TIADA batas bergaya baik perubahan tubuh. FOTO Ihsan Uniqlo
TIADA batas bergaya baik perubahan tubuh. FOTO Ihsan Uniqlo
Nurul Husna Mahmud

FAKTA unik mengenai tubuh manusia ialah dua organ yang tidak akan berhenti membesar ialah telinga dan hidung. Merujuk kepada kedua-duanya daripada sel tulang rawan.

Walaupun fakta mengatakan seluruh badan kita mengecut seiring bertambahnya usia, tidak dinafikan pola pemakanan dan gaya hidup ternyata mempengaruhi perubahannya. Badan berubah dipengaruhi elemen hormon dan metabolisme menyebabkan saiz tubuh tidak dapat dijangka.

Kesannya lebih sensitif pada wanita yang begitu 'peka' dengan setiap perubahan pada tubuh mereka. Ada melihat perubahan itu sesuatu yang tidak selesa dan sekali gus 'mencalarkan' keyakinan diri.

Justeru, aspek mungkin membantu menangani isu terbabit ialah pemilihan pakaian yang sesuai boleh menyerlahkan kelebihan tubuh individu. Tidak menolak ada berpandangan sesetengah gaya hanya sesuai digayakan golongan tertentu.

Ingin merungkaikan dilema mengenai perubahan tubuh menjadi 'sekatan' kepada pemilihan gaya, pereka fesyen Muslimah dari Jepun Hana Tajima tampil dengan idea koleksi pakaian harian yang boleh berubah seiring dengan perubahan tubuh.

Kata pereka itu, Koleksi Musim Bunga Panas 2020 atau dinamakan Hana Tajima For Uniqlo bakal berada dalam pasaran 8 Mei nanti, ideanya ialah gaya atau fesyen pada wanita itu bebas tanpa dibatasi ukuran atau perubahan diri setiap hari.

WARNA unik berunsurkan semula jadi. FOTO Ihsan Uniqlo
WARNA unik berunsurkan semula jadi. FOTO Ihsan Uniqlo

"Tubuh tidak statik, membesar, berubah dan bergerak. Selaku pereka semestinya menyedari elemen ini kerana saya sendiri pun mengalaminya. Jadi saya melihat pakaian yang boleh toleransi kepada perubahan ini penting dalam menghidupkan dan menceriakan kembali cara berpakaian.

"Menerusi perincian yang boleh diubah suai mengikut gaya, siluet yang longgar dan terletak cantik pada bahagian tubuh tertentu membuatkan gaya busana ini sesuai serta selesa digayakan setiap hari," katanya.

Turut ditampilkan dalam koleksi kali ini ialah trend semasa yang mana popular dengan cetakan bermotifkan bunga. Eksklusif pada cetakan itu adalah sentuhan peribadi beliau yang menggambarkan kecantikan dalaman setiap pemakainya.

Palet warna terang diilhamkan daripada unsur semula jadi adalah refleksi unik pereka itu dalam setiap koleksi rekaan fesyen dikeluarkan seperti blaus mewah dengan material ringan dan gaun krep yang sangat ekspresif.

Seperti koleksi sebelumnya, koleksi Hana Tajima untuk musim panas dan bunga 2020 merangkumi kepelbagaian budaya yang kaya dan menawarkan keselesaan serta keanggunan kepada semua wanita, tanpa mengira usia, bangsa, budaya atau kepercayaan agama.

POTONGAN siluet longgar memberi rasa selesa. FOTO Ihsan Uniqlo
POTONGAN siluet longgar memberi rasa selesa. FOTO Ihsan Uniqlo

BLAUS dengan kain ringan untuk beri rasa ‘bebas’. FOTO Ihsan Uniqlo
BLAUS dengan kain ringan untuk beri rasa ‘bebas’. FOTO Ihsan Uniqlo

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 6:30 AM