BEBERAPA dekad lalu, antara negara Arab sering menjadi lokasi kunjungan pelancong adalah Syria kerana hasil kraftangan unik di samping negara berkenaan yang kaya dengan tapak sejarah.
Syria sememangnya negara 'tua' yang menyimpan 1001 sejarah, tempat unik dan hasil kraf yang cantik namun semua itu hanya tinggal memori saja selepas konflik berterusan yang melanda negara berkenaan sejak 2013 hingga kini.
Konflik berdarah berkenaan menjadikan negara terbabit sebagai lokasi paling tidak selamat dikunjungi khususnya bagi beberapa wilayah sering menjadi 'hotspot' pertempuran.
Penulis berpeluang mengunjungi negara berkenaan menerusi satu misi kemanusiaan anjuran Muslim Care Malaysia (MCM) dan berpeluang melihat sendiri negara berkenaan dengan mata kasar.
Bagi pengunjung luar yang ingin melancong ke negara berkenaan, ia bukan lagi satu lokasi popular selepas konflik tercetus, malah untuk masuk ke negara itu juga hampir mustahil!
Ada beberapa kaedah untuk masuk ke negara itu antaranya melalui pintu sempadan di Lubnan atau menerusi Turkiye.
Penulis masuk ke negara berkenaan menerusi Turkiye daripada pintu sempadan berhampiran bandar Reyhanli.
Untuk pintu sempadan ini, penulis melalui wilayah ditadbir pihak berkuasa Turkiye iaitu Afrin, sekali gus menjadikan ia antara 'safe haven' dan tidak berlaku serangan di kawasan ini.
Kemasukan menerusi pintu sempadan ini memerlukan permohonan permit dari pihak berkuasa Turkiye dan kebiasaannya tempoh masa diberi dua hari saja.
Syria pada ketika ini terpecah kepada beberapa wilayah iaitu Damsyik, Aleppo, Homs, Deir Az-Zor, Palmyra dan beberapa wilayah lain di bawah pentadbiran rejim Bashar al-Assad atau sekutunya.
Manakala untuk wilayah Idlib, ia ditadbir Hay'at Tahrir Al-Syam (HTS) atau pasukan tentera dilabel pemberontak oleh rejim Bashar.
Tambah merumitkan lagi keadaan, wilayah seperti Raqqa, Manbij, Jarablus dan beberapa kawasan lain di bawah penguasaan Kurdish.
Keadaan itu mencetuskan konflik sekurang-kurangnya enam penjuru, sekali gus untuk mencari jalan damai dengan semua pihak setakat ini, hampir mustahil.
Destinasi penulis adalah Wilayah Idlib yang diletakkan di bawah HTS iaitu satu kumpulan bertentangan dengan kerajaan regim Bashar al-Assad.
Wilayah Idlib ini menjadi lokasi hangat memandangkan ia bandar yang terletak berhampiran dengan kawasan kekuasaan tentera rejim, sekali gus menjadikan lokasi wilayah ini sebagai sasaran serangan udara tidak mengira masa serta tempat.
Sebenarnya, tiada tempat benar-benar dianggap selamat di wilayah berkenaan memandangkan pertempuran akan tetap berlaku cuma membezakan adalah skala pertempuran terbabit.
Syria dipengaruhi iklim Mediterranean dengan suasana malam yang lebih sejuk manakala siang merekodkan suhu yang tinggi.
Menyentuh aspek konflik yang melanda, angka korban sejak konflik tercetus sekitar 2013 mencecah 500,000 manakala hampir tujuh juta rakyat negara itu hilang tempat tinggal.
Berdasarkan rekod semasa, hampir enam juta rakyat Syria menjadi pelarian dan mendapatkan perlindungan di negara lain serta membina kehidupan baharu sekali gus melupakan Syria sebagai negara kelahiran.
Penulis masih mengharapkan konflik di Syria segera berakhir, sekali gus negara berkenaan dapat kembali menyerlahkan tapak sejarah serta keunikan kraftangan dimilikinya sebelum ini.