PEMANDANGAN Bangunan Dewan Undangan Negeri dari hotel penginapan. - FOTO Vimala Kasturi Verasamy
PEMANDANGAN Bangunan Dewan Undangan Negeri dari hotel penginapan. - FOTO Vimala Kasturi Verasamy
Vimala Kasturi Verasamy


Biarpun bukan kali pertama kerana pernah ke Sarawak iaitu di Bario sebelum ini atas urusan kerja, namun julung kali menjejakkan kaki ke daerah Kuching.

Sempena cuti sekolah baru-baru ini, penulis bersama keluarga memilih negeri itu sebagai lokasi pilihan untuk lebih peluang meneroka lokasi dan budaya menarik di sana.

Kami berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Malindo Air.

Bagaimanapun, perjalanan yang dijangka kira-kira satu jam 45 minit itu bertukar menjadi dua jam kerana terdapat gangguan isyarat sehinggalah juruterbang mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA). Ia adalah pengalaman pertama penulis.

Seperti dinyatakan petugas, situasi itu adalah normal kerana masih terdapat banyak kapal terbang yang belum selesai memuat naik penumpang atau kargo di lapangan terbang selain bagi memastikan landasan selamat untuk mendarat.

Tiba di Kuching, kami menyewa sebuah kereta bagi memudahkan pergerakan selama empat hari di sana dengan kos sekitar RM630 dan lokasi pertama ialah ke Carpenter Street di Chinatown.

Lokasi itu diberi nama 'carpenter' kerana pada zaman dahulu, sepanjang jalan itu terdapat banyak kedai tukang kayu sehingga kini masih kekal sama diwarisi sejak zaman-berzaman.

Selain itu, sepanjang laluan juga terdapat banyak kedai kopi dan makanan cina, bistro serta kafe.

Malah penulis juga sempat singgah di sebuah kedai kopi di situ bagi menikmati rasanya yang agak klasik dengan aroma segar.

PENULIS meraikan Bulan Kebangsaan di Sarawak. - FOTO Vimala Kasturi Verasamy
PENULIS meraikan Bulan Kebangsaan di Sarawak. - FOTO Vimala Kasturi Verasamy

KAMPUNG Budaya Sarawak. - FOTO Vimala Kasturi Verasamy
KAMPUNG Budaya Sarawak. - FOTO Vimala Kasturi Verasamy

Selesai menikmati pemandangan berlatarkan binaan kawasan kedai yang sudah lebih 200 tahun wujud di situ, penulis dan keluarga ke tempat penginapan di Hotel Waterfront dan menikmati makan malam dengan hidangan makanan laut yang segar seperti udang, sotong dengan harga berpatutan serta lazat.

Usai makan malam, kami berjalan-jalan di Jambatan Darul Hana yang lebih dikenali sebagai Jambatan Waterfront yang juga antara tempat menarik dan ikonik di Kuching.

Darul Hana bermaksud tempat atau kawasan kediaman yang aman dan harmoni serta kebetulan penulis berkunjung pada Bulan Kebangsaan, maka jambatan dihiasi dengan lampu berwarna Jalur Gemilang.

Sistem pencahayaan itu membuatkan kawasan berkenaan lebih menarik berlatarkan Bangunan Dewan Undangan Negeri dan jambatan terbabit berfungsi untuk menghubungkan Kuching Utara dengan Kuching Selatan.

Penulis juga melihat masyarakat tempatan di Kuching gemar meluangkan masa dengan beriadah bersama keluarga di Jambatan Darul Hana itu serta kawasan Waterfront sepanjang satu kilometer di sepanjang tebing Sungai Sarawak sambil menikmati pemandangan dan mendengar lagu daripada pemuzik jalanan (busker).

Di sekitar kaki lima waterfront juga terdapat banyak kedai menjual cenderamata seperti kain batik Sarawak, baju, rantai manik Sarawak dan kuih jala pada harga yang berpatutan.

Perjalanan hari kedua diteruskan ke Kampung Budaya Sarawak yang terletak 40 minit dari Bandar Kuching.

Ia adalah muzium yang mempunyai rumah contoh setiap etnik di Sarawak seperti Melayu, Iban dan Melanau.

Pengunjung boleh mengenal dan mengetahui identiti serta pakaian setiap etnik di Sarawak dengan hanya mengunjungi Kampung Budaya Sarawak ini.

Selain itu terdapat pertunjukan atau persembahan budaya yang menakjubkan untuk disaksikan pengunjung.

PELBAGAI budaya dapat dipelajari. - FOTO Vimala Kasturi Verasamy
PELBAGAI budaya dapat dipelajari. - FOTO Vimala Kasturi Verasamy

PERSEMBAHAN kebudayaan untuk pengunjung. - FOTO Vimala Kasturi Verasamy
PERSEMBAHAN kebudayaan untuk pengunjung. - FOTO Vimala Kasturi Verasamy

Kami meluangkan masa di sini hampir empat jam. Selain budaya, pengunjung juga boleh mencuba untuk menikmati makanan tempatan mereka seperti buah dabai dan nasi goreng dabai, kek lapis Sarawak serta ais krim gula apong.

Malah penulis banyak mencuba makanan tempatan di sana dan rasanya sangat unik serta menarik.

Pada hari ketiga pula kami berkunjung ke Tugu Pahlawan Kuching dikenali sebagai Tugu Peringatan di belakang Muzium Sarawak.

Ia dibina pada 1993 untuk memperingati jasa pahlawan yang terkorban dalam peperangan membabitkan Sarawak.

Tempatnya sangat cantik dan suasananya tenang terutama untuk berjalan-jalan pada waktu petang selain turut dihiasi potret pahlawan seperti Datuk Merpati Jepang, Sharip Masahor, Pehin Orang Kaya Setia Raja Abang Manai, Rentap, Sawing, Liu Shan Bang, Datuk Patinggi Ali dan

Rosli Dhoby.

Pada hari ketiga itu juga penulis berpeluang mencuba restoran makanan segera tempatan Sarawak iaitu Sugar Bun yang ditubuhkan sejak 1979 dan memang terkenal dalam kalangan orang Borneo.

Kali pertama mencuba, rasanya yang lebih 'lokal' adalah satu momen yang tidak dapat dilupakan.

Hari keempat, kami bersiap-siap untuk pulang dan sepanjang di Kuching, kami berpeluang mempelajari pelbagai budaya, etnik, jenis makanan dan orang di Sarawak. Apa yang pasti ia antara satu percutian yang amat menarik!

Untuk pulang, kami menaiki pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia dan selamat mendarat di KLIA pada jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 7:00 AM