REKAAN menarik yang dihasilkan dengan kerjasama Marimekko.
REKAAN menarik yang dihasilkan dengan kerjasama Marimekko.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

DIAM tak diam, bulan ini menandakan satu dekad kehadiran jenama peruncit pakaian global terkenal dari Jepun, UNIQLO di Malaysia.

Bermula dengan hanya satu gedung di Fahrenheit 88, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada November 2010, jenama itu kini memiliki 51 rangkaian kedai fizikal di seluruh negara selain kedai dalam talian.

Bagi meraikan sedekad kehadiran jenama itu di negara ini, Harian Metro diberi peluang eksklusif untuk menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif UNIQLO Malaysia dan Singapura, Yuki Yamada, baru-baru ini.

S1: Boleh anda kongsikan dengan kami apa yang mendorong UNIQLO untuk berada sejauh ini di pasaran Malaysia dan apakah keunikan jenama ini?

J1: Visi kami adalah untuk menyediakan pakaian berkualiti pada harga yang berpatutan dengan konsep

LifeWear

sebagai asasnya. Itulah keunikan dan membezakan kami daripada jenama lain.

Dalam 10 tahun kebelakangan ini, pelanggan di Malaysia sudah berkembang untuk menerima konsep LifeWear yang kami tawarkan dan ia mendorong perkembangan UNIQLO sehingga berada di tempat sekarang.

YAMADA
YAMADA

S2: Sebagai peruncit pakaian global Jepun, bagaimana anda melihat pasaran di Malaysia?

J2: Malaysia adalah sebahagian daripada operasi kami di Asia Tenggara dan Oceania yang ia turut merangkumi Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Australia.

Pada tahun 2019, operasi serantau diperkukuhkan oleh kalangan keluarga yang kagum dengan kualiti serta keselesaan koleksi pakaian kami.

Disebabkan faktor cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun, pengguna di negara ini menggemari koleksi utama kami seperti baju polo, seluar pendek serta baju T grafik UT namun rekaan untuk musim luruh/sejuk seperti baju flanel, Ultra Light Down dan blaus rayon juga mendapat sambutan hangat.

Dengan kepelbagaian budaya yang ada, pengguna di Malaysia juga lebih terbuka terhadap rekaan pakaian mahupun gaya dan ia tidak terhad kepada pengaruh dari Jepun atau Barat sahaja.

Justeru, kami menyediakan koleksi pakaian yang memenuhi minat dan cita rasa pelbagai lapisan masyarakat daripada koleksi Hana Tajima untuk fashionista sederhana hingga UT yang menampilkan karya manga Jepun dan artis tempatan seperti Bendang Artisan.

KOLABORASI bersama ikon fesyen terkenal Perancis, Ines menghasilkan koleksi yang sentiasa dinanti peminat setianya.
KOLABORASI bersama ikon fesyen terkenal Perancis, Ines menghasilkan koleksi yang sentiasa dinanti peminat setianya.

S3: Apa yang membezakan pasaran Malaysia dan negara luar?

J3: Secara amnya, pengguna di Malaysia menikmati persekitaran membeli-belah di rangkaian kedai UNIQLO dan mereka juga menghargai produk kami yang disifatkan berguna dan harga berpatutan.

Pengguna di negara ini juga melihat koleksi pakaian kami sebagai pakaian penting mereka.

S4: Adakah terdapat perancangan untuk membuka kedai baharu di Malaysia tahun ini atau tahun hadapan?

J4: Ya, kami baharu sahaja membuka rangkaian terbaharu di AEON Bukit Tinggi, Klang selain meluaskan lagi kedai sedia ada di pusat beli-belah Sunway Pyramid dan AEON Mall di Shah Alam serta Queensbay Mall, Pulau Pinang.

Kami teruja dengan peluang yang ada di Malaysia dan menanti peluang seterusnya untuk berkongsi berita berkenaan.

S5: Kami difahamkan anda begitu meminati LifeWear, boleh ceritakan mengenainya dan mengapa anda yakin ia mampu memenuhi keperluan kehidupan seharian rakyat Malaysia?

J5: LifeWear adalah pakaian yang direka untuk menjadikan kehidupan seseorang itu lebih baik menerusi kehebatan rekaannya.

Ia adalah pakaian seharian berkualiti tinggi dengan keindahan perincian praktikal bagi memenuhi keperluan gaya hidup yang sentiasa berkembang.

Teknologi pakaian canggih juga adalah sebahagian daripada LifeWear.

Untuk pelanggan kami yang berada di kawasan tropika seperti Malaysia misalnya, mereka bukan sahaja memerlukan pakaian yang selesa malah melindungi dari panas, sinar UV dan juga kelembapan.

Untuk itu, inovasi material yang kami gunakan dalam setiap rekaan, membantu menjadikan kehidupan mereka lebih baik.

Sebagai contoh, AIRISM yang dapat melepaskan haba, menyejukkan badan selain menghilangkan kelembapan dan peluh digunakan dalam pakaian dalam, pakaian luaran, pelitup hidung dan mulut serta cadar.

Teknologi DRY-EX pula bukan sahaja cepat kering malah turut berfungsi sebagai anti mikrob serta anti bau, ia sesuai untuk aktiviti sukan dan banyak digunakan dalam koleksi pakaian sukan kami.

UV Cut pula secara umumnya membantu menghalang 40 peratus sinaran UV daripada matahari dan ia juga banyak digunakan dalam koleksi pakaian UNIQLO.

Dalam pada itu, jika pengguna di negara ini berkunjung ke destinasi yang cuacanya lebih sejuk, koleksi HEATTECH yang membantu mengekalkan kepanasan badan di sebalik lapisan nipis menjadi pilihan dan teknologi BLOCKTECH yang digunakan turut membantu pengguna kekal selesa selain menghalang air atau angin sejuk.

