SENTUHAN Zaffir yang mengangkat elemen tempatan dalam gaya jalanan mewah.
SENTUHAN Zaffir yang mengangkat elemen tempatan dalam gaya jalanan mewah.
Hafiz Ithnin


"SAYA memang berangan! Tetapi, berangan seiring dengan tindakan," tegas pereka fesyen muda berusia 27 tahun itu kepada penulis.

Meskipun baharu sahaja membina nama dalam industri fesyen, namun Muhamad Zaffir Mohd Najib sudah mempunyai strategi tersendiri supaya hasil sentuhannya mampu menembusi pasaran luar terlebih dahulu berbanding di Malaysia.

Katanya, pengalaman bekerja dengan sebuah firma fesyen milik anak tempatan yang kini sudah membina nama di luar negara, membuatkannya berasakan resipi itu amat membantunya dalam mengembangkan jenama pada masa depan.

Bagi pemilik jenama Zaff Ben Jibby itu, dia yakin untuk memancing pasaran antarabangsa memandangkan pada koleksi pertamanya pada 2020, ketika itu baharu sahaja bergelar graduan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), koleksinya berjaya disenaraikan dalam sebuah laman web firma fesyen berpangkalan di London.

"Bagi saya dalam industri fesyen ini, karya perkara nombor satu dan kedua ialah strategi untuk membina jenama itu kerana di akhirnya pereka fesyen mahukan jenama mereka diterima secara meluas dalam pasaran.

"Jadi, untuk saya meninjau pasaran asing menjadi strategi kerana menerusi pemerhatian saya yang bekerja dengan sebuah firma fesyen tempatan, tetapi membina jenama di luar negara terlebih dahulu, ia nampak lebih berkesan dalam perniagaan," katanya.

Anak kelahiran Johor itu mengetengahkan konsep pakaian 'haute streetwear' atau pakaian jalanan yang lebih fokus kepada segmen pertengahan dan ke atas selain melihat karya sentuhannya lebih diterima di luar.

KARYA fesyen yang mempunyai keunikan tersendiri.
KARYA fesyen yang mempunyai keunikan tersendiri.

BERANI bereksprementasi dalam menghasilkan karya fesyen.
BERANI bereksprementasi dalam menghasilkan karya fesyen.

Ini kerana, dia yang turut mengetengahkan koleksi adi busana berinspirasi pertunjukan seni dan avant-garde, tetapi membawa elemen tempatan di dalamnya.

Penerima Anugerah Graduan Terbaik Pertunjukan Fesyen UITM 2019/2020 mengakui, walaupun di Malaysia mempunyai peminat fesyen di dalam segmen avant-garde, tetapi tidak seramai di luar negara.

"Kesedaran mengenai keunikan fesyen itu sudah ada, tetapi tidak ramai berani untuk memperagakannya dalam koleksi sedia untuk dipakai kerana ia tampak begitu menonjol berbanding di luar negara, penggunanya lebih berani dalam berbusana harian.

"Jadi, bagi saya membina jenama di luar negara menjadi fokus terlebih dahulu berbanding di pasaran tempatan. Kini saya di peringkat membina jaringan perniagaan daripada ejen berpangkalan di United Kingdom," katanya.

Mengenai karyanya, Zaffir berkata, setiap rekaan 'haute streetwear' yang dihasilkannya mempunyai pengaruh budaya tempatan seperti adat bersongkok, berbaju Melayu dan bersamping.

Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi pengenalan koleksi terbaharunya untuk musim luruh/panas 2022 yang membariskan enam rekaan dan lapan helaian.

"Saya mengambil pengaruh berkenaan dalam koleksi kali ini untuk disuntik dalam pakaian jalanan yang tampak lebih mewah.

ZAFFIR (kiri) bersama model yang memperagakan koleksi terbaharunya.
ZAFFIR (kiri) bersama model yang memperagakan koleksi terbaharunya.

"Bagi saya elemen tradisional itu sebenarnya malar segar dan mampu menjadi asas untuk dikembangkan bagi mencipta satu karya fesyen baharu, tetapi bersandarkannya," katanya.

Umpamanya inspirasi pemakaian bengkung lelaki dalam pakaian tradisional diolah menjadi satu set bersama seluar.

"Manakala, corak kain pelekat itu saya ambil untuk dikembangkan dalam koleksi kali ini seperti untuk jaket dan seluar. Namun, saya cipta satu gaya yang lebih nampak santai dan unik," katanya.

Selain itu, Zaffir berkata, helaian koleksinya juga tidak mempunyai persempadanan jantina kerana di dalam inspirasi avant-garde, pemakaian itu adalah seni.

"Bagi saya apabila si pemakai bijak bermain dengan seni pemakaian mereka, ia akan menjadi satu hasil yang menarik.

"Namun, si pemakai juga perlu tahu untuk peka kepada sensitiviti khalayak itu sendiri supaya ia tidak canggung dalam pemakaian yang dikenakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 7:00 AM