REHDA mahu kerajaan terus beri rangsangan yang dapat memanfaatkan penggiat industri hartanah termasuk pembeli  ketika pandemik Covid-19.
REHDA mahu kerajaan terus beri rangsangan yang dapat memanfaatkan penggiat industri hartanah termasuk pembeli ketika pandemik Covid-19.
Nurul Husna Mahmud


PERSATUAN Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mahu kerajaan terus beri rangsangan yang dapat memanfaatkan penggiat industri hartanah termasuk pembeli dalam menangani krisis ekonomi ketika pandemik Covid-19.

Presiden Rehda, Datuk Soam Heng Choon berkata, pihaknya memahami implikasi buruk ekonomi termasuk penurunan permintaan dalam pasaran hartanah terkesan disebabkan situasi pengguna yang bertindak memberi keutamaan kepada keperluan asas terlebih dahulu.

“Pandemik ini fenomena krisis luar biasa membabitkan pasaran global dan pastinya Malaysia yang selama ini mengamalkan dasar pelaburan terbuka turut sama menerima tempias.

“Mewakili majoriti pemaju menjalankan projek pembangunan hartanah, kami menzahirkan kebimbangan mengenai kurangnya pembeli hartanah.

“Ia disebabkan semua pihak mengambil langkah berhati-hati dalam tempoh kuarantin cukup panjang dengan mengelak pembelian bernilai besar atau komitmen. Kerisauan lain ialah institusi kewangan tidak lagi menyediakan pinjaman kepada pemaju untuk teruskan projek.

“Ini paling dikhuatiri 1,500 ahli berdaftar dan lebih ramai pemaju lain kerana mereka terpaksa menanggung risiko kerugian mahupun menghentikan perniagaan jika keadaan ekonomi tidak memberangsangkan, katanya.

Tidak menolak bebanan dirasai dalam kalangan pemaju yang sedang menjalankan projek apabila terpaksa menanggung risiko pembeli tidak mahu meneruskan urusan pembelian terhadap hartanah.

Justeru kelangsungan aliran tunai dalam negara iaitu bank terus menawarkan pembiayaan ansuran selain inisaitif iaitu moratorium dipanjangkan ke peringkat korporat.

Beliau berkata, langkah proaktif pihaknya termasuk mengusulkan cadangan kepada kerajaan sudah dilakukan dalam membantu penggiat industri, sekali gus pemaju terkesan.

“Dalam surat dihantar kepada perdana menteri baru-baru ini, kami menyertakan cadangan dapat membantu kelangsungan pasaran hartanah melihat bukan sahaja manfaat kepada pemaju, malah pembeli hartanah itu sendiri.

“Selain mengenai aliran tunai diharap berterusan daripada institusi kewangan, dua cadangan lagi iaitu salah satunya membantu pemaju sedia ada terus bernafas menerusi mengurang atau memansuhkan caj dan syarat tidak perlu dikenakan terhadap pemaju.

“Cadangan lain turut disuarakan kepada kerajaan supaya inisiatif seperti Kempen Pemilikan Rumah atau Home Ownership Campaign (HOC) dilaksanakan tahun lalu diteruskan untuk membantu mengurangkan beban pembeli.

“Tidak lupa isu seperti melanjutkan tempoh pembiayaan bagi rumah bawah RM500,000 daripada 35 tahun kepada 40 tahun disuarakan kerana memikirkan ia mampu mengurangkan komitmen pembeli hartanah setiap bulan ketika ini, katanya.

Dalam kesukaran, beliau turut melihat terdapat kebaikan daripada keadaan ini boleh dimanfaatkan mereka yang bercadang mencari pelaburan sesuai.

“Keadaan seperti permintaan berkurang, tetapi penawaran yang banyak menyebabkan adanya penurunan pada nilai hartanah ketika ini. Selain itu, faedah dikenakan bank juga rendah dan ini waktu sesuai buat mereka yang mempunyai lebihan simpanan untuk buat pelaburan dalam hartanah, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 6:30 AM