BERBELANJA dengan bijak sewaktu ekonomi tidak menentu.
BERBELANJA dengan bijak sewaktu ekonomi tidak menentu.
Hafiz Ithnin


DALAM keadaan ekonomi yang sukar dijangka keutuhannya kerana penangan pandemik Covid-19, ramai yang terkesan dan terpaksa mengecilkan dompet untuk berbelanja.

Bagi pengemar gaya, tidak mustahil 'lebih terasa' kerana mungkin sebelum ini boleh memperuntukkan wang untuk berbelanja sakan membeli pakaian, aksesori atau kasut baharu demi sebuah fesyen, kini tidak lagi.

Perunding Fesyen, Faizal Hamid berkata, pakaian adalah ekspresi luaran yang lahir dari dalam diri individu. Maka, amat penting berpakaian sebagai suatu ekspresi gaya tersendiri atau sekadar untuk menyampaikan mesej tertentu kepada sesiapa yang melihat.

"Namun begitu, walau apa pun gaya anda, seharusnya ia nampak bersahaja, tidak keterlaluan dan tidak dibuat-buat. Paling penting, kita perlu jujur dengan diri sendiri. Kita perlu sentiasa selesa dengan apa dipakai serta gayakan.

"Pilihlah padanan pakaian dan aksesori yang kita fikirkan menarik, bukan apa yang dikatakan trendy oleh orang lain. Oleh itu kekalkan item yang paling sesuai dengan umur, potongan tubuh badan, imej, personaliti serta gaya kita dengan mengambil kira acara, majlis atau lokasi," katanya.

Jelasnya, bagi mereka yang mengalami keadaan 'bajet yang sempit' sebenarnya tidak perlu berbelanja besar demi sebuah gaya kerana setiap individu itu sudah mempunyai keunikan tersendiri dan perlu kreatif dalam menonjolkan diri.

"Perkara yang perlu anda lakukan adalah dengan mula isikan almari anda dengan pakaian-pakaian asas dan klasik dari segi potongan serta warna. Tidak perlu tergesa-gesa, cuba mulakan perlahan-lahan sedikit demi sedikit.

"Pastikan setiap kali anda membeli pakaian baru, ia padan dengan apa yang ada dalam alamari anda, ini adalah untuk mengelak daripada pembaziran," katanya.

Katanya, untuk miliki ketrampilan yang hebat tidak memerlukan seseorang itu sentiasa bergaya mewah dengan pakaian mahal dan berjenama, paling penting punyai cita rasa dalam memilih sesuatu pakaian.

JANGAN bazirkan wang untuk membeli pakian baharu kerana jenama.
JANGAN bazirkan wang untuk membeli pakian baharu kerana jenama.

Tambahnya, utamakan mutu, pilihan potongan ringkas dan elemen perincian yang berseni dan klasik. Mahal atau murah adalah sesuatu yang subjektif.

"Praktikan konsep 'less is more.' Jangan berlebih-lebihan atau 'trying too hard' dalam berfesyen. Anda tidak perlu gayakan segala pakaian dan aksesori yang trendy dan popular dalam satu masa. Ia akan nampak amat pelik dan janggal," katanya.

Faizal berkata, jangan membazir dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu iaitu beli hanya beberapa pakaian yang trendy pada setiap musim dan kemudiannya suai padan dengan barangan asas atau apa yang ada dalam almari pakaian anda.

"Pakaian baharu yang disuai padan dengan yang lama secara bijak dan kreatif. Selalunya menjadikan penampilan kita kelihatan lebih bersahaja dan menarik. Malah dapat menjimatkan.

PERLU bijak menyusun pakaian supaya ia boleh disuai padan untuk kelihatan menarik.
PERLU bijak menyusun pakaian supaya ia boleh disuai padan untuk kelihatan menarik.

"Sebelum anda bercadang membeli pakaian atau aksesori baharu, tanya diri sama ada anda membelinya kerana ia sekadar gaya atau keperluan. Jika membelinya hanya kerana logo atau jenama barangan itu, lupakan sahaja kerana percayalah akhirnya pakaian itu hanya akan menjadi hiasan dalam almari,

" katanya.

Jelasnya, elakkan daripada menjadi hamba media cetak dan elektronik. Jangan tiru tanpa berfikir apa yang kita lihat di televisyen dan majalah. Selebriti dan model selalunya bergaya berlebihan untuk menarik perhatian media. Kadang-kala gaya yang berlebihan itu selalunya tidak berjaya dalam dunia realiti.

JANGAN terpengaruh dengan fesyen digayakan oleh selebriti kerana ia mempunyai unsur berlebihan.
JANGAN terpengaruh dengan fesyen digayakan oleh selebriti kerana ia mempunyai unsur berlebihan.

"Jika kita rasakan semua mata memandang sinis ketika kita menggayakan sesuatu tren pakaian atau padanan, berkemungkinan besar ia tidak sesuai dengan kita. Begitu juga dengan tren warna atau rona terang. Elakkan jika anda tidak biasa atau kurang selesa memakainya.

"Kita boleh mengambil inspirasi untuk lebih bergaya, tetapi cuma perlu diingat ia perlu disesuaikan dan diolah mengikut gaya hidup sendiri serta disesuaikan dengan latar belakang masyarakat setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 7:01 AM