DALAM bergaya perlu faham konsep suai padan yang nampak serasi dan mampu beri keyakinan diri pemakai.
DALAM bergaya perlu faham konsep suai padan yang nampak serasi dan mampu beri keyakinan diri pemakai.
Hafiz Ithnin

ADA yang menggayakan busana dari kepala sehingga ke kaki jenama mewah antarabangsa dipadankan dengan logo sebolehnya 'sebatu' mampu ditonjolkan.

Malah ada yang beranggapan jika sudah melabur duit yang tidak habis makan itu kepada busana, mengapa hendak disorokkan? Pasti memberi kepuasan apabila ada yang memuji melihat kemampuan si pemiliknya.

Bagaimanapun, menjadi tanda tanya adakah wajar jika dari atas kepala sehingga ke kaki, logo atau jenama mewah antarabangsa itu disarungkan kepada diri semata-mata untuk menarik perhatian? Atau ia adalah sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai mangsa fesyen?

Mengulas mengenai perkara itu, Penganalisis Fesyen, Profesor Dr Zuhaili Akmal Ismail berkata, pertama sekali di dalam bergaya perlu faham kepada konsep suai dan padan yang tampak serasi dan mampu menghasilkan keyakinan diri kepada individu itu sendiri.

Beliau berkata, dalam masa sama si pemilik tubuh seharusnya juga cekap membawa sesuatu gaya itu kerana ia turut menghasilkan interpretasi orang lain kepada dirinya.

"Berbusana mewah tidak ada salahnya jika seseorang itu mampu dan merasakan ia boleh memberi kesan kepada gaya hidup mereka dan menjadikan diri lebih yakin apabila berdepan dengan khalayak.

GAYA di atas pentas peragaan tidak semestinya sesuai untuk gaya harian.
GAYA di atas pentas peragaan tidak semestinya sesuai untuk gaya harian.

BERPAKAIAN ringkas mampu menonjolkan diri yang tampak lebih menarik.
BERPAKAIAN ringkas mampu menonjolkan diri yang tampak lebih menarik.

"Bagaimanapun, perlu diingatkan dalam berpakaian tidak perlu sebenarnya menonjolkan dari kepala sehingga ke kaki dengan pelbagai jenis logo jenama mewah antarabangsa kerana ia mampu menjadikan diri seseorang itu mangsa fesyen," katanya.

Jelasnya, mangsa fesyen adalah perkataan yang diperkenalkan pereka fesyen, Oscar de le Renta dan sering digunakan untuk individu yang agak keterlaluan dalam pemakaian mereka.

"Formula mudah bagi mangsa fesyen adalah Big + Bold + Shiny + Trendy + Designer yang menghasilkan mangsa fesyen. Menonjolkan jenama fesyen dari atas ke bawah dalam pemakaian di bandar fesyen, Paris, dianggap kurang sopan dan dipandang serong oleh komuniti fesyen atau lebih dikenali sebagai fashionista.

"Untuk tidak digelar sebagai seorang mangsa fesyen, pastikan memahami konsep fesyen dan stail. Ramai menganggap fesyen dan stail mempunyai definisi yang sama," katanya.

Penganalisis itu menjelaskan, fesyen adalah stail yang dominan pada era atau masa tertentu. Fesyen juga bergantung kepada arus kini dan permintaan pelanggan.

"Stail pula adalah pilihan individu untuk pemakaian sebagai ekspresi diri. Analogi mudah, pilihan pemakaian oleh model di pentas peragaan adalah fesyen dan pilihan pemakaian untuk rutin harian adalah stail.

"Namun, perlu diingatkan segala padanan yang diletakkan di atas pentas peragaan tidak semestinya sesuai untuk diacukan kepada diri sendiri dalam berpakaian seharian kerana dalam pertunjukan fesyen, pereka mempunyai matlamat berkarya yang tertentu. Mereka inginkan sama ada konsep jalanan sehingga 'avant garde," katanya.

Ketika ditanya sama ada berpakaian yang menonjolkan logo jenama mewah dari kepala sehingga ke kaki adalah satu intepretasi mewah atau serabut, Dr Zuhaili berkata, ia bergantung kepada si pemakai untuk memadankan busana dan aksesori berjenama dengan bijak.

BIJAK berbelanja pakaian mengikut kemampuan dan bukan untuk mengujakan khalayak kerana ia sesuatu yang merugikan.
BIJAK berbelanja pakaian mengikut kemampuan dan bukan untuk mengujakan khalayak kerana ia sesuatu yang merugikan.

"Sebagai contoh untuk terlihat lebih menonjol dan mewah, si pemakai boleh memadankan tas tangan dan jaket berjenama mewah dengan busana ringkas dari pilihan warna neutral.

"Tip untuk kelihatan lebih mewah dalam pemakaian adalah gabungan tekstur yang berbeza, busana dengan perincian teliti dan potongan pakaian mengikut kesesuaian badan," katanya.

Jelasnya, menonjolkan elemen stail mengikut cita rasa tanpa menjadi mangsa fesyen kerana stail adalah malar segar dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip 'less is always more'

kerana sesuatu yang ringkas mampu memberi kesan baik dalam pemakaian.

Katanya, dalam golongan mereka yang gemarkan gaya mewah dan hidup dalam kelompok masyarakat berada kebiasaannya tidak memilih untuk terlalu menunjukkan keseluruhan logo jenama busana atau aksesori. Ini kerana prinsip menonjolkan bersederhana tetapi mampu orang sekeliling sudah tahu mengenai pakaian atau aksesori yang dimiliki mereka sendiri.

Dr Zuhaili
Dr Zuhaili

"Jika kita ingin memakai sesuatu pakaian kerana mengidamkan orang ramai memuji kemampuan memilikinya perlu diubah kerana terdapat pelbagai lagi elemen dalam kehidupan yang menjadi perhatian khalayak untuk menilai diri seseorang yang bukan bersandarkan sepasang busana sahaja.

"Contohnya, meskipun memadankan dari kepala sehingga kaki logo jenama antarabangsa yang terkenal tetapi cara berkomunikasi tidak bijak dalam perbualan, ia akan meruntuhkan nilai kemewahan yang terdapat pada pakaian mewah itu. Silap-silap khalayak merasakan pakaian yang dipadankan itu adalah tiruan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 7:00 AM