MOHD Zulhemizan membuat demonstrasi pembuatam serunai.
MOHD Zulhemizan membuat demonstrasi pembuatam serunai.
PERSEMBAHAN muzik tradisional ‘Caklempong’ dari kumpulan Lantera Kesuma turut menampilkan lagu terkini ketika majlis perasmian Langkawi Craft Musical Fest 2021 di Kompleks Kraf Langkawi.
PERSEMBAHAN muzik tradisional ‘Caklempong’ dari kumpulan Lantera Kesuma turut menampilkan lagu terkini ketika majlis perasmian Langkawi Craft Musical Fest 2021 di Kompleks Kraf Langkawi.
Nurul Husna Mahmud


TIDAK hanya menikmati alunan merdu alat muzik tradisional, malah pengunjung Langkawi Craft Musical Fest 2021 berpeluang menyaksikan pembuatan tradisional secara dekat.

Lebih bermakna, seni pembuatan alat muzik tradisional yang dipertontonkan itu berstatus hampir 'lupus' kerana ketiadaan generasi penyambungnya.

Justeru, Kraftangan Malaysia memainkan peranan penting dalam meneruskan kelangsungan seni itu dengan mengumpul 15 pembuat dan pemuzik alat muzik tradisional dari serata negeri, 'berkampung' bersama 51 pempamer kraf lain di Kompleks Kraf Langkawi, Teluk Yu Mukim Bohor, Pulau Langkawi, Kedah bermula 11 hingga 19 Disember ini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia Aididah Ibrahim, program yang berkonsepkan Alunan Semulajadi iaitu muzik dan bunyi-bunyian dari alat muzik tradisional satu kelainan dan wajar diketengahkan kepada masyarakat setempat serta pelancong yang berkunjung ke Pulau Langkawi.

"Inisiatif mempromosi dan mengkomersialkan produk kraf alat muzik tempatan berupaya meningkatkan pengetahuan serta kesedaran masyarakat terhadap produk kraf Malaysia.

"Penganjuran festival ini yang berkonsepkan Alunan Semulajadi membawa pemahaman alunan muzik dan bunyian dipersembahkan kepada pengunjung dengan mengetengahkan alat muzik tradisional adalah produk kraf tempatan dalam kategori bidang kraf hasil rimba, kraf logam serta aneka kraf.

"Keunikan penghasilan produk kraf alat muzik ini dikomersialkan secara tidak langsung mempopularkan penggunaan produk kraf dalam persembahan seni dan budaya warisan negara," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Langkawi Craft Musical Fest 2021, semalam.

ORANG ramai menyaksikan persembahan Langkawi Craft Musical Fest 2021.
ORANG ramai menyaksikan persembahan Langkawi Craft Musical Fest 2021.

Kata Aididah, pihaknya menjangkakan Langkawi Craft Musical Fest 2021 menjadi acara pengenalan buat Kompleks Kraf Langkawi khasnya dan Pulau Langkawi amnya.

"Kraftangan Malaysia berharap supaya program ini dikenali sebagai Langkawi Craft International Musical Fest pada masa hadapan setanding acara muzikal, Rainforest World Music Festival," katanya.

Beliau memaklumkan festival itu antara inisiatif Gelembung Pelancongan Langkawi yang diperkenalkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) selain signifikan dengan Aspirasi Keluarga Malaysia.

Pembuat serunai dari Pendang, Kedah Zulhelmizan Mustafa, 26, berkata, usaha Kraftangan Malaysia mengumpul semua penggiat kraf aliran muzik dalam festival terbabit mengangkat martabat pembuat tradisi di samping menarik penyertaan lebih ramai belia.

"Pameran sebegini sangat membantu kami pembuat alaf muzik tradisi untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila terjejas akibat pandemik.

"Rata-rata kami pembuat alat muzik turut menjadi pemuzik tidak dapat menjana pendapatan menerusi persembahan di luar.

PERSEMBAHAN kebudayaan mewarnai majlis perasmian Langkawi Craft Musical Fest 2021.
PERSEMBAHAN kebudayaan mewarnai majlis perasmian Langkawi Craft Musical Fest 2021.

"Menerusi program ini diharap dapat mencapai lebih ramai orang dan menarik perhaian pelbagai golongan terutama orang muda untuk menghargai muzik tradisi," katanya.

Festival berkenaan dijangka menarik 10,000 pengunjung pulau berkenaan. Pengisian program adalah jualan produk kraf, demonstrasi kraf alat muzik tradisional bersama Adiguru Kraf, pertandingan, ekplorasi kraf, persembahan pentas, kraf dengan gandingan tarian dan nyanyian secara tradisional serta kontemporari.

AIDIDAH ketika menyaksikan demonstrasi pembuat kraf alat muzik tradisi di Kompleks Kraf Langkawi.
AIDIDAH ketika menyaksikan demonstrasi pembuat kraf alat muzik tradisi di Kompleks Kraf Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 6:30 AM