RUMAH dua tingkat menjadi pilihan Zulaikha dan suami.
RUMAH dua tingkat menjadi pilihan Zulaikha dan suami.
Hafiz Ithnin


Bagi mereka yang ingin membeli rumah pertama pastinya rasa teruja kerana bakal mempunyai aset peribadi yang mungkin boleh menjadi pelaburan pada jangka panjang.

Namun, memiliki rumah bukan sesuatu perkara mudah secara dasarnya kerana setiap pembeli perlu mempunyai ilmu bagi memastikan hartanah itu tidak memberikan masalah pada masa depan.

Kajian mengenai pemaju dan kualiti rumah yang pernah dibangunkan pemaju antara perkara yang perlu diambil berat bagi mengelakkan pembeli kecewa selepas pembayaran dilakukan.

Bagi Zulaikha Zulkifli, perkara itu adalah amat tepat kerana membeli rumah adalah pelaburan untuk jangka panjang.

Malah, jelasnya komitmen kepada pihak bank juga bukan tempoh pendek untuk melangsaikan pembiayaan yang sudah diluluskan.

Beliau yang memiliki rumah pertama pada 2019 mengakui kajian mengenai latar belakang pemaju dan prestasi projek yang pernah dibangunkan pemaju adalah perkara paling penting.

Zulaikha memiliki rumah pertama yang dibeli pada harga sekitar RM700,000 hasil perkongsian bersama suami pada awalnya melakukan kajian kira-kira enam bulan sebelum memuktamadkan pembelian rumah pertama mereka.

"Sebagai pembeli kita tidak boleh hanya teruja apabila melihat rumah contoh yang dibangunkan pemaju kerana kadangkala kita akan leka dengan kecantikan kediaman contoh itu dan terus memuktamadkan untuk membelinya. "Saya dan suami selepas mengunjungi rumah contoh, kami melakukan carian di laman web terutama dalam forum perbincangan mengenai pemaju hartanah dan projek yang pernah dibangunkan supaya tidak berlaku penyesalan selepas memilikinya," katanya.

Tambahnya, ramai pihak hanya memfokuskan kepada kemampuan dari segi kewangan, tetapi prestasi pemaju dalam sesuatu projek juga tidak seharusnya dipandang remeh.

"Terdapat beberapa projek yang kami ingin membeli, tetapi apabila membaca di forum mengenai prestasi rumah yang sudah dibangunkan ia agak memberi tekanan kepada pemilik dan perkara itu menjadikan niat kami terhenti untuk memilikinya.

"Walaupun pemaju dalam kategori pemain industri terkenal, kita sebagai pembeli tidak boleh hanya 'berkiblatkan' namanya walaupun masalah akan berlaku mungkin sedikit. Namun, jika berulang pasti membabitkan wang yang banyak untuk dibelanjakan," katanya.

Meskipun sudah mendapat kunci pada 2019, Zulaikha dan suami tidak berhasrat untuk mendiami kediaman itu kerana melihat rumah pertamanya itu mempunyai potensi besar sebagai aset pelaburan.

Sejak memiliki kediaman itu, mereka menyewakan rumah berkenaan pada RM1,600 sebulan. Walaupun perlu menambah sedikit wang daripada poket sendiri untuk pembiayaan kepada pihak bank, tetapi pada masa depan ia menguntungkan.

Katanya, rumah yang dimiliki mempunyai reka bentuk yang sesuai dengan cita rasa mereka iaitu walaupun dalam segmen teres dua tingkat, ruang tamu dan dapur tidak mempunyai pemisah.

"Rumah ini mempunyai empat bilik dan setiap satu dilengkapi bilik air peribadi. Di bawah pula terdapat bilik stor.

"Selain itu, di bahagian atas pula terdapat ruang tamu yang memberi privasi kepada keluarga jika ada tetamu. Sekurang-kurangnya anak-anak boleh bersantai di ruang berkenaan," katanya.

Zulaikha berkata, reka bentuk rumah juga adalah elemen yang penting kerana ia boleh dijual dengan mudah pada masa depan.

"Saya membeli rumah ini adalah untuk pelaburan iaitu disewakan atau mungkin dijual. Jadi, ruang dan ciri-ciri seperti bilik yang banyak boleh menarik perhatian bakal pembeli.

"Selain itu, saya juga melakukan sedikit tinjauan mengenai trend pembeli rumah pada masa kini gemarkan sesuatu yang ringkas dan membolehkan kediaman mereka kelihatan luas.

"Justeru, tiada penghadang antara dapur dan ruang tamu menjadikan ia mempunyai elemen yang mungkin diinginkan pembeli pada masa depan," katanya.

Selain itu, dia dan suami juga melakukan tinjauan mengenai potensi pembangunan projek komersial melengkapkan kawasan kejiranan rumahnya yang terletak di Dengkil, Selangor itu.

Katanya, pembangunan komersial seperti lot kedai, jalan raya yang mudah diakses dan kemudahan awam lain amat membantu dalam menaikkan harga pasaran rumah pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 7:00 AM