RUMAH jenis apartmen sebagai kediaman kedua milik Amirah.
RUMAH jenis apartmen sebagai kediaman kedua milik Amirah.
Hafiz Ithnin


BAGI wanita berusia 32 tahun ini, tidak mengapa jika memiliki kereta kecil dengan bayaran bulanan yang rendah kerana ia adalah aset yang susut nilai.

Menjadi keutamaannya, adalah kediaman yang dilihat sebagai aset yang mempunyai nilai pasaran lebih berbaloi jika bijak merancang strateginya.

Bagi Nurul Siti Amirah Idris, rumah pertama yang dibelinya pada 2012 dengan harga RM260,000 dan sudah dijual lima tahun kemudian pada harga RM330,000.

Katanya, ketika membeli rumah pertama jenis berkembar setingkat di Sungai Petani, Kedah itu, dia melihat lokasi memainkan peranan penting bagi memastikan nilai jualan kediaman itu dalam keadaan baik pada masa depan.

"Ternyata selepas lima tahun, jualannya mencatat keuntungan kerana lokasi dan jenis rumah mendapat permintaan pembeli rumah sekunder.

"Selain itu, saya juga mendapat pembeli yang mempunyai aliran tunai yang baik untuk membeli kediaman itu dan mengambil masa hanya empat bulan sahaja memuktamadkan proses jual beli," katanya.

Jelasnya, hasil jualan kediaman pertama itu, dia menjadikan modal untuk membeli kediaman kedua yang bernilai RM200,000 jenis apartmen di pinggir ibu negara pada 2019.

Katanya, pembelian kediaman kedua juga amat penting melihat kepada lokasi strategik kerana ia mungkin menjadi pelaburan pada masa depan.

RUMAH berkembar setingkat di Sungai Petani dibeli pada 2012.
RUMAH berkembar setingkat di Sungai Petani dibeli pada 2012.

RUMAH pertamanya yang lengkap dengan kabinet dapur.
RUMAH pertamanya yang lengkap dengan kabinet dapur.

"Bagi kediaman kedua ini, saya melakukan sedikit pengubahsuaian terutama ruangan dapur untuk menaikkan nilai tambah apabila ingin disewakan atau dijual pada masa depan.

"Menariknya, mengenai hartanah kedua saya ini, ia terletak di kawasan yang khas untuk kediaman dan tidak banyak jenis komersial. Jadi kemudahan untuk penduduk juga pesat dibangunkan," katanya.

Katanya, lokasi memainkan peranan penting untuk memudahkan urusan penjualan atau sewa pada masa depan memandangkan faktor itu menjadi tarikan kepada bakal pembeli atau penyewa.

"Apabila lokasi kediaman yang dibeli dilengkapi dengan akses jalan raya lebih mudah untuk ke ibu negara, sekolah dan klinik sekali gus menjadi daya tarikan.

"Pada hemat saya, apabila membeli kediaman kerana faktor gaya hidup semata-mata seperti tidak mesra penduduk, ia sukar untuk dijadikan aset pelaburan," katanya.

Nurul Siti Amirah berkata, kediaman keduanya bersaiz sekitar 900 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air itu dilihat sesuai untuk mereka yang sudah berkeluarga.

"Apabila saya membeli rumah perkara yang paling menjadi keutamaan ialah mengenai kemampuannya untuk disewakan atau dijual semula kerana saya mempunyai perancangan untuk tinggal di kediaman jenis teres pada masa depan di kawasan berhampiran atau terletak di ibu negara.

"Jadi, dengan menjual atau menyewakan kediaman sedia ada ini, ia membantu untuk dijadikan modal sekurang-kurangnya wang pendahuluan sebanyak 10 peratus," katanya.

Katanya, dia melihat pembelian kediaman satu aktiviti pelaburan yang amat berbaloi berbanding membeli sesuatu aset berbentuk liabiliti.

MEMASANG kabinet untuk menjadikan kediamannya mempunyai nilai tambah.
MEMASANG kabinet untuk menjadikan kediamannya mempunyai nilai tambah.

AMIRAH dan suami membeli kediaman kedua bersama.
AMIRAH dan suami membeli kediaman kedua bersama.

"Jika kita membeli kereta yang mahal sekali pun, dalam beberapa bulan sahaja harganya akan turun berbanding kediaman, harganya meningkat.

"Walaupun pada satu-satu masa, harganya boleh turun seperti dalam situasi pandemik Covid-19 ini, tetapi kemuncupannya tidak begitu ketara. Disebabkan itu, kediaman ini dilihat sebagai aset pelaburan jangka masa panjang," katanya.

Jelasnya lagi, dia juga banyak membuat penelitian sebelum membeli kediaman dan membuat persediaan awal sekurang-kurangnya enam bulan.

"Perkara ini penting untuk saya melihat faktor kedudukan strategik, pengurusan aliran tunai peribadi dan membuat pengiraan komitmen selepas pembelian," katanya.

Katanya, bagi mereka yang tinggal bekerja di ibu negara, boleh membeli kediaman dengan komitmen bulanan yang hampir sama dengan kadar sewaan.

"Paling penting kita perlu sentiasa mencari peluang kerana ketika ini terutama dalam pandemik Covid-19 banyak kediaman yang dijual dengan harga yang lebih rendah terutama rumah sekunder.

"Bagi rumah baharu pula, pihak pemaju menawarkan dengan pelbagai pakej potongan harga yang baik bagi membantu pembeli mudah mendapatkan kediaman yang diinginkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 7:00 AM