MEMILIH jaket atau kasut berwarna blok boleh menonjolkan identiti.
MEMILIH jaket atau kasut berwarna blok boleh menonjolkan identiti.
Hafiz Ithnin

MESKIPUN pandemik Covid-19 belum reda, industri fesyen terus memperkenalkan pelbagai gaya dan rona bagi menarik perhatian si peminatnya.

Apatah lagi bagi mereka yang bakal meraikan sesuatu perayaan pasti ingin tampak bergaya walaupun perlu melalui norma baharu.

Bercerita mengenai rona, penganalisis fesyen, Faizal Hamid berkata, trend blok warna kembali lagi musim ini dengan spektrum berani penuh kontras.

Katanya, gemilang rona seperti merah muda terang, biru langit dan jingga kuning muda cukup menyerlah dalam kombinasi padanan pakaian di pentas peragaan antarabangsa dan di jalanan.

"Jika dulu gaya trend blok warna hanya tertumpu pada padanan pakaian dalam tona kontras, tetapi kini pereka mengolah konsep blok warna lebih sederhana, dalam gaya dan siluet yang ringkas dengan warna utama boleh disuai padan dengan gaya jalanan urban dan 'cool.'

PEMILIHAN warna blok juga boleh disesuaikan dengan gaya santai.
PEMILIHAN warna blok juga boleh disesuaikan dengan gaya santai.

"Aliran blok warna juga bukan hanya untuk mereka yang berani berfesyen. Perkara yang pasti ia menyerlahkan penampilan serta menyuntik keyakinan kepada sesiapa sahaja yang menggayakannya," katanya.

Jelasnya, trend ini memerlukan kita untuk lebih berani mencuba. Gayakan padanan hebat ini dengan penuh keyakinan dan tunggu pujian yang bakal diberikan mereka yang melihat.

Panduan gaya trend blok warna

- Bagi musim ini, aliran blok warna memberi fokus hanya satu warna atau rona senada pada setiap penampilan. Contohnya, jika anda memilih jingga sebagai rona utama, cuba fikirkan warna asas kumpulan yang sama seperti kuning aprikot, madu, amber, terakota (tanah liat) dan sebagainya. Kombinasi padanan palet rona ini cukup menarik, segar dan kontemporari bagi mereka yang gemar bereksperimentasi.

- Gayakan pilihan blok warna yang paling anda rasa selesa memakainya. Jika anda baru mahu mencuba, padanan gaya blok warna tona senada adalah yang paling sesuai.

RONA blok yang terang boleh menonjolkan identiti si pemakai.
RONA blok yang terang boleh menonjolkan identiti si pemakai.

- Merah muda dan ceri atau anggur adalah kombinasi warna paling menyerlah dan anggun. Contohnya padankan top, blaus atau jaket merah muda dengan skirt dan blazer merah.

- Konsep blok warna tidak semestinya sentiasa warna terang sepanjang masa. Anda juga boleh bereksperimentasi dengan rona 'muted'. Gayakan gaun dalam satu warna utama dan padankan aksesori rona neutral atau metalik.

- Aksesori metalik boleh menjadikan penampilan nampak lebih segar dan kontemporari.

- Jika dalam almari anda penuh dengan pakaian rona neutral, sudah tiba masanya anda keluar daripada pilihan kebiasaan dengan menambah satu padanan dalam rona terang, ia pasti dapat memberi nafas baru pada gaya anda.

- Jika masih ragu dan mahukan penampilan yang lebih praktikal, padankan kombinasi rona neutral dan terang dengan denim sebagai pelengkap gaya.

- Anda tidak semestinya memilih warna hitam untuk kelihatan langsing dan menonjolkan diri kerana kombinasi blok warna juga dapat memberikan kesan langsing jika tahu menggayakannya.

ANTARA padanan menarik warna blok yang cerah.
ANTARA padanan menarik warna blok yang cerah.

- Kombinasi warna cerah dan gelap di bahagian pinggang memberikan kesan langsing dan lebih mantap jika dilengkapkan dengan kardigan atau jaket.

- Elak daripada menggabungkan lebih daripada tiga hingga empat warna kerana ia boleh membuatkan penampilan nampak celaru.

- Gaya blok warna adalah trend yang memerlukan penampilan yang sederhana, sehingga anda tidak perlu mengenakan terlalu banyak aksesori.

- Jangan malu untuk bereksperimentasi dengan trend ini kerana ia memerlukan keberanian dan kreativiti untuk tampil lain daripada lain. Pilihan warna biru, hijau, jingga pasti membuatkan anda tampil berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 6:25 AM