HUJAN dan Bunkface ditampilkan sebagai artis utama Riot Fest.
HUJAN dan Bunkface ditampilkan sebagai artis utama Riot Fest.
Ridzuan Abdul Rahman


RIOT didefinisikan sebagai rusuhan dan dalam erti kata lain sinonim dengan keadaan huru-hara.

Bagaimanapun, penggunaan perkataan terbabit untuk Riot Fest anjuran Bro Empire Entertainment adalah sesuatu yang berbeza kepada pencinta muzik indie tempatan.

Bukan bertujuan mengucar-kacirkan keadaan, sebaliknya ia bakal menjadi rusuhan dan huru-hara yang menyenangkan bagi peminat.

Riot Fest yang menampilkan PEMANGKIN sebagai penaja utama serta Hafiz Yusuf sebagai penaja bersama berlangsung pada 4 April depan di Maeps, Serdang.

Penganjur, Syazwan Shamsudin berkata, Riot Fest mengetengahkan dua band tempatan berpengaruh dan mempunyai empayar tersendiri iaitu Hujan dan Bunkface.

“Pemilihan dua kumpulan ini sebagai ‘pemain utama’ adalah sebuah apresiasi atas usaha mereka memartabatkan muzik indie yang mempunyai kualiti tersendiri.

“Kami mengangkat tema Cyber Rock, di mana persembahan berlangsung tiga jam antara Hujan dan Bunkface yang mempunyai rendisi lagu yang bukan asing kepada peminat.

BARISAN artis yang hadir pada sidang media Riot Fest.
BARISAN artis yang hadir pada sidang media Riot Fest.

“Kami akan pastikan dapat mengisi dahaga peminat bersama Hujan dan Bunkface yang membuatkan mereka benar-benar ‘merusuh’ dengan persembahan muzik ditampilkan,” katanya.

Menurutnya, Hujan dan Bunkface sudah membuktikan kepada peminat bahawa mereka mempunyai kualiti yang perlu terus dijaja kepada generasi generasi masa kini atau akan datang.

“Kami di Bro Empire Entertainment amat berbesar hati kerana dapat membawakan dua band hebat ini dalam satu festival muzik yang akan menjanjikan kepuasan luar biasa,” katanya.

Selain persembahan utama, penganjur juga turut menampilkan beberapa kumpulan indie lain dengan muzik berbeza genre untuk menghidupkan festival ini yang bermula seawal 4 petang hingga tengah malam.

PENGANJUR dan artis dalam sidang media Riot Fest.
PENGANJUR dan artis dalam sidang media Riot Fest.

“Untuk ‘menghuru-harakan’ lagi keadaan, banyak deretan band indie tempatan lain turut ditampilkan.

“Penggemar muzik hip hop pula, boleh menikmati persembahan segar daripada pemenang tempat kedua Anugerah Juara Lagu Ke-34 (AJL34) lalu, Aman Ra,” katanya.

Barisan band lain yang terbabit ialah Bittersweet, Plague of Happiness, Salam Music, Toko Kilat, Iqbal M dan Gard Wuzgut, Operahaus, Fuze Band, Hacktick, Golden Mammoth dan Torque Six.

Tiket untuk menonton konsert Riot Fest berharga RM70, RM90, dan RM150. Maklumat lanjut boleh di dapati di platform media sosial ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 6:45 AM