PEMILIHAN kasut yang sesuai boleh menonjolkan gaya seseorang.
PEMILIHAN kasut yang sesuai boleh menonjolkan gaya seseorang.
Hafiz Ithnin


BERBUSANA menjadi perkara yang tidak boleh dipandang 'sepi' kerana ia mampu menonjolkan identiti seseorang. Apatah lagi si empunya diri itu adalah seseorang yang menjadi perhatian.

Namun, dalam berbusana kadangkala ia menjadi sesuatu yang canggung di mata khalayak meskipun ia nampak cantik secara peribadi.

Penganalisis fesyen, Faizal Hamid berkata, kadangkala fesyen dan gaya adalah sesuatu yang sukar didefinisikan, berkemungkinan kerana ia membabitkan aura.

Jelasnya, untuk memudahkan ada beberapa perkara perlu diambil kira mengenai gaya yang ada di sekeliling kita.

"Bukan hanya pakaian yang kita pakai, tetapi juga kereta yang kita pandu, irama muzik yang kita dengar, telefon bimbit yang kita gunakan dan sebagainya.

"Lebih mudah jika anda memikirkan gaya sebagai gaya hidup, ia bukan hanya cara kita memilih pakaian, tetapi juga cara pendekatan kita terhadap perkara lain," katanya.

Tambahnya, mengaplikasi falsafah hidup kita dalam cara berpakaian adalah salah satu cara untuk mengintegrasikan personaliti diri dalam penampilan seharian.

"Ia memudahkan kita untuk mengadaptasikan atau menyesuaikan pakaian yang kita sedia ada untuk ke pejabat, beriadah hingga hujung minggu.

GAYA kasual mampu menonjolkan aura bersahaja si pemakai.
GAYA kasual mampu menonjolkan aura bersahaja si pemakai.

"Sememangnya gaya adalah ekspresi personaliti diri melalui gaya penampilan yang kita pilih. Penting untuk berpakaian dengan gaya yang boleh menyampaikan mesej yang positif dan paling utama penampilan anda juga perlu nampak bersahaja serta natural," katanya.

Jelasnya, mengayakan pakaian yang tidak kena dengan diri anda adalah kesalahan paling besar yang anda lakukan dalam terma fesyen.

"Imej yang hebat, anggun dan berhemah adalah simbol wanita kontemporari. Ia cukup signifikan bagi wanita yang mahukan imej penuh keterampilan, dengan kredibiliti hebat dan anggun.

"Idea dan cita rasa adalah sesuatu yang subjektif. Setiap individu inginkan identiti tersendiri, tidak mahu dikongsi dengan orang lain," katanya.

PERLU bijak memilih busana supaya sesuai dengan lokasi dan acara.
PERLU bijak memilih busana supaya sesuai dengan lokasi dan acara.

Tambahnya, kini tidak ramai yang mahu meniru dan menjadi klon personaliti atau selebriti terkenal. Sememangnya kita tidak perlu menjadi orang lain untuk terkenal.

"Kini memakai hanya pakaian berjenama dan mengenakan aksesori pereka fesyen atau jenama terkenal dan mahal dari hujung rambut ke hujung kaki tidak lagi menjadi tarikan wanita kini.

"Lebih penting dan menjadi keutamaan adalah gaya tersendiri ekspresi individu itu. Setiap gaya adalah luahan rasa si pemakainya," katanya.

Faizal berkata, kita perlu meluaskan perspektif terhadap fesyen dan menghormati hak orang lain berfesyen.

"Ia adalah fenomena yang mendefinasikan budaya kontemporari. Yang pasti fesyen juga mempunyai kaitan kuat terhadap masa silam, memori, tanda mata, harga diri dan sejarah.

"Kesimpulannya, fesyen adalah sesuatu yang ceria dan gaya ekspresi individu yang tersendiri selain bertujuan mempertingkatkan keyakinan serta ketrampilan diri.

"Kita akui cita rasa manusia adalah sangat subjektif dan bersifat sejagat. Setiap individu berhak berfesyen mengikut kemampuan serta cita rasanya," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 6:40 AM