Surya Wijaya Ang bersama sebahagian koleksi jersi Lionel Messi yang dimilikinya. - FOTO AFP
Surya Wijaya Ang bersama sebahagian koleksi jersi Lionel Messi yang dimilikinya. - FOTO AFP
AFP

Jakarta: Hasrat seorang peminat untuk bertemu bintang bola sepak pujaannya, Lionel Messi yang dikatakan bakal beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Indonesia, hancur musnah selepas bintang bola sepak itu menarik diri.

Surya Wijaya Ang antara peminat Messi yang kecewa apabila bintang itu menarik diri daripada perlawanan di Jakarta.

Dia merancang melakukan perjalanan menaiki bot dan pesawat yang mengambil masa sehingga 12 jam namun berakhir kekecewaan.

"Saya berasa sedih dan kecewa dengan emosi bercampur baur.

"Ini adalah peluang terbaik untuk saya melihat Messi bermain di depan mata," kata Ang, pemilik kedai berusia 31 tahun, dari pulau terpencil Banda Neira di wilayah timur Maluku, kepada AFP.

Ang yang menjadi peminat tegar ketika bintang bola sepak itu bermain di Barcelona, sudah mengumpul koleksi sekitar 200 jersi yang dihiasi dengan nama Messi.

Dia juga merancang untuk menaiki bot ke bandar Ambon di timur Indonesia sebelum menaiki penerbangan empat jam ke Jakarta untuk menonton perlawanan itu.

Ang juga sudah menjual tujuh daripada koleksi jersinya untuk membayar tiket perlawanan berharga 1.2 juta rupiah (RM369).

Ia adalah tiket berharga yang mahal di negara berpendapatan sederhana rendah itu.

Walaupun harapan melihat Messi musnah, Ang berkata, dia akan pergi ke ibu negara untuk menonton perlawanan itu.

"Saya sudah sampai sejauh ini, jadi saya akan tetap pergi. Mungkin saya akan melihat Lionel Scaloni," katanya sambil tertawa.

Orang ramai sebelum ini berebut untuk membeli lebih 60,000 tiket untuk menyaksikan perlawanan antara Indonesia dan pemenang Piala Dunia, Argentina, Isnin ini selepas wajah Messi terpampang di iklan untuk perlawanan berkenaan.

Murni, peminat Lionel Messi mendukung cucunya, Muhammad Messi Pramudana di hadapan rumah mereka yang dicat dengan warna bendera Argentina dan dihiasi poster Messi di Desa Karama, Polewali Mandar. - FOTO AFP
Murni, peminat Lionel Messi mendukung cucunya, Muhammad Messi Pramudana di hadapan rumah mereka yang dicat dengan warna bendera Argentina dan dihiasi poster Messi di Desa Karama, Polewali Mandar. - FOTO AFP

Bagaimanapun, selepas beberapa hari spekulasi, peminat bola sepak menerima berita buruk, bahawa Messi tidak akan turun bermain.

Ketua jurulatih Scaloni mengesahkan Messi tidak akan menyertai jelajah Asia selepas pasukan Argentina menewaskan Australia dalam satu lagi perlawanan persahabatan di ibu negara China, Beijing.

Sementara itu, peminat Messi yang lain begitu terkilan dan menuduh penganjur seolah-olah menjanjikan penampilan ikon bola sepak itu.

"Messi adalah ikon dan anda boleh katakan 90 peratus tiket dijual kerana Messi. Ini adalah strategi pemasaran untuk mereka," katanya.

Peminat bola sepak Indonesia yang lain turut menggunakan media sosial untuk meluahkan kekecewaan malah ada yang mahu menjual tiket disebabkan Messi tidak akan datang bermain.

Sebuah video yang disiarkan di Twitter menunjukkan seorang peminat menyanyikan lagu dengan lirik berbunyi 'Mengapa anda tidak datang ke Indonesia? Mengapa anda tidak datang, oh Encik Messi?

Seorang lagi menulis, 'Ia adalah pengakhiran untuk mengaguminya. Kami tidak akan merayu lagi untuk memintanya datang'.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 12:52 PM