KHEMAH pelarian untuk rakyat Syria hanya sebesar tujuh meter persegi.
KHEMAH pelarian untuk rakyat Syria hanya sebesar tujuh meter persegi.
Muhammad Saufi Hassan


SYRIA terus menangis. Biarpun sudah sedekad konflik berdarah melanda negara Timur Tengah itu, namun bagai tiada penghujungnya apabila siri serangan masih berlaku.

Serangan berkenaan kebanyakannya disasarkan di bandar yang berhampiran dengan wilayah kawalan kerajaan seperti di Idlib bersempadan dengan Aleppo.

Lebih daripada tiga juta rakyat Syria kini mendapatkan perlindungan di Turkiye sebagai pelarian selain menghuni khemah penempatan yang hanya keluasannya kurang tujuh meter persegi.

Itulah dapur, bilik tidur, ruang tamu dan tempat bermain. Khemah berukuran tujuh meter persegi itu 'syurga' buat pelarian Syria yang terlepas daripada konflik berdarah sejak setahun yang lalu.

Biarpun begitu, kebanyakan pelarian yang ditemui tetap menyatakan syukur kerana terlepas daripada zon peperangan yang lebih teruk daripada keadaan kem pelarian.

Keadaan serba daif mereka sangat menyayat hati terutama bagi keluarga yang mempunyai bilangan ahli yang ramai.

Mereka terpaksa berhimpit untuk tidur dan melakukan aktiviti di bawah khemah kecil berkenaan malah keadaan lebih mendesak ketika tengah hari dengan panas yang membahang.

Suhu musim panas di sekitar Wilayah Hatay mampu mencecah 38 darjah Celsius dan apa yang mampu dilakukan oleh pelarian Syria ini adalah keluar berteduh di bawah pokok di sekitar kem berkenaan.

PENULIS ketika berada di tengah bandar Idlib bersama beberapa sukarelawan yang lain.
PENULIS ketika berada di tengah bandar Idlib bersama beberapa sukarelawan yang lain.

Khemah kanvas itu 'syurga' buat mereka berbanding terpaksa berdepan dengan situasi tidak menentu dengan serangan bom daripada tentera rejim Bashar al-Assad selain tentera sekutu yang menyokong rejim terbabit.

Biarpun ada kalanya khemah sekecil itu sangat panas atau sangat sejuk khususnya ketika dua musim berkenaan, pelarian berkenaan tetap bersyukur kerana mampu lari daripada konflik berdarah terbabit.

Untuk rekod, angka korban sejak konflik tercetus sekitar 2013 mencecah 500,000 manakala hampir tujuh juta rakyat negara itu hilang tempat tinggal.

Berdasarkan rekod semasa, hampir enam juta rakyat Syria menjadi pelarian dan mendapatkan perlindungan di negara lain serta membina kehidupan baharu sekali gus melupakan Syria sebagai negara kelahiran.

Syria pada ketika ini terpecah kepada beberapa wilayah iaitu Damsyik, Aleppo, Homs, Deir Az-Zor, Palmyra dan beberapa wilayah lain di bawah pentadbiran rejim Bashar al-Assad atau sekutunya.

Untuk wilayah Idlib, ia ditadbir Hay'at Tahrir Al-Syam (HTS) atau pasukan tentera yang dilabel pemberontak oleh rejim Bashar.

Tambah merumitkan lagi keadaan, wilayah seperti Raqqa, Manbij, Jarablus dan beberapa kawasan lain di bawah penguasaan Kurdish.

SEBAHAGIAN kanak-kanak di Syria masih meneruskan aktiviti seharian seperti datang ke sekolah biarpun berdepan situasi tidak menentu.
SEBAHAGIAN kanak-kanak di Syria masih meneruskan aktiviti seharian seperti datang ke sekolah biarpun berdepan situasi tidak menentu.

Keadaan itu mencetuskan konflik sekurang-kurangnya enam penjuru sekali gus untuk mencari jalan damai dengan semua pihak setakat ini, hampir mustahil.

Akibat daripada konflik rumit berkenaan, yang menjadi mangsa adalah rakyat negara berkenaan apabila perlu berlindung di kawasan sempadan atau membina kehidupan baharu di negara tumpang.

Syria menghadapi konflik enam penjuru membabitkan Rusia, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa pecahan kumpulan pembebasan yang lain.

Setiap satu pihak yang terbabit dalam konflik berdarah ini mempunyai kepentingan yang tersendiri untuk memperluaskan pengaruh atau memanipulasi hasil bumi Syria.

Jika dilihat kepada pecahan wilayah kekuasaan, Syria dipecahkan kepada beberapa wilayah iaitu penguasaan di bawah pemerintahan Bashar al-Assad serta penyokongnya, wilayah seliaan Hay'at Tahrir al-Sham (HTS) dan wilayah yang tidak dipunyai oleh mana-mana pihak.

RAKYAT Syria masih memerlukan bantuan dan agihan dilaksanakan di kem pelarian yang terletak di bandar sempadan Turkiye iaitu Hatay.
RAKYAT Syria masih memerlukan bantuan dan agihan dilaksanakan di kem pelarian yang terletak di bandar sempadan Turkiye iaitu Hatay.

Wilayah yang tidak dipunyai mana-mana pihak seperti bandar yang terletak berhampiran dengan Homs dan masih berlaku pertempuran untuk perebutan tempat berkenaan.

Pada masa sama, konflik itu didominasi Rusia selaku sekutu rapat regim Bashar manakala peranan AS yang mahu mendominasi telaga minyak di negara ini.

Semua faktor berkenaan menjadikan Syria sebagai 'perang proksi' kuasa besar dan pihak yang menderita adalah rakyat negaranya itu sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 7:00 AM