PEMAJU perlu pastikan keperluan golongan tertentu, bukan sekadar kaut untung.
PEMAJU perlu pastikan keperluan golongan tertentu, bukan sekadar kaut untung.
Nurul Husna Mahmud


Dalam pembangunan projek perumahan atau kediaman tertentu, pemaju masih merujuk kepada permintaan semasa dan jarang mengambil kira keperluan kelompok inklusif.

Atas faktor mahu optimumkan keuntungan dan kurangkan kos pembinaan menyebabkan projek kediaman berasaskan rekaan sejagat mengambil kira pelbagai kelompok termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas sebagai pembeli kediaman masih kurang popular.

Menurut Naib Canselor dan Dekan Fakulti Alambina Ukur & Hartanah, Kolej Universiti Geomatika Kuala Lumpur yang juga Mantan Dekan Fakulti Alam Bina Universiti Malaya, Profesor Sr Noor Rosly Hanif, pemaju biasanya membuat kajian pasaran terlebih dahulu.

Ia bertujuan mendapat gambaran golongan manakah yang memerlukan perumahan pada ketika itu termasuk cita rasa dan kemampuan mereka untuk membelinya.

Ketika ini jugalah pasaran dari golongan warga emas dan OKU tidak begitu menyerlah selain kebanyakan pemaju lebih berminat membina untuk pasaran golongan yang aktif atau sihat kerana permintaan bagi golongan ini besar.

"Kuasa membeli pengguna yang akan menentukan bentuk dan jenis rumah yang dibina pemaju. Dalam teori dan

keadaan pasaran yang sempurna beginilah proses yang diambil pemaju sebelum merancang dan membuat pembangunan hartanah.

KAWASAN awam iaitu parkir dan lif untuk golongan OKU dan warga emas contoh penawaran fasiliti inklusif.
KAWASAN awam iaitu parkir dan lif untuk golongan OKU dan warga emas contoh penawaran fasiliti inklusif.

"Bagaimanapun, terdapat segelintir pemaju yang terkenal yang mencadangkan konsep atau motif tertentu dalam pasaran dan mereka yang akan mempengaruhi pembeli untuk menyukainya dan kemudiannya menjadi ikutan pemaju lain.

"Berbanding mewujudkan kediaman memenuhi keperluan golongan terbabit, pemaju lebih memfokuskan pembangunan prasarana boleh diakses semua yang bersifat mesra golongan inklusif.

"Apatah lagi dalam mendapat kelulusan kebenaran perancang dan bangunan dari pihak berkuasa perancangan tempatan, pemaju terpaksa akur dalam memenuhi beberapa syarat ditetapkan pihak berkenaan bagi menyediakan keperluan khas golongan inklusif," katanya.

Tambah Noor Rosly, pemaju akan menyediakan atau mematuhi syarat keperluan prasarana untuk golongan itu seminima mungkin kerana kebiasaannya spesifikasi tambahan itu meningkatkan kos tambahan dan mengurangkan keuntungan

Prasarana itu meliputi penyediaan beberapa ruang tempat letak kereta OKU dengan keluasan yang lebih besar diwarnakan dengan biru serta dilengkapkan dengan papan tanda mengenainya, landasan (ramp) untuk memasuki bangunan, tempat berpaut atau pemegang sepanjang dinding untuk ke lif dan ruang menunggu, lif khas yang mesra OKU, tandas awam untuk OKU yang lebih besar serta mempunyai lengkapan khas di dalamnya dan lain-lain lagi yang syaratkan.

Dalam konteks hartanah sebenar bagi memenuhi keperluan inklusif atau ciri-ciri kediaman sejagat, Noor Rosly melihat faktor akses, mobiliti dan kemudahan asas serta sokongan untuk OKU dalam keseluruhan projek pembangunan hartanah itu secara amnya dan kepada mobiliti dan keperluan khas dalam unit kediaman yang akan didiaminya.

GREEN Acres di Ipoh antara contoh projek pembangunan untuk persaraan.
GREEN Acres di Ipoh antara contoh projek pembangunan untuk persaraan.

"Ciri-ciri penting rekaan sejagat ialah susun atur keseluruhan pembangunan projek perumahan terbabit hendaklah mengambil kira kebolehan OKU untuk bermasyarakat dan menjalankan aktiviti mereka tanpa halangan.

"Bagi unit kediaman pula mempunyai semua kemudahan asas diperlukan yang boleh dikendalikan sendiri oleh golongan ini atau dengan bantuan yang minima daripada pihak lain. Begitu juga untuk warga emas yang aktif dan yang memerlukan bantuan.

