TIDAK perlu menunjukkan jenama dari kepala sehingga kaki untuk meraih perhatian khalayak.
TIDAK perlu menunjukkan jenama dari kepala sehingga kaki untuk meraih perhatian khalayak.
Hafiz Ithnin


SEJAK kebelakangan ini, kita boleh lihat di media sosial golongan yang sentiasa ingin menunjukkan kemewahan mereka menerusi jenama yang disarungkan pada tubuh.

Tiada salahnya kerana mungkin dari perspektif peribadi si pemilik ingin menunjukkan kemampuan mereka memiliki jenama tersohor dan mempunyai nilai yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Namun, jika berlebihan ia kadangkala boleh menjadikan seseorang itu menjadi mangsa fesyen kerana terlalu banyak elemen 'kemewahan' yang ingin ditonjolkan di depan khalayak.

Justeru, Wanita Metro (WM) ingin kongsikan beberapa panduan kepada anda yang berkemampuan untuk kelihatan lebih terserlah tanpa perlu dari kepala sehingga kaki menempelkan pelbagai jenama mewah.

GAYA eksklusif biasanya tidak mempunyai paparan jenama yang besar.
GAYA eksklusif biasanya tidak mempunyai paparan jenama yang besar.

1. Kerjaya

Jika anda mempunyai kerjaya yang amat baik seperti usahawan atau memiliki perniagaan bernilai jutaan atau ringgit. Sebenarnya jika menyarungkan selipar ke tandas yang dibeli di pasar malam sekali pun, khalayak akan berasakan ia sesuatu yang mahal.

Kerjaya antara kunci utama dalam 'fesyen' anda kerana ia tidak perlu bekerja keras untuk membuktikan anda seorang yang mampu menyarung set busana atau aksesori mewah.

Malah, jika anda mempunyai kerjaya yang baik seiring dengan rasa rendah diri atau sikap diri yang amat disenangi orang ramai, ia mampu menunjukkan kemewahan diri yang sebenar di depan khalayak.

Perlu diingatkan, kelakuan atau sikap adalah modal pertama untuk memancing perhatian orang ramai tanpa perlu menunjukkan barangan mewah secara berlebihan.

WANITA kelas atasan biasanya hanya mengenakan tas tangan tidak mempunyai logo terlalu menonjol, tetapi eksklusif.
WANITA kelas atasan biasanya hanya mengenakan tas tangan tidak mempunyai logo terlalu menonjol, tetapi eksklusif.

2. Pakaian ringkas

Kebanyakan mereka yang benar-benar memiliki aset bernilai tinggi, jika diperhatikan tidak gemar untuk memakai sesuatu yang tampak serabut.

Mereka lebih terarah untuk menyarungkan sesuatu yang ringkas, tetapi mampu menonjolkan pesona eksklusif. Misalnya, hanya memakai baju kurung polos bersama satu aksesori seperti rantai mutiara. Namun, sebenarnya mampu menunjukkan diri mereka seseorang yang mementingkan kekemasan dan eksklusif apabila berada di depan khalayak ramai.

3. Label jenama yang tersorok

Jika diperhatikan golongan yang mampu memiliki segala jenama hanya dengan memetik jari, mereka tidak menyarung dari atas kepala sehingga ke kasut yang menonjolkan jenama 'sebesar-besar alam!'

Kebanyakan mereka memakai aksesori seperti tas tangan, jam tangan atau kasut tinggi yang mempunyai label jenama mewah yang amat kecil.

Namun, 'mata-mata' yang peka kepada dunia jenama mewah dapat mengesannya kerana kebanyakan produk fesyen bernilai tinggi dikeluarkan secara eksklusif dan mengikut selera si pemakai dalam kalangan kelas atasan yang tidak mahu kelihatan seperti papan iklan bergerak.

BERHIAS secara sederhana menjadi pilihan wanita kelas atasan.
BERHIAS secara sederhana menjadi pilihan wanita kelas atasan.

4. Cukup satu atau dua

Wanita kelas atasan sebenarnya jika anda perhatikan mereka tidak akan memakai terlalu banyak aksesori. Mereka kebanyakannya menyarung satu tas tangan eksklusif dan memakai satu atau dua aksesori diri seperti set mutiara untuk rantai leher dan gelang atau cincin.

Dalam dunia fesyen juga jika terlalu banyak aksesori yang digayakan si pemakai, ia akan menunjukkan seseorang itu terlalu bekerja keras bagi menunjukkan kehadiran mereka di hadapan orang ramai.

5. Solekan

Dari segi solekan juga bagi wanita yang kaya kebanyakan tidak akan menyolek wajah secara berlebihan kerana mereka bukan sahaja mahu kelihatan ringkas untuk bekerja, malah amat mementingkan kesihatan wajah.

Jika menghadiri acara berprestij, golongan kelas atasan ini biasanya mempunyai solekan yang ringkas, tetapi aura kehadiran mereka dapat dirasai khalayak.

Begitu juga dari segi dandanan rambut, mereka tidak berlebih-lebihan kerana amat mementingkan keselesaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 6:30 AM