PEMILIHAN material penting supaya atlet Muslimah lebih selesa ketika beraksi.
PEMILIHAN material penting supaya atlet Muslimah lebih selesa ketika beraksi.
Hafiz Ithnin


KELIHATAN di arena sukan ketika ini sudah ramai atlet yang mengenakan pakaian lebih sopan atau 'modest'.

Malah, pemakaian sukan yang lebih menjaga aurat wanita itu juga membuktikan bahawa pakaian yang bertutup bukan menjadi halangan kepada seseorang membuktikan keupayaan atas trek ketika perlumbaan atau bersukan.

Penganalisis fesyen, Dr Zuhaili Ismail berkata, ketika ini pakaian bukan lagi menjadi halangan seseorang untuk menunjukkan prestasi baik ketika bersukan.

Jelasnya, perkara ini kerana teknologi dalam fabrik misalnya memberi perkembangan baharu dalam dunia fesyen untuk pereka fesyen mencipta busana yang bukan sahaja menarik, tetapi tampak sopan untuk atlet.

"Fesyen sukan ini adalah dinamakan sebagai 'athleisure' iaitu terma untuk pakaian santai sukan. Istilah ini merujuk kepada gaya pakaian yang menggabungkan elemen pakaian sukan dengan pakaian harian.

"Ia menciptakan gaya yang nyaman, santai dan fleksibel untuk digunakan dalam aktiviti harian atau gaya hidup aktif. Pada 2016, pakaian sukan 'modest' mula mendapat perhatian di pentas peragaan antarabangsa.

"Paling ketara, fenomena ini dipengaruhi peningkatan kesedaran terhadap keperluan pakaian sukan yang mematuhi nilai-nilai agama dan budaya serta permintaan yang meningkat daripada wanita Muslimah yang ingin menjalani gaya hidup aktif," katanya.

Jelasnya, salah satu momen penting pada tahun itu adalah pembabitan jenama pakaian sukan ternama dunia yang melancarkan koleksi 'athleisure modest'.

PEREKA fesyen kini semakin meluaskan rekaan 'modest'.
PEREKA fesyen kini semakin meluaskan rekaan 'modest'.

"Mereka mengeluarkan pakaian sukan sesuai dengan penutupan yang baik dan memenuhi keperluan gaya hidup aktif wanita Muslimah. Kerjasama mereka dengan pereka fesyen Muslimah dan model Muslimah ternama membantu mempopularkan konsep pakaian sukan 'modest' di pentas peragaan antarabangsa," katanya.

Antara pakaian sukan 'modest' yang kini mudah dilihat apabila terdapatnya keluaran anak tudung atau lapisan pakaian wanita yang mempunyai kain lebih sejuk atau selesa.

"Malah, sudah wujud untuk pemakaian lebih sopan seperti jaket atau baju sukan yang lebih sesuai untuk Muslimah dan dalam masa sama memberi keselesaan kepada mereka untuk melakukan aktiviti lasak.

"Tidak sekadar itu, selari dengan perkembangan teknologi fabrik, pakaian yang dihasilkan juga mempunyai ciri-ciri seperti tidak berbau dan mudah kering. Ia adalah elemen yang sangat diperlukan mereka yang aktif bersukan," katanya.

TEKNOLOGI tekstil yang berkembang memberi manfaat kepada gaya sukan.
TEKNOLOGI tekstil yang berkembang memberi manfaat kepada gaya sukan.

Jelasnya lagi, perkembangan kepada permintaan pakaian sukan Muslimah juga sebenarnya menjadikan pemain industri fesyen bukan sekadar menumpukan kepada rekaan semata-mata, malah teknologi fabrik.

"Jika kita lihat pemain industri fesyen tempatan sendiri juga mula mencipta fabrik eksklusif mereka bagi menawarkan keselesaan kepada Muslimah yang aktif bersukan.

"Dalam masa sama, kemunculan trend ini sebenarnya membantu pereka fesyen tempatan mula mendapat perhatian daripada jenama atau firma sukan antarabangsa untuk bekerjasama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 6:30 AM