"Namun begitu kini sudah tampak ada

penawaran untuk rumah persaraan banyak terdapat dalam pasaran yang menyasarkan pembeli dari golongan T20 dan M40 yang berpendapatan tinggi. Ini adalah kerana kajian pasaran menunjukkan golongan ini mempunyai lebihan pendapatan untuk dibelanjakan bagi persediaan untuk persaraan kelak walaupun pada ketika ini belum lagi tergolong dalam kategori warga emas," katanya.

Tambah Noor Rosly, akta berkaitan dalam memperkasakan penawaran hartanah sesuai untuk dimiliki golongan terbabit pula tidak memfokuskan kepada unit individu sebaliknya lebih kepada ruang awam.

Sudut positif boleh dilihat ialah pemaju yang menawarkan kemudahan itu lebih kepada memberi nilai tambah kepada hartanah selain sebagai gimik jualan untuk menarik pembeli OKU berpotensi.

RUMAH sedia ada lebih memfokuskan golongan B40 dan M20.
RUMAH sedia ada lebih memfokuskan golongan B40 dan M20.

"Akta OKU di luluskan di Parlimen pada tahun 2008. Oleh yang demikian, semua pembangunan yang dibuat mulai tahun 2010 memenuhi syarat keperluan minima untuk warga emas atau OKU di kawsan yang terbuka untuk akses awam.

"Di bawah seksyen 26(1) Akta terbabit menghendaki supaya OKU berhak untuk akses kepada kemudahan awam, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awam yang disediakan untuk orang ramai. Seksyen 26(2) memperuntukan kerajaan dan sesiapa sahaja yang menyediakan kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunan memastikan ia dilengkapkan keperluan serta menepati rekabentuk sejagat bagi membolehkan akses dan penggunaan oleh golongan inklusi ini.

"Justeru itu, Pihak Berkuasa Tempatan dengan kuasa di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dengan budi bicara boleh mengenakan syarat dan keperluan kemudahan untuk gologan ini dalam setiap perancangan dan pembangunan yang di jalankan. Peruntukan seksyen 34(A) di bawah Undang-undang Kecil Bangunan Seragam, 1984 mewajibkan semua bangunan yang boleh dikunjungi awam perlu menyediakan keperluan OKU di dalam dan luar bangunan yang mempunyai kemudahan awam,"katanya.

Melihat contoh terdekat dalam memahami pasaran hartanah terbabit ialah Jepun, Australia dan Korea Selatan. Negara berkenaan memiliki projek pembangunan hartanah untuk warga emas atau OKU di khaskan di kawasan atau blok bangunan tertentu dan terletak berhampiran kemudahan awam seperti hospital.

Meskipun sudah ada pemaju mulai merancang pembangunan ke arah itu, kata Noor Rosly, jumlah penawaran untuk pasaran itu masih kecil dan perlahan.

Contoh yang boleh orang ramai lihat adalah pembangunan untuk persaraan di Green Acres di Ipoh, Perak selain inisiatif institusi pengajian pondok atau wakaf seperti Baitul Maab DarulIzzah di Temerloh, Pahang.

KEMUDAHAN dalam kediaman perlu berada pada aras sesuai selain keluasan dalam kediaman mesra untuk kerusi roda antara contoh unit kediaman sejagat.
KEMUDAHAN dalam kediaman perlu berada pada aras sesuai selain keluasan dalam kediaman mesra untuk kerusi roda antara contoh unit kediaman sejagat.

"Jumlah warga emas semakin meningkat dengan jumlah populasi akan melebihi 14 peratus berusia lebih dari 65 tahun pada tahun 2044 dan

kita akan menjadi 'negara tua' (aged nation). Maka dasar perumahan negara hendaklah lebih jelas dan menjurus kepada perancangan menyediakan prasarana dan undang-undang berkaitan.

"Lebih banyak perumahan yang menyediakan servis lengkap bagi menyantuni warga emas atau bakal warga emas perlu disediakan dalam pasaran. Selain dari fizikal perumahan yang perlu mesra pengguna warga emas dan OKU yang mempunyai konsep rekaan sejagat, kemudahan servis sokongan seperti perubatan, jururawat, fisioterapi dan sebagainya juga perlu dirancang dan disediakan.

"Trend pembangunan perumahan ke arah itu sudah pun ada tetapi dilaksanakan secara individu atau kumpulan tanpa satu garis panduan atau kuatkuasa undang-undang yang jelas dan seragam. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak pemerintah," katanya.

PEMEGANG antara ciri penting
PEMEGANG antara ciri penting

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 6:31 AM