PESERTA diajar mengenai kepentingan solat untuk mengelak masalah sosial.
PESERTA diajar mengenai kepentingan solat untuk mengelak masalah sosial.
MENGAJI al-Quran fokus utama pengajaran.
MENGAJI al-Quran fokus utama pengajaran.
AKTIVITI memanah melatih kanak-kanak fokus dalam pelajaran.
AKTIVITI memanah melatih kanak-kanak fokus dalam pelajaran.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan berita kanak-kanak berusia 11 tahun di Bahau, Negeri Sembilan melahirkan bayi hasil hubungan dengan lelaki berumur 22 tahun.

Malah menerusi berita yang disiarkan di akhbar menunjukkan ribuan remaja hamil luar nikah dengan 50 peratus mengaku sudah melakukan hubungan seks sebelum usia 14 tahun.

Di maanakah silapnya ibu bapa dalam mendidik anak? Pada umur sehijau ini, mereka sepatutnya memikirkan mengenai pelajaran dan persekolahan, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Silibus pendidikan kesihatan di peringkat sekolah rendah yang sepatutnya mendedahkan mereka kepada pengetahuan kesihatan diri dan sistem reproduktif nampaknya tidak memberikan impak yang diharapkan.

Maruah diri semakin hilang dalam diri anak sehingga ada yang sanggup menggadai maruah untuk mendapat populariti dalam kalangan rakan sekolah, rakan media sosial dan tidak kurang juga yang ketagih sehingga terpaksa di hantar ke pusat pemulihan.

Menurut Pengusaha Akademi al-Quran ABS Ad’deen Mahani Ismail, sebenarnya banyak lagi kes kelahiran anak luar nikah membabitkan anak perempuan seawal usia lapan tahun. Sekiranya kanak-kanak dan remaja melahirkan anak luar nikah seawal umur ini, pada usia berapakah mereka mula terdedah kepada informasi yang menjerat golongan ini ke kancah penzinaan? Adakah pada usia tujuh, lapan atau sembilan tahun?

Terdapat banyak faktor menyumbang kepada keruntuhan akhlak remaja antaranya kegagalan institusi rumah tangga dalam mendidik anak dengan teras agama yang kukuh. Ibu bapa kebanyakannya malu atau ambil ringan untuk berbincang dengan anak mengenai isu akil baligh seperti perubahan fizikal, emosi dan minda.

“Inilah yang menjadi punca kecelaruan dan permasalahan anak kerana mereka tidak difahami, dibimbing dan dididik dengan sebaiknya mengenai fasa peralihan ke alam dewasa. Di peringkat usia inilah bermulanya bibit tarikan seksual dan perasaan ingin mencuba. Tanpa informasi dan kawalan ibu bapa serta gejolak hormon remaja boleh membawa kemudaratan.

“Jika dahulu, umur akil baligh sekitar 12 hingga 13 tahun, kini fasa akil baligh menjadi lebih awal. Ada anak perempuan yang datang haid sekitar umur enam hingga tujuh tahun. Perlu diingat, seawal mereka menjadi akil baligh jugalah sistem reproduktif mereka juga menjadi matang,” katanya.

Tambahnya lagi mencapai usia akil baligh adalah fasa yang memerlukan ibu bapa memberikan penerangan lengkap mengenai apa yang sedang berlaku serta perubahan seterusnya sama ada dari segi fizikal, mental dan emosi. Namun, tidak ramai ibu bapa bersikap terbuka untuk membicarakannya. Ada yang mengambil sikap sambil lewa sehingga anak mendapatkan penerangan daripada rakan sebaya dan ada juga mencari sendiri di Internet.

“Akil baligh fasa penting yang akan dilalui semua kanak-kanak, iaitu zaman peralihan daripada kanak-kanak kepada remaja yang berlaku pada usia lapan hingga 15 tahun untuk perempuan dan 12 hingga 15 tahun untuk lelaki.

“Jika dulu pada usia ini anak masih dianggap kecil, tidak matang dan manja. Namun apabila peralihan ini berlaku ibu bapa seharusnya memahami yang anak mereka akan mengalami kematangan sistem saraf dan saiz otak sebagai persediaan ke arah mencapai tahap dewasa. Dalam proses ini, mereka sudah dapat membentuk satu nilai dan sistem etika yang akan dijadikan panduan apabila usia bertambah setiap tahun,” katanya.

