gangguan emosi, senaman keterlaluan, pembabitan yang keterlaluan ketika sukan sangat kompetitif, penyakit kronik seperti asma, cystic fibrosis (sejenis penyakit paru-paru), kerosakan buah pinggang, penyakit genetik, rawatan kanser, tumor dalam kepala dan kandungan zat besi yang tinggi dalam badan.

"Jika terdapat kelewatan perubahan akil baligh, maksudnya tiada tanda-tanda akil baligh sehingga usia 14 tahun, maka ibu bapa perlu membawa anak mereka berjumpa doktor untuk pemeriksaan," katanya.

Tambahnya, kitaran haid yang teratur adalah 28 hari, tetapi jika dalam julat 21 hingga 35 hari masih dianggap normal.

"Jangka masa haid yang normal pula adalah sekitar tiga hingga tujuh hari. Kitaran haid yang teratur amat penting untuk wanita kerana ia bergantung pada paras hormon yang diperlukan.

KESAKITAN ketika haid dalam kalangan anak-anak perlu dipantau ibu bapa.
KESAKITAN ketika haid dalam kalangan anak-anak perlu dipantau ibu bapa.

"Hormon adalah bahan kimia yang dibebaskan daripada sel, kelenjar atau organ dalam tubuh badan. Ia boleh mempengaruhi sel-sel di bahagian tubuh yang lain. Pada pertengahan pertama kitaran haid, tahap hormon estrogen akan mula meningkat," katanya.

Jelasnya, estrogen memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan terutama dengan membantu membina tulang yang kuat khususnya ketika usia meningkat.

"Estrogen juga membuat lapisan pada rahim menjadi tebal. Lapisan rahim ini dijadikan sebagai tempat menyuburkan embrio jika berlaku kehamilan.

"Pada masa sama lapisan rahim akan berkembang, telur atau ovum dalam salah satu ovari akan mula matang," katanya.

Jelasnya, pada hari ke-14 pada kitaran purata 28 hari, telur akan beredar dari ovari dan proses ini dipanggil ovulasi.

"Ada antara remaja perempuan yang mengalami kitaran haid yang tidak teratur iaitu haid tidak hadir selama dua atau tiga bulan dan turut mengalami pendarahan yang banyak ketika haid," katanya.

Pakar itu berkata, tanda awal yang perlu dipandang serius oleh ibu bapa adalah jika anak remaja perempuan mereka mengadu sudah dua bulan tidak mengalami haid (amenorea) atau jika datang haid mengalami kesakitan yang amat teruk dikenali sebagai dismenorea.

"Amenorea adalah ketiadaan haid selepas tiga kitaran atau enam bulan. Bagi mereka yang mengalami kelewatan haid pada tempoh 45 hari bagi remaja juga dikenali sebagai oligomenorea. Keadaan ini juga adalah sama seperti amenorea," katanya.

BAWA berjumpa doktor sekiranya ada keraguan mengenai masalah haid anak.
BAWA berjumpa doktor sekiranya ada keraguan mengenai masalah haid anak.

Punca amenorea:

1. Berat badan

Berat badan adalah faktor yang sangat mempengaruhi kitaran haid. Obesiti menyebabkan ketidakseimbangan hormon seksual dan menyebabkan haid lewat. Berat badan yang unggul adalah melalui piawaian indeks jisim badan (BMI) antara 19 hingga 25.

BMI melebihi 25 dianggap berat badan berlebihan dan melebihi 29 dianggap obesiti. Jika berat badan dalam lingkungan berlebihan atau obesiti maka penurunan berat badan akan melancarkan kitaran haid.

2. Kelemahan fungsi ovari

Satu daripada 100 wanita mempunyai folikel yang tidak dapat berfungsi dengan baik. Terapi penggantian hormon boleh mengurangkan isu itu menerusi konsultasi dengan doktor.

3. Gangguan hipotalamus dan kelenjar pituitari

Hipotalamus dan kelenjar pituitari menghasilkan hormon yang terbabit dalam penghasilan kitaran haid seperti

'luteinizing hormone,''follicle-stimulating hormone' dan 'estradiol.'

Paras hormon ini boleh dikesan melalui ujian darah. Paras hormon yang rendah atau tinggi daripada julat normal menandakan punca punca lain pada ovari, pituitari atau hipotalamus.

4.Sindrom ovari polisitik

(PCOS) adalah penyakit yang berpunca daripada gangguan endokrin yang menyebabkan fungsi ovari terjejas, masalah hormon androgen berlebihan dari ovari dan menyebabkan amenorea.

Masalah PCOS seringkali dikaitkan dengan sindrom metabolik dan gangguan fungsi insulin. Tabiat pemakanan yang sihat dan kekerapan senaman dan penjagaan berat badan adalah cara yang terbaik disarankan kepada pesakit PCOS.

Semua wanita yang dalam lingkungan usia reproduktif dan aktif secara seksual, perlu memastikan bahawa mereka tidak hamil sebelum menjalani sebarang pemeriksaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 7:00 AM