HANA Tajima tampil dengan koleksi busana Muslimah
HANA Tajima tampil dengan koleksi busana Muslimah
PENYANYI Yuna anggun dalam persalinan menarik daripada koleksi ini.
PENYANYI Yuna anggun dalam persalinan menarik daripada koleksi ini.
KOLABORASI Uniqlo X Hana Tajima mempersembahkan helaian sopan, longgar dan selesa.
KOLABORASI Uniqlo X Hana Tajima mempersembahkan helaian sopan, longgar dan selesa.
UNIQLO dan Hana Tajima cuba lari daripada pandangan tipikal mengenai pakaian sopan.
UNIQLO dan Hana Tajima cuba lari daripada pandangan tipikal mengenai pakaian sopan.
PENYANYI Elizabeth Tan (kiri) santun menggayakan busana daripada koleksi Uniqlo X Hana Tajima ini.
PENYANYI Elizabeth Tan (kiri) santun menggayakan busana daripada koleksi Uniqlo X Hana Tajima ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Fesyen tidak hanya tertumpu kepada pakaian atau aksesori digayakan mahupun jenama yang diketengahkan.

Fesyen itu juga sebenarnya banyak berkisar kepada keselesaan dan kesesuaian cara menggayakan satu-satu busana itu yang perlu diberi perhatian terutama bagi golongan berhijab.

Secara keseluruhannya, perkembangan fesyen bertudung kini mengalami perubahan ketara dan radikal. Daripada bentuk segi empat sama satu ketika dulu hinggalah kepada bentuk tiga segi, kemudian beralih kepada selendang juga ada yang disarungkan terus tanpa perlu diikat atau bersusah payah menggunakan pin.

Sejak kebelakangan ini juga artis tempatan atau pereka muda luar negara memainkan peranan tersendiri dalam mengetengahkan bentuk pemakaian tudung terutama membabitkan penggunaan selendang dengan bentuk lilitan berbeza bagi menampilkan gaya lebih moden.

Penangan pemakaian selendang Yuna atau cara lilitan diketengahkan pereka versatil, Hana Tajima, berjaya menarik wanita terutama remaja menjadikan fesyen bertudung lebih eksentrik untuk digayakan.

Hana Tajima sendiri diangkat sebagai ikon gaya wanita berhijab dan tidak hairanlah pereka dari United Kingdom itu menjadi inspirasi dalam kalangan pereka muda.

Justeru kolaborasi Uniqlo bersama pereka terbabit hadir tepat pada waktunya di saat pesatnya peminat dan permintaan ke atas fesyen Muslimah ini.

Kolaborasi yang dikenali sebagai Uniqlo X Hana Tajima ini mempersembahkan helaian sopan dan longgar yang diinspirasikan daripada nilai tradisi kedua-dua label fesyen terbabit.

Selesa, pelbagai fungsi dan penuh gaya tidak ketinggalan menjadi inti patinya yang turut mengangkat falsafah Lifewear yang ditonjolkan Uniqlo sejak beberapa musim lalu.

Antara helaian tumpuan dalam kolaborasi Uniqlo X Hana Tajima ini ialah tudung, celana jean potongan longgar, blaus rayon dan gaun labuh, selain skaf serta anak tudung AIRism.

Malaysia tampil selaku pasaran pertama yang akan mengetengahkan koleksi ini pada 3 Julai depan, disusuli Singapura, Indonesia dan Thailand.

Menerusi wawancara e-mel bersama Hana Tajima, minggu lalu, ikuti lebih lanjut mengenai idea dan pengalamannya bekerjasama dengan Uniqlo untuk projek istimewa ini.

SOALAN (S): Ceritakan lebih lanjut mengenai kolaborasi anda bersama Uniqlo dan apa yang membuatkan anda tertarik untuk bekerjasama dengan jenama itu?

JAWAPAN (J): Uniqlo amat dikenali dengan pakaian yang pelbagai fungsi dan versatil. Mereka berupaya mencipta helaian yang bukan saja menarik dan mampu milik tetapi koleksi istimewa yang jarang ada dalam industri ini.

Uniqlo cuba membawa jenamanya kepada khalayak baru, justeru mereka berusaha memahami kehidupan dan keperluan golongan ini.

Nilai estetika dan falsafah kami nyata sejajar malah ia hadir secara semula jadi bagi kami untuk bekerja bersama-sama menerusi koleksi busana sopan yang cantik dan selesa ini.

S: Bagaimana falsafah LifeWear Uniqlo sejajar dengan tafsiran anda mengenai stail dan fesyen?

J: Saya benar-benar mahu meneroka konsep LifeWear yang diketengahkan Uniqlo ini dan bagaimana ia boleh ditafsirkan dengan rekaan pakaian sopan.

Saya sentiasa mulakan dengan meletakkan perasaan atau emosi apabila busana disarungkan ke tubuh dan perasaan itu kemudiannya diterjemahkan kepada sesuatu yang lebih visual.

Ideanya banyak bermain dengan garisan lembut dan potongan longgar, yang mana menjadi asas kepada penggayaan sopan.

Fokus kami adalah untuk menghasilkan koleksi yang boleh dipakai dan digayakan wanita dalam apa jua cara bagi menepati kehidupannya.

Ia memberikan wanita asas untuk mengekspresi diri dan pada masa sama membenarkan mereka memilih untuk tampil bergaya sopan.

S: Bagaimana kolaborasi ini dilihat berbeza daripada koleksi anda yang lain?

J: Koleksi saya bersama Maysaa menggabungkan aspek sopan dan gaya arus perdana yang seterusnya diterjemahkan kepada sesuatu yang baru tetapi masih ‘familiar’.

Untuk koleksi Uniqlo ini, saya berhasrat mewujudkan koleksi yang bermula tanpa sebarang pandangan tipikal mengenai pakaian sopan.

Sebaliknya, dengan dengan menggabungkan perasan dan fungsi pakaian itu dengan cara yang mudah, ia memberi kami sesuatu yang segar dan menarik.

S: Ceritakan lebih lanjut mengenai proses kreatif membabitkan koleksi ini terutama pada rekaan skaf dan anak tudung AIRism.

J: Benih ideanya hadir dalam pelbagai bentuk dan cara. Selalunya perincian atau cara potongannya muncul ketika saya bermimpi.

Saya tidak terus melakarnya pada kertas tetapi membiarkan idea itu berkumpul di fikiran. Jika saya terlupa mengenainya bermakna rekaan itu tidak sesuai tetapi jika saya obses dengannya, asyik memikirkan perubahan pada rekaan dan setiap jahitan serta perincian, barulah saya lakukan proses seterusnya.

Mengenai rekaan skaf dan anak tudung AIRism itu, ia lebih kepada menjadikannya helaian yang selesa serta praktikal.

Mengetepikan semua pengikat atau kancing adalah langkah pertama dan membuatkannya sesuai dengan fabrik AIRism yang lembut serta melekap selesa seperti kulit kedua.

S: Koleksi Uniqlo X Hana Tajima ini hadir tepat pada masanya ketika Ramadan. Jadi adalah ia koleksi terhad untuk musim ini atau boleh didapati sepanjang tahun (ada pada setiap musim)?

J: Akan muncul koleksi baru untuk musim luruh dan dingin tahun ini. Untuk musim seterusnya, saya harap dapat berkolaborasi lagi dengan Uniqlo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 10:48 AM