HIMPUNAN menarik JW Anderson untuk penggemar setia UNIQLO.
HIMPUNAN menarik JW Anderson untuk penggemar setia UNIQLO.

S6: Bagaimana pula penerimaan pasaran Malaysia terhadap koleksi terbaharu UT?

J6: Selaras dengan prinsip LifeWear, UT adalah baju T yang ringkas dan penting dalam almari setiap orang, ia menyerlahkan lagi ekspresi pemakainya.

Konsep UT dirancang pada tahun 2007 ketika kami menukar baju T ringkas kepada kanvas untuk menyampaikan mesej.

Secara beransur-ansur konsep itu berkembang dan kini ia menjadi persilangan budaya antara fesyen, seni, muzik serta pelbagai ekspresi lain.

Hari ini, terdapat lebih 1,000 rekaan UT untuk dipilih dan setiap tahun kami mempunyai banyak kolaborasi luar biasa dengan jenama dan artis pelbagai genre, ia sememangnya sentiasa dinantikan oleh pelanggan setia.

S7: Berapa banyak pereka yang sudah bekerjasama dengan UNIQLO untuk koleksi wanita dan lelaki?

J7: Untuk musim bunga/panas dan musim luruh atau sejuk tahun ini, kami bekerjasama dengan label fesyen Britain, JW Anderson serta ikon gaya Perancis yang juga Pengarah Seni, Ines De La Fressange dan Pereka Britain - Jepun, Hana Tajima.

Dari gaya klasik Britain, Perancis hingga kepada keselesaan untuk fashionista, pereka berkenaan menawarkan pelbagai rekaan menarik untuk pelanggan di Malaysia.

Selain itu, kami juga mempunyai perabot rumah, tekstil dan jenama fesyen terkenal Finland, Marimekko bagi memberi rekaan yang lebih berani untuk koleksi musim bunga/panas kali ini.

Semua kolaborasi itu kebanyakannya memberi tumpuan kepada pakaian wanita manakala koleksi JW Anderson menyediakan rekaan untuk lelaki dan wanita.

Penutup tahun ini, kami akan melancarkan koleksi J+ iaitu himpunan minimalis hasil kolaborasi dengan pereka yang tidak asing lagi, Jil Sanders.

KOLEKSI pakaian dalam AIRism yang cukup selesa daripada UNIQLO.
KOLEKSI pakaian dalam AIRism yang cukup selesa daripada UNIQLO.

S8: Koleksi Hana Tajima mendapat sambutan hangat daripada pengguna, sudah berapa lamakah kerjasama UNIQLO dengan beliau dan adakah ia akan berterusan pada masa akan datang?

J8: Kerjasama kami dengan Hana Tajima bermula pada 2015 dan koleksi pertamamya dikeluarkan di negara Asia Tenggara sahaja termasuk Malaysia.

Sejak itu, kolaborasi kami berterusan setiap tahun dan koleksi yang dihasilkan diedarkan ke pasaran terpilih di luar Asia Tenggara termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK).

S9: Seluruh dunia kini berdepan dengan pandemik Covid-19 dan sejauh mana ia menjejaskan perniagaan UNIQLO di peringkat tempatan dan global? Adakah ada penurunan yang ketara dari segi jualan dan apakah matlamat serta harapan UNIQLO Malaysia pada masa hadapan?

J9: Di saat rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan norma baharu pandemik global, kami di UNIQLO yakin dengan konsep dan penawaran rangkaian LifeWear terus relevan untuk mereka.

Norma baharu itu adalah mengenai bagaimana kita mengubah cara menjalani kehidupan sama ada di dalam pekerjaan, berehat atau bermain.

Seperti biasa, fokus utama kami adalah untuk menyediakan LifeWear yang bukan sahaja dapat menyokong rakyat Malaysia malah membantu memenuhi keperluan harian mereka.

Namun, walaupun 2020 adalah tahun yang mencabar bagi semua namun kami tetap optimis dan positif terhadap masa depan khususnya di Malaysia.

Tahun ini juga genap 10 tahun UNIQLO berada di Malaysia dan kami menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pelanggan serta peminat setia.

S10: Bagaimana jenama ini mengadaptasi kepada norma baharu dan adakah sebarang peraturan tertentu yang dipraktikkan kakitangan mahupun pelanggan di kedai bagi mengekang penularan Covid-19?

J10: Keselamatan dan kesihatan kakitangan serta pelanggan sememangnya sentiasa menjadi keutamaan kami.

Untuk kakitangan, pihak pengurusan sentiasa memantau suhu badan kakitangan setiap hari manakala syarikat turut menyediakan pelitup hidung dan mulut serta pembasmi kuman untuk mereka gunakan sama ada di kedai mahupun di bilik kakitangan.

Selain itu, pemantauan penjarakan fizikal turut dilakukan termasuk di bilik kakitangan.

Semua rangkaian UNIQLO juga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan persekitaran membeli-belah yang selamat dan menyenangkan bagi pelanggan pada setiap masa.

Ia termasuklah mengehadkan jumlah pelanggan yang dibenarkan memasuki kedai pada sesuatu masa, pembersihan dan menyahkuman seluruh kedai secara berkala, menyediakan pembasmi kuman, memeriksa suhu badan serta ruang yang mencukupi untuk penjarakan fizikal.

Bilik mencuba pakaian juga beroperasi dengan beberapa langkah pencegahan antaranya pelanggan perlu memakai pelitup hidung dan mulut setiap masa sepanjang berada di dalam kedai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 7:00 AM