Kurangnya penghayatan agama juga mendorong seseorang itu dikuasai nafsu daripada menggunakan akal fikiran yang waras. Tahap iman menjadi lemah dan kosong. Manusia yang lemah iman tidak takut dan gentar pada hari pembalasan di akhirat kelak. Akibatnya, mereka tidak dapat membezakan kebaikan dan keburukan dan antara kebenaran serta kebatilan.

Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan juga seharusnya dikawal. Ibu bapa perlu tahu dengan siapa anak mereka berkawan sama ada di sekolah dan alam maya. Ibu bapa perlu ingat, kebanyakan remaja menghabiskan lebih daripada 70 peratus masa hariannya bersama kawan.

Faktor keempat adalah pengaruh media masa, media sosial dan Internet yang sememangnya mengubah pemikiran manusia di seluruh dunia. Internet dan media sosial menjadi sangat berpengaruh dalam kalangan remaja berbanding media lain.

“Lihat saja aplikasi YouTube dan Facebook yang menjadi kegilaan kanak-kanak dan remaja serta iklan yang tidak sepatutnya dilihat bertempek di aplikasi ini. Secara tidak langsung ia menarik minat naluri ingin tahu mereka. Inilah cara bahan lucah memasuki minda mereka dengan mudah. Kemudahan telefon pintar yang diberi ibu bapa tanpa dipantau memudahkan lagi bahan lucah ini memasuki jiwa anak,” katanya.

Menyedari pentingnya anak didedahkan dengan modul akil baligh, mendorong Akademi Al-Quran ABS Putra Heights menganjurkan Summer Tahfiz Camp 2015, pada cuti persekolahan ini bermula 22 hingga 28 November bertempat di Photon Valley Hulu La­ngat Selangor.

Selain penerapan solat dan al-Quran, modul penting yang turut disediakan adalah Sayangi Diri, Jauhi Zina yang antara tujuannya mendidik peserta mengetahui modus operandi zina (dari pelbagai aspek) dan cara mengawal diri (melalui hormon mereka) untuk menjauhi perbuatan terkutuk ini.

“Mereka akan dibawa berfikir dan berbincang baik buruknya ‘berpacaran’ seawal alam persekolahan, dosa pahala yang tertanggung bagi setiap tindakan yang menuju ke arah zina dan memperbetulkan semula matlamat hidup sebenar.

“Menerusi modul ini apa yang kami ajarkan adalah perbincangan mengenai isu berpasangan seawal sekolah rendah. Apakah perlu mempunyai pasangan apabila melihat rakan berbuat demikian. Perbincangan apabila anak mula berkawan dan kesannya. Modus operandi ke arah zina daripada pelbagai aspek sama ada secara berdepan, sistem pesanan ringkas (SMS) WhatsApp atau media sosial, bagaimana ibu bapa boleh mengetahuinya, apa yang perlu dilakukan selepas itu, impak zina dan kaitannya dengan maruah diri, keluarga dan masyarakat, kesihatan, agama serta dosa dan pahala,” katanya.

Ia bukan saja menekankan mengenai topik akil baligh dan peranan media sosial, tetapi secara menyeluruh dengan menjurus aspek fizikal, emosi dan rohani bagi membentuk jati diri remaja ke arah kesempurnaan berteraskan al-Quran.

Program yang dijalankan sepanjang tahun ini bukan saja menyertakan aktiviti hafazan al-Quran, bahkan penekanan akhlak Muslim secara menyeluruh bagi pembentukan sahsiah diri pelajar menerusi modul berteraskan al-Quran.

Program ini terbuka untuk peserta bermula usia tujuh hingga 16 tahun, bertujuan membantu generasi Islam agar celik al-Quran, mencintai, memahami dan membudayakan al-Quran sebagai gaya hidup mereka. Untuk maklumat lanjut boleh melayari Facebook Akademi Al-Quran ABS Putra Heights.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 10:46 AM