Mohd Roji Kawi


POLIS akan bertindak lebih tegas bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial bagi memutuskan penularan Covid-19 yang meningkat semula, khususnya di Sarawak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Pahlawan Mazlan Mansor berkata, tindakan tegas itu termasuk menangkap mereka yang ingkar, bukan lagi sekadar mengeluarkan kompaun.

Beliau berkata, perkembangan semasa penularan Covid-19 kini agak membimbangkan, justeru pihaknya kini tiada pilihan kecuali mengambil tindakan yang lebih tegas.

"Antara tujuan lawatan saya ke sini (Kuching) hari ini ialah untuk melihat sendiri pelaksanaan penugasan pasukan bertindak (task force) pemantauan dan pematuhan SOP penjarakan sosial yang ditetapkan kerajaan khususnya apabila kes meningkat semula ketika ini.

"Polis masih bersama dengan agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) melaksanakan pemantauan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, "katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara di Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Batu Kawa di Kuching, hari ini.

Seramai 10 pegawai dan 50 anggota PGA Sarawak menerima surat penghargaan itu susulan tindakan mereka menolak tawaran rasuah yang keseluruhannya berjumlah RM163,000 sepanjang tahun lalu hingga Julai tahun ini.

Turut hadir, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

Mazlan berkata, masyarakat seharusnya sedar akan risiko yang bakal dihadapi terutamanya apabila gelombang kedua Covid-19 melanda.

"Sebab itu polis akan bertindak lebih tegas kerana itu diharap akan memastikan rakyat tidak leka atau menganggap perkara ini remeh," katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Pahlawan Mazlan Mansor, mengadakan sidang media di Dewan Pahlawan  Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa, Kuching Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Pahlawan Mazlan Mansor, mengadakan sidang media di Dewan Pahlawan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa, Kuching Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 5:20 PM