MEMPUNYAI balkoni bagi ruang kondominium.
MEMPUNYAI balkoni bagi ruang kondominium.
Hafiz Ithnin

 

Ketika dia mendapat dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) sedikit pun tidak digunakan.

Malah, langkah berjimat cermat menjadi amalan wanita berusia 34 tahun ini untuk mengumpul aset dan bukan liabaliti.

Pada masa sama, dia juga sentiasa peka dengan situasi pasaran hartanah semasa dan tidak jemu membuat tinjauan bagi memastikan aset hartanah yang dibeli mampu memberi pulangan.

Paling penting tidak perlu mengeluarkan wang tambahan peribadi setiap bulan bagi bayaran ansuran bulanan kepada pihak bank.

Ternyata, Farhana Poniman menyedari pemilikan hartanah berkualiti adalah pelaburan menguntungkan jika bijak mengatur strategi. Apatah lagi, produk hartanah itu mampu mendapat permintaan tinggi bersandarkan pelbagai faktor.

Baru-baru ini, ibu kepada tiga cahaya mata itu baharu sahaja mendapat kunci kediaman kedua yang mula memuktamadkan pembelian sejak 2017.

Meskipun projek pembinaan kediaman kedua itu lambat disiapkan dan mengambil masa yang lama, Farhana sabar menanti kerana mengetahui pulangan yang akan diterima pada masa depan.

Bercerita kepada penulis, Farhana berkata, dia membeli rumah pertama pada usia 25 tahun iaitu sebuah kediaman sekunder dalam segmen apartmen terletak di Setiawangsa yang dibeli pada RM285,000 pada 2014.

"Selepas membeli rumah pertama, saya melihat permintaan hartanah untuk disewakan di kawasan Setiawangsa sememangnya mendapat sambutan kerana apabila diiklankan, ia tidak mengambil masa lama untuk mendapat penyewa baharu.

"Kedudukan strategik kediaman menjadi perkara penting untuk mendapatkan bakal penyewa. Saya menyewakan kediaman pertama itu pada harga RM1,300 dan sekadar menambah sedikit untuk melunaskan ansuran bulanan kepada pihak bank.

RUANG tamu untuk kondominium yang sesuai untuk keluarga kecil.
RUANG tamu untuk kondominium yang sesuai untuk keluarga kecil.

RUANG tamu untuk ruang kondominium yang mempunyai dua bilik dan dua bilik air.
RUANG tamu untuk ruang kondominium yang mempunyai dua bilik dan dua bilik air.

"Jadi secara tidak langsung saya mendapat pendapatan pasif hasil pembelian kediaman berkenaan," katanya.

Pada awalnya Farhana tinggal di kediaman pertama yang dibelinya. Namun, selepas empat tahun dia mengikut suaminya ke Pulau Pinang kerana bertugas sebagai pensyarah dan dia mula menyewakan kediaman itu.

Empat tahun kemudian, usai membeli kediaman pertama Farhana mendapat tahu terdapat sebuah projek kondominium yang bakal dibangunkan pemaju ternama di kawasan berkenaan dan dia mula meninjau potensi aset itu untuk disewakan pada masa depan.

"Ketika itu, saya mendapat tahu pemaju ternama berkenaan bakal memulakan sebuah projek baharu di Setiawangsa dan di kawasan ini sebenarnya tidak banyak kediaman jenis kondominium.

"Selain itu, kedudukan projek kediaman itu adalah di kawasan yang begitu strategik iaitu dalam radius satu kilometer sudah mempunyai kawasan pembangunan komersial yang matang dan akses jalan raya yang mudah.

"Paling utama dalam radius itu juga mempunyai sistem pengangkutan awam seperti stesen transit aliran ringan (LRT) dan bakal dibangunkan juga Transit Aliran Massa (MRT). Jadi, saya melihat ia satu prospek pelaburan hartanah yang berbaloi untuk dimiliki," katanya.

Jelasnya, projek itu mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana pemaju berdepan dengan situasi cabaran pandemik Covid-19.

Malah dalam tempoh menunggu itu, Farhana tetap sabar untuk mendapatkan kediaman kedua walaupun sudah terdapat pembeli yang membatalkan pembelian.

"Bagi saya tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan membatalkan pembelian kerana kediaman yang dibeli ini pertamanya berkonsepkan 'dual key house' iaitu sebuah rumah mempunyai dua ruang yang masing-masing boleh dijadikan kediaman peribadi.

"Kediaman itu, bercirikan satu ruang dilengkapi dua bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan balkoni serta dapur. Manakala satu ruang berasingan mempunyai bilik yang bercirikan studio bersaiz 350 kaki persegi," katanya.

Katanya, pada awalnya membeli kediaman itu, dia bercadang untuk menghuni ruang keluarga yang dilengkapi dua bilik tidur itu dan bahagian studio untuk disewakan.

Memandangkan, kini dia masih mengikut suami berhijrah ke Pulau Pinang, dia memutuskan untuk menyewakan kedua-dua bahagian itu.

"Bagi meningkatkan nilai tambah sewaan, saya melengkapkan kediaman itu dengan perabot dan peralatan elektrik asas kepada penyewa dan tidak membuat pengubahsuaian kerana ia untuk disewakan. Bagi saya apabila dilengkapi dengan barangan keperluan asas seperti perabot, kadar sewaan menjadi lebih baik.

"Kini saya menyewakan ruang apartmen itu pada RM2,000 sebulan. Manakala, studio RM1,300 sebulan kepada bakal penyewa.

"Ternyata tinjauan saya secara peribadi mengenai permintaan di kawasan itu positif apabila ia mengambil masa yang singkat sahaja untuk mendapat penyewa. Jadi, saya tidak perlu membayar wang ansuran bulanan kepada pihak bank dari poket sendiri tetapi hasil sewaan. Malah, saya juga mendapat sedikit keuntungan," katanya.

Katanya, dia menggunakan strategi menyimpan dividen ASB untuk digunakan bagi membeli kediaman yang sememangnya memerlukan banyak perbelanjaan seperti wang tempahan dan membeli barangan keperluan lain.

"Saya memang mengamalkan simpanan sejak dari dahulu hasil pelaburan di ASB kerana pada saya daripada berbelanja sesuatu yang tidak nampak hasilnya ia sesuatu yang merugikan. Jadi, wang itu saya laburkan kepada aset yang mampu memberi pulangan jangka masa panjang.

"Selain itu, apabila mempunyai komitmen perumahan walaupun ansuran kepada bank dibayar oleh penyewa. Saya perlu mempunyai simpanan kecemasan sekiranya berlaku perkara di luar jangka. Jadi, saya juga tidak banyak membazir untuk aktiviti gaya hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 7:01